Monday, March 28, 2011

Cadangan Pembentukan Generasi Ulama Rabbani Pewaris Perjuangan Islam ... Semoga Bermanfaat

Saya diminta oleh beberapa sahabat untuk merangka satu kertas kerja cadangan bagi usaha melahirkan generasi pelapis para ulama pewaris perjuangan Islam di bumi Malaysia tercinta. Memang saya akui, diri ini bukanlah layak untuk membahaskannya.Cuma atas dasar kesedaran dan buat ingatan bersama maka saya siapkan juga kertas kerja ringkas ini buat panduan kepada sahabat-sahabat seperjuangan sekalian.

Saya banyak menukilkan daripada Kitab Jundullah Tandziman oleh Syaikhu Syaikhina al-Allamah Murabbi Said Hawwa rahimahullah.

Secara hakikatnya, pembentukan generasi ulama pewaris perjuangan Islam adalah merupakan satu perkara yang bukan mudah untuk dilaksanakan.Pelbagai persoalan perlu untuk kita selesaikan :

1. Siapakah generasi pelapis tersebut?

2. Bagaimanakah cara yang terbaik untuk melaksanakan proses pembentukan tersebut?

3. Adakah kita punya prasarana terbaik untuk melaksanakan proses pembentukan tersebut?

4. Berapa lamakah tempoh masa yang perlu diambil bagi merealisasikan perkara ini?

Kesemua persoalan ini kita akan rungkaikan di dalam bentuk yang ringkas.Kita sekarang tidak perlu banyak bicara, yang penting corak kerja yang dilaksanakan.

Kita tidak boleh lagi hanya berpada untuk menjadi seorang aktivis dakwah yang difahami oleh kotak pemikiran masyarakat Malaysia.Perlu lebih daripada itu.

Perlu kita fikirkan di sini dengan sematang-matangnya bagaimana cara terbaik untuk kita realisasikan konsep seorang ulama di sebuah cawangan dan seorang mursyid di kawasan.Ini yang perlu penuntut Ilmu al-Azhar fikirkan.Maksudnya , tugas ini berat.Tugas berat perlukan komitmen yang juga berat.

ما لا يدرك كله لا يترك جله

Saya akan membahaskan perkara ini berdasarkan soalan-soalan yang dilontarkan sebentar tadi.

SIAPAKAH GENERASI PELAPIS PERJUANGAN ?

Jawapan pertama yang perlu kita letakkan ialah “ AKULAH GENERASI PELAPIS TERSEBUT”.Sikap menunding jari kepada orang lainlah yang menyebabkan kita menjadi kurang efektif dan banyak berangan-angan kosong berbanding melaksanakan pekerjaan bagaimana menjayakan misi tersebut.

Seseorang perlu ada sikap “ CITA-CITA MELEBIHI UMUR”.Di dalam Islam ini disebut “ al-Himmatul al-A’liyah” yang membawa maksud cita-cita dan keinginan yang tinggi. Lihat sahaja kepada sejarah perkembangan dunia, seseorang yang punya cita-cita yang tinggi dan punya corak tugas yang sama besar dengan bidang tugas yang dilaksanakan maka pasti menatijahkan kejayaan yang cemerlang.

Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah contoh terbaik yang melaksanakan konsep al-Himmatul al-A’liyah ini.Pembacaan sirah sangat penting bagi mendalami perkara ini. Sikap dan peribadi yang ditonjolkan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah bersesuaian dengan tajuk perbincangan kita pada hari ini.

Jika kita lihat dengan teliti perjalanan sejarah Islam, maka kita akan dapati bentuk pentarbiyahan yang dibawa oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam.Baginda sallallahu alaihi wasallam bukan hanya melihat apa yang ada di depan matanya sahaja. Malah pemikiran dan cara kerja Baginda sallallahu alaihi wasallam melebihi umur Baginda sallallahu alaihi wasallam.Kesannya, 23 tahun dakwah dijalankan , mampu untuk mengIslamkan pelusuk dunia.Malah umat Islam tidak kunjung putus pengikutnya.

Hakikat yang perlu kita sedari , proses pembentukan yang dilalui oleh kebanyakkan ulama tidak lari daripada proses yang diletakkan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam.

BAGAIMANA CARA PEMBENTUKAN TERSEBUT?

Apa yang ingin kita bentuk sebenarnya tidak lari daripada proses sebegini:

Bagaimana cara untuk kita mewujudkan Penuntut Ilmu yang Bersifat Rabbani ? Hanya satu cara sahaja yang digunakan oleh para anbiya’ terdahulu untuk membina seorang pengikut @ penuntut yang bersifat seperti ini iaitu dengan berpaksikan MANHAJ ILMU.

Tidak keterlaluan jika saya katakan : "Menjadi seorang Alim tetapi jika tidak menyokong perjuangan Islam di Bumi Malaysia maka sia-sia ilmu yang kita pelajari."

Siasah dan cara pendekatan berbeza-beza mengikut zaman dan tempat.Para anbiya’ alaihimussolatu wassalam diutuskan dengan cara pembawaan yang berbeza mengikut kaum.Tetapi satu perkara yang tidak berubah selamanya ialah manhaj Ilmu Islam.

Tiada cara lain yang boleh untuk kita bentuk bagi melahirkan generasi Rabbani melainkan dibentuk dengan corak Ilmu.

Perkembangan ilmu-ilmu Islam di dalam membentuk generasi pelapis perjuangan tidak lari daripada 6 proses iaitu :


ADAKAH KITA PUNYA PRASARANA TERBAIK BAGI MEREALISASIKAN PROSES PEMBENTUKAN TERSEBUT?

Jawapan yang saya dapat berikan adalah TENTU SEKALI. Kita berada di tempatnya sekarang.

Bagaimana sahabat-sahabat Baginda sallallahu alaihi wasallam boleh menjadi seorang @ kelompok yang sangat hebat?

Tidak lain dan tidak bukan hanya kerana mereka dididik oleh seseorang yang sangat hebat.

Maksudnya jika kita ingin melahirkan generasi pelapis yang hebat, maka perlu bagi kita untuk memastikan diri kita ditarbiyah oleh seorang guru yang sangat hebat. Bahasa lainnya, kita perlukan SEORANG MURABBI.

Ini adalah syarat utama seperti yang disebutkan oleh Syaikhuna Said Hawwa rahimahullah.

Biah yang membina juga merupakan salah satu bentuk untuk menjayakan misi ini.Permasalahannya sekarang, biah di bumi Mesir ini tidak membantu kepada pelajar untuk membentuk diri menjadi seorang ulama.Hanya yang menyedari kepentingan ini yang akan menggerakkan dirinya untuk ke arah melaksanakan misi tersebut.Manakala yang tidak menyedari hakikat tersebut, akan terus dibuai angan-angan kosong dan sikap berpada dengan apa yang ada akan semakin membarah di dalam jiwa pelajar al-Azhar al-Syarif.

Contoh utama yang menguatkan hujah kita bahawa Biah Pembentukan amat penting ialah :

1. Al-Azhar sendiri satu ketika dahulu yang mana penempatan pelajarnya adalah sekitar Masjid itu sendiri.Dibina ruwaq-ruwaq @ anjung bagi penempatan para pelajar adalah satu sistem yang menyebabkan para pelajar tiada alasan untuk bermalas-malas.

2. Zaituna dan al-Qairawan juga menggunakan konsep yang sama di dalam pembinaan generasi pelapis para ulama.

3. Madrasah dan Maahad pengajian di Syria juga menggunakan konsep sedemikian.

4. Madrasah Mauratania yang dipimpin oleh Syeikh Murabbi Murabit al-Hajj hafizahullah juga menggunakan konsep yang sama .

5. Pondok dan Pesantren di Malaysia dan Tanah Jawa serta Pattani juga menggunakan konsep yang sama.

6. Madrasah Tarim di Hadramaut juga menggunakan konsep yang sama.


Masjid Zaituna di Tunisia , sebuah Madrasah Ilmu yang mampu melahirkan jutaan ulama satu ketika dahulu
Madrasah Darul Mustafa di Hadramaut, pusat Tarbiyah para Ulama Murabbi
Madrasah Syeikh Murabit al-Hajj hafizahullah di Mauratania, Tempat Lahir generasi ulama Murabbi

Jelas di sini kita fahami bahawa berjayanya sebuah pembentukan generasi para ulama adalah sama cara pendekatannya.

Memang benar al-Azhar menjalankan konsep “ SIAPA INGINKAN ILMU @ SIAPA SEDAR DIRINYA KURANG MAKA CARILAH JALAN UNTUK MENAMPUNG KEKURANGAN TERSEBUT”

Namun berapa ramai yang benar-benar memahami konsep tersebut?Jadi kita perlu memikirkan bagaimana cara terbaik untuk membina Biah Di dalam Kawasan Tiada Biah padanya.

Prosesnya adalah seperti berikut :

1. Perlu @ Wajib dilaksanakan Mentor dan Mentee.

2. Perlu Menghabiskan Silibus yang Ditetapkan dengan apa cara sekalipun.( Bergantung perbincangan antara mentor dan mentee).

3. Perlu Melaksanakan Praktikal dan Amalinya ( seperti Penuntut Ilmu Perubatan)

4. Perbincangan demi perbincangan perlu diperkasakan( Mentor yang dilantik perlu mengambil perhatian).

5. Mewajibkan kelas-kelas tertentu kepada “ Generasi Pelapis” ini untuk menghadirkan diri ke Masjid al-Azhar al-Syariff.

Silibus yang perlu dihabiskan sepanjang permukiman di bumi Mesir:

Sila Klik Pada Paparan Untuk Lebih Jelas
Persoalan yang pasti akan timbul, Mungkinkah kita dapat menghabiskan masa untuk mempelajari dan membaca kitab-kitab ini semua??
Saya katakan tiada alasan untuk mengatakan tidak boleh.Masa kita terlalu banyak di Mesir.Terlalu banyak juga kita buangkan masa begitu sahaja.

Ini adalah kitab yang wajib dihabiskan bagi seorang aktivis Dakwah keluaran al-Azhar Mesir.

Manakala kitab bacaan Umum , terpulanglah kepada masing-masing untuk menambahnya sendiri.

Tidak keterlaluan saya katakan , sepatutnya kita tidak boleh pulang ke Malaysia sebelum benar-benar menghabiskan dan memahami isi kandungan kitab-kitab ini.

Di samping itu, zikir harian dan bacaan al-quran tidaklah boleh untuk dilengahkan.

Konsep Ziarah para Auliya’ juga perlu diterapkan selalu kepada para Generasi Pelapis perjuangan ini.

BERAPA LAMAKAH TEMPOH MASA YANG PERLU DIAMBIL BAGI MEREALISASIKAN PERKARA INI??

• Kita katakan bahawa tempoh yang sepatutnya adalah terlalu panjang. Namun , tiada alasan untuk kita benar-benar berusaha sepanjang 4 tahun permukiman di bumi Mesir ini.Jangan hanya berpada dengan kuliyyah yang dihadiri di Universiti.

• Perlu juga ada cita-cita untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi sama ada di Peringkat Master dan PHD , Darul Ifta’ dan mana-mana university yang terdapat di Mesir.

• Perlu ada Cita-Cita yang melebihi Umur.

********

Moga Cita-Cita melahirkan Generasi Pelapis Para Ulama Rabbani berjaya dilaksanakan di Bumi Anbiya' ini.. Kami Mengharapkan Doa daripada Pembaca Sekalian...


Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Masjid al-Azhar dan Masjid al-Asyraff,
Kaherah , Mesir..

Sunday, March 27, 2011

Sifat Dan Akhlak Rasulullah


Diriwayatkan oleh Ya'kub bin al-Fasawy dari Hassan bin Ali r.a, dia berkata, "Pernah
aku tanyakan kepada bapa saudaraku yang bernama Hindun bin Abi Haala kerana dia adalahseorang yang pandai sekali dalam menyifatkan tentang peribadi Rasulullah SAW, dan akusangat senang sekali mendengarkan sifat Rasulullah SAW untuk aku jadikan bahan ingatan.
Maka katanya, "Rasulullah SAW adalah agung dan diagungkan, wajahnya berkilauan
bagaikan bulan purnama, tingginya cukup (tidak pendek dan tidak jangkung), dadanya lebar
(bidang), rambutnya selalu rapi dan terbelah di tengahnya, rambutnya panjang sampai pada
hujung telinganya, dan berambut banyak, mukanya bergabung menjadi satu, di antara kedua
alisnya ada urat yang dapat dilihat pada waktu Baginda sedang marah, hidungnya
membungkuk di tengahnya dan kecil lubangnya, nampak sekali padanya cahaya, sehingga
orang yang memperhatikannya mengira hidung Baginda itu tinggi (mancung). Janggutnya
(jambang) lebat, bola matanya sangat hitam sekali, kedua pipinya lembut (halus), mulutnya
tebal, giginya putih bersih dan jarang, pada dadanya tumbuh bulu halus, lehernya indah
seperti berkilauan saja, bentuknya sedang, agak gemuk dan gesit (lincah), antara perut dan
dadanya sama (tegak), dadanya lebar, di antara dua bahunya melebar, tulangnya besar,
kulitnya bersih, antara dada sampai ke pusarnya ditumbuhi bulu halus seperti garis, pada
kedua teteknya dan pada perutnya tidak ada bulu, sedangkan pada kedua hastanya dan kedua
bahunya dan pada dadanya ditumbuhi bulu, lengannya panjang, telapaknya lebar, halus
tulangnya, jari telapak kedua tangan dan kakinya tebal berisi daging, panjang hujung jarinya,
rongga telapak kakinya tidak terkena tanah apabila Baginda sedang berjalan, kedua telapak
kakinya lembut (licin) tidak ada lipatan dan kerutan. Apabila berjalan derapan kakinya itu
terangkat tinggi seolah-olah air yang sedang jatuh (jalannya ringan, kakinya terangkat, tetapi
tidak seperti jalannya orang yang sombong), jalannya tunduk dan menunjukkan kehebatan,
apabila berjalan, maka jalannya agak cepat bagaikan dia turun dari tempat yang tinggi, apabila
menoleh, Baginda menolehkan seluruh badannya, matanya selalu tertunduk ke bawah, dan
pandangannya sentiasa memperhatikan sesuatu dengan bersungguh-sungguh, selalu berjalan
dengan para sahabatnya, dan selalu memulai dengan salam apabila Baginda berjumpa dengan
sesiapa pun."
KEBIASAAN RASULULLAH SAW
Kataku selanjutnya, "Terangkanlah kepadaku tentang kebiasaannya." Maka katanya,
"Keadaan peribadi Rasulullah SAW itu biasanya tampak selalu kelihatan seolah-olah selalu
berfikir, tidak pernah mengecap istirehat walau sedikit pun, tidak berbicara kecuali hanya
apabila perlu, sentiasa diam, selalu memulai berbicara dan menutupnya dengan sepenuh
mulutnya (jelas), apabila sedang berbicara Baginda selalu memakai kalimat-kalimat yang
banyak ertinya (bijaksana), pembicaraannya itu jelas tanpa berlebihan ataupun kurang, lemah
lembut budi pekertinya, tidak kasar, tetapi bukannya rendah, selalu mengagungkan nikmat
Allah SAW walaupun yang sekecil-kecilnya dan tidak pernah mencelaNya sedikit pun.
Apabila ada orang yang memperkosa kebenaran, maka Baginda akan marah-marah dengan
sangat dan tidak ada seorang pun yang dapat menghalangi kemarahannya itu sampai
kebenaran itu akan menang. (Dan dalam riwayat lain disebutkan, bahawa Baginda tidak
pernah marah apabila berkenaan dengan urusan keduniaan, tetapi apabila ada sesuatu yang
benar sedang diperkosa maka Baginda akan marah sehingga tidak akan memandang sesiapa
pun juga dan tidak akan ada yang dapat menghalangi kemarahannya itu sampai kebenaran itu
menang, dan tidak pernah marah kerana dirinya). Apabila Baginda sedang memberikan isyarat
(menunjuk), maka Baginda mengisyaratkan dengan seluruh telapak tangannya, apabila sedang
takjub pada sesuatu maka Baginda balikkan telapak tangannya, apabila Baginda sedang
berbicara maka sering Baginda memukulkan telapak tangannya yang kanan pada ibu jari
tangan kirinya, apabila sedang marah maka sering Baginda berpaling. Apabila sedang
bergembira Baginda sering tersenyum (ketawa), apabila tertawa Baginda sentiasa tersenyum
saja, dan senyumannya itu serupa dengan embun yang dingin.
Maka kata Hassan berita ini aku sembunyikan dan adikku ternyata sudah lebih dahulu
mengetahuinya daripadaku dan malahan dia sendiri telah bertanya pada ayahnya tentang
keadaan keluar masuknya Rasulullah SAW ke majlisnya, dan bentuknya pun tidak juga
ketinggalan sedikitpun jua." Kata Hasan, "Maka aku pun pernah bertanya tentang peribadi
Rasullullah SAW dan dia pun menjawab, "Bahawa Rasulullah SAW apabila telah masuk ke
rumahnya, Baginda membahagi waktunya menjadi tiga bahagian. Sebahagian untuk Allah
SWT, sebahagian lagi untuk keluarganya dan sebahagiannya yang lain untuk dirinya sendiri.
Kemudianbahagian untuk dirinya itu dibahagikan pula untuk kepentingannya sendiri dan
untuk kepentingan orang lain. Baginda selalu mengutamakan kepentingan umum lebih dari
kepentingan peribadinya sendiri, Baginda tidak pernah mengurangi hak mereka sedikit pun.
Adapun contoh dari sirahnya berkenaan dengan kepentingan umat, adalah bahawa Baginda
lebih mengutamakan orang-orang yang mulia dengan segala kesopanan dan menurut
kedudukannya dalam ketakwaan. Sebahagian daripada mereka ada yang mempunyai satu
kepentingan, ada pula yang mempunyai dua kepentingan, dan ada pula yang mempunyai
banyak keperluan. Untuk itu Baginda menyibukkan dirinya dengan mereka dan mengatur
mereka demi untuk kepentingan mereka dan sekalian umat dari urusannya tadi. Baginda sibuk
dengan memberitahu kepada mereka apa yang harus dikerjakan, dengan memesankan :
Hendaknya orang yang kini hadir mengkhabarkan kepada mereka yang tidak hadir, dan
sampaikanlah hajatnya orang yang tidak dapat berjumpa denganku, kerana sesungguhnya
barangsiapa yang menyampaikan hajatnya seseorang yang tidak mampu untuk bertemu
dengan seorang pemimpin, maka Allah SWT akan menetapkan kaki orang itu kelak pada hari
kiamat. Para pengunjung yang datang itu tidak keluar kecuali setelah mereka mengerti segala
masalah dan dalilnya."
RASULULLAH SAW APABILA DI LUAR
Kata Hassan selanjutnya, "Kemudian aku tanyakan kepada ayahku bagaimanakah
keadaan Rasulullah SAW apabila berada di luar. Maka jawabnya, "Rasulullah SAW sentiasa
menjaga lidahnya kecuali hanya untuk berbicara seperlunya, apabila berbicara sentiasa
berbicara dengan halus (lemah-lembut) dan tidak pernah berbicara dengan kasar terhadap
mereka, dan sentiasa memuliakan terhadap orang yang terpandang (berkedudukan) dan
memperingatkan orang jangan sampai ada yang bertindak menyinggung perasaannya dan
perbuatannya. Kebiasaan Baginda selalu menanyakan keadaan sahabat-sahabatnya, dan
Baginda selalu memuji segala sesuatu yang baik dan membenci segala sesuatu yang buruk.
Segala urusannya itu dibuatnya sebaik mungkin. Tidak pernah Baginda lalai atau malas, demi
menjaga jangan sampai mereka melalaikan dan meremehkan. Segala sesuatu dipersiapkannya
terlebih dahulu, dan tidak pernah akan meremehkan (mengecilkan) kebenaran. Orang yang
paling terpandang menurut Rasulullah SAW ialah mereka yang paling baik kelakuannya,
orang yang paling mulia ialah mereka yang paling banyak bernasihat (memberikan petunjuk)
kepada orang lain, dan orang yang paling tinggi sekali kedudukannya ialah orang yang selalu
ramah-tamah dan yang paling banyak menolong orang lain.".
RASULULLAH SAW APABILA DUDUK
Kata Hasan, "Kemudian aku tanyakan tentang duduknya Rasulullah SAW. Jawabnya,
"Kebiasaan Rasulullah SAW tidak pernah duduk ataupun berdiri melainkan dengan berzikir,
tidak pernah menguasai tempat duduk dan Baginda melarang seseorang untuk menguasai
tempat duduk, dan apabila Baginda sampai pada tempat orang yang sedang berkumpul maka
Baginda duduk di mana ada tempat terluang (tidak pernah mengusir orang lain dari tempat
duduknya) dan Baginda juga menyuruh berbuat seperti itu. Baginda selalu memberikan
kepuasan bagi sesiapa saja yang duduk bersama Baginda, sehingga jangan sampai ada orang
yang merasa bahawa orang lain dimuliakan oleh Baginda lebih daripadanya. Apabila ada yang
duduk di majlisnya, Baginda selalu bersabar sampai orang itu yang akan bangkit terlebih
dahulu (tidak pernah mengusir teman duduknya). Dan apabila ada yang meminta pada
Baginda sesuatu hajat maka Baginda selalu memenuhi permintaan orang itu, atau apabila
tidak dapat memenuhinya Baginda selalu berkata kepada orang itu dengan perkataan yang
baik. Semua orang selalu puas dengan budi pekerti Baginda sehingga mereka selalu dianggap
sebagai anak Baginda dalam kebenaran dengan tidak ada perbezaan sekikit pun di antara
mereka dalam pandangan Baginda. Kemudian majlis Baginda itu adalah tempatnya orang
yang ramah-tamah, malu, orang sabar dan menjaga amanah, tidak pernah di majlisnya itu ada
yang mengeraskan suaranya, di majlisnya itu tidak akan ada yang mencela seseorang jelek
dan tidak akan ada yang menyiarkan kejahatan orang lain. Di majlisnya itu mereka selalu
sama rata, yang dilebihkan hanya ketakwaan saja, mereka saling berlaku rendah diri
(bertawadhu') sesama mereka, yang tua selalu dihormati dan yang muda selalu disayangi,
sedangkan orang yang punya hajat lebih diutamakan (didahulukan) dan orang-orang asing
(ghorib) selalu dimuliakan dan dijaga perasaannya."
RASULULLAH SAW DI TENGAH PARA SAHABAT
Kata Hassan, "Maka aku tanyakan tentang keadaannya apabila Baginda sedang berada
di tengah-tengah para sahabatnya. Jawabnya, "Rasulullah SAW sentiasa periang (gembira),
budi pekertinya baik, sentiasa ramah-tamah, tidak kasar mahupun bengis terhadap seesorang,
tidak suka berteriak-teriak, tidak suka perbuatan yang keji, tidak suka mencaci, dan tidak suka
bergurau (olok-olokan), selalu melupakan apa yang tidak disukainya, dan tidak pernah
menolak permintaan seseorang yang meminta. Baginda meninggalkan tiga macam perbuatan :
Baginda tidak mahu mencela seseorang atau menjelekkannya, dan tidak pernah mencari-cari
kesalahan seseorang, dan tidak akan berbicara kecuali yang baik saja (yang berfaedah).
Namun apabila Baginda sedang berbicara maka pembicaraannya itu akan membuat orang
yang ada di sisinya menjadi tunduk, seolah-olah di atas kepala mereka itu ada burung yang
hinggap. Apabila Baginda sedang berbicara maka yang lain diam mendengarkan, namun
apabila diam maka yang lain berbicara, tidak ada yang berani di majlisnya untuk merosakkan
(memutuskan) pembicaraan Baginda. Baginda sentiasa ikut tersenyum apabila sahabatnya
tersenyum (tertawa), dan ikut juga takjub (hairan) apabila mereka itu merasa takjub pada
sesuatu, dan Baginda sentiasa bersabar apabila menghadapi seorang baru (asing) yang atau
dalam permintaannya sebagaimana sering terjadi. Baginda bersabda, "Apabila kamu melihat
ada orang yang berhajat maka tolonglah orang itu, dan Baginda tidak mahu menerima pujian
orang lain kecuali dengan sepantasnya, dan Baginda tidak pernah memotong pembicaraan
orang lain sampai orang itu sendiri yang berhenti dan berdiri meninggalkannya."
RASULULLAH SAW APABILA DIAM
Kata Hassan, "Selanjutnya aku tanyakan padanya bagaimanakah peribadi RasulullahSAW apabila Baginda diam. Jawabnya, "Diamnya Rassulullah SAW terbahagi dalam empatkeadaan : diam kerana berlaku santun, diam kerana selalu berhati-hati, diam untuk
mempertimbangkan sesuatu dan diam kerana sedang berfikir. Adapun pertimbangannya
berlaku untuk mempertimbangkan pendapat orang lain serta mendengarkan pembicaraan
orang lain, sedangkan pemikirannya selalu tertuju pada segala sesuatu yang akan kekal dan
sesuatu yang akan lenyap (fana'). Peribadi Rasulullah sAW sentiasa berlaku santun dan sabar
dan Baginda tidak pernah membuat kemarahan seseorang dan tidak pernah membuat
seseorang membencinya, dan Baginda sentiasa berlaku hati-hati dalam segala perkara; selalu
suka pada kebaikan, dan berbuat sekuat tenaga untuk kepentingan dan demi kebaikan mereka
itu baik di dunia mahupun kelak di akhirat."3

Monday, March 14, 2011

Respon Pengunjung Februari (Bahagian II)

Respon kali ini merupakan sambungan dari Respon Pengunjung Februari (Bahagian I) yang telah saya hantar awal pagi tadi. Berikut merupakan dua lagi komen yang memerlukan sedikit penjelasan.

KOMEN 3

habis tu.. bila yg kita boleh kata rakyat dah nak hukum Islam tu?????
bersedia
bila semua rakyat jadi tokguru dan takbuat dosa??? kalau ikut engkau....sampai kiamat pun tak akan tertegak hukum Allah.

Kita boleh kata rakyat sudah bersedia untuk menerima perlaksanaan hukum Islam apabila ummat Islam sendiri memberi sokongan padu kepada perlaksanaan sistem perundangan Islam. Sekarang ini kita melihat bahawa majoriti ummat Islam masih menyokong UMNO/BN oleh kerana mereka dikelirukan media UMNO berhubung Islam selama ini. Oleh itu, proses penerangan dan pendidikan perlu dilakukan memanfaatkan kedudukan berkuasa yang ada sekarang. Inilah yang dikatakan proses dakwah, kepada yang Muslim dan yang bukan Muslim, kedua-dua kelompok ini menjadi mangsa proses kekeliruan UMNO/BN berhubung apa itu Islam. Sepanjang proses pendidikan ini, petanda-petanda asas penghayatan Islam seperti kehadiran di masjid dan surau untuk solat waktu, kuliyyah dan sebagainya adalah bukti akan keberkesanannya. Perbincangan ilmiah berhubung sistem Islam perlu dilakukan secara terbuka dan melibatkan semua, khususnya ummat Islam. Akhirnya, keputusan pilihan raya adalah ukuran terbaik.

Saya yakin melalui proses ini masyarakat Muslim akan menerima perlaksanaan Islam dan yang bukan Muslim pula tidak akan membantah kerana ianya adalah kehendak masyarakat Muslim itu sendiri. Tidak, kita tidak perlu tunggu hari qiamat insyaAllah.

Memang ada yang menganggap bahawa perlaksanaan sistem Islam tidak akan dipersetujui oleh manusia dan ianya mesti dipaksa ke atas masyarakat tanpa persetujuannya. Ini sebenarnya satu tanggapan yang meleset, lebih-lebih lagi sekiranya kita sendiri seorang Muslim. Sebagai seorang Muslim, kita yakin Islam adalah agama fitrah manusia dan sekiranya diberi penerangan dan penjelasan, masyarakat akan menerimanya dengan rela, lebih-lebih lagi masyarakat Muslim. Lagipun, kaedah memaksa sistem Islam ke atas masyarakat yang tidak rela menerimanya tidak mempunyai dalil dan hujjah dari seerah Rasulullah (SAW). Ianya merupakan kaedah yang berasaskan dalil dan hujjah dari golongan ahli sejarah Barat yang memusuhi Islam yang selama ini menyatakan bahawa Islam adalah agama yang disebar melalui pedang.

Mungkin akan ada yang mengatakan bahawa rakyat mula tidak menyokong PAS kerana PAS tidak melaksanakan hukum Islam. Adakah itu sebabnya mengapa mereka ‘kembali’ menyokong UMNO, iaitu kerana mereka menganggap UMNO melaksanakan Islam? Sudah pasti hujjah sebegini tidak masuk akal lebih-lebih lagi apabila jelas kepada semua bahawa UMNO adalah parti rasuah dan perkauman.

KOMEN 4
Jika masyarakat Mesir (dimana 90% adalah orang Islam) masih tidak memahami Islam dan konsep pemerintahan Islam dan perlu suatu proses menjalankan program-program penerangan melalui percakapan, tulisan dan juga amalan, sehingga masyarakat memahami Islam dan konsep pemerintahan Islam, situasi di Malaysia (dimana lebih 40% adalah orang bukan Islam, jika kebenaran diutarakan) nampaknya begitu sukar, hampir mustahil, untuk mewujudkan suatu masyarakat Islam dan jika ianya menjadi realiti (& itu mustahil), ia akan mengambil berpuluh2 tahun atau beberapa abad.

Hakikatnya, YB, di dalam sejarah tidak ada bangsa (nation) manapun yg telah menerima dengan rela hati pemerintahan oleh sebuah agama yg asing daripada agama sedia ada, bahkan bangsa itu bertukar agama. Di Malaysia keterangan menunjukkan bahawa orang bukan Islam tidak sama sekali berminat masuk islam dan ini begitu ketara. Dalam keadaan tersebut memang mustahil mereka akan, pada bila2 masapun, memerima pemerintahan Islam secara sukarela.

Justera (walaupun mungkin boleh jadi masyarakat Islam Mesir dapat menerima pemerintahan Islam pada suatu waktu kelak, masyarakat bukan Islam di Malaysia tidak akan sekali2pun menerimanya dengan sukarela) perjuangan asal PAS untuk menubuhkan negara Islam sepatutnya diubahkan. Dan saya sebagai penyokong PAS, memandangkan kelakuan mereka dimana2 tempat PAS memegang kuasa atau mampu mempengaruhi tatacara penentuan, suka mendorong PAS untuk memegang sebagai tujuan utama dan muktamad penyerapan unsur2 keadilan Islam kedalam pentadbiran di Malaysia.

Sambil lalu, YB, saya amat tertarik dengan ayat terakhir wacana di atas, yakni “wawasan politik Islam yang diperjuangkan membawa mesej keadilan untuk semua dan bukan mesej penindasan satu kelompok manusia ke atas kelompok yang lain.” Semoga wawasan tersebut menjadi realiti di Malaysia.

Salam,
LJ

Saudara LJ,
Pertama, kita berkewajipan berusaha menyampaikan risalah Islam dan juga menghayatinya. Samada mustahil atau sebaliknya masyarakat menerima Islam, itu merupakan urusan Allah. Yang penting, jangan ada yang lari dari Islam disebabkan perangai kita yang bercanggah dengan Islam.

Saya faham bahawa berdasarkan apa yang dilihat sekarang, kemungkinan kita mencapai matlamat kita kelihatan amat sukar. Yang sangsi terhadap seruan kita bukan sekadar orang bukan Islam, tetapi lebih dansyat lagi, orang Islam sendiri. Dan ini merupakan satu keadaan yang perlu kita betulkan bersama dan ianya mempunyai hubung-kait di antara satu sama lain. Sekiranya ummat Islam menzahirkan keyakinan terhadap agama Islam dengan menghayatinya, sudah pasti yang bukan Islam juga akan terpegun. Apabila orang Islam tidak menerima rasuah, tidak berjudi, tidak minum arak dan sebagainya dan ianya atas dasar keyakinan dan bukan paksaan, sudah pasti orang bukan Islam akan kagum melihat bagaimana disiplinnya ummat Islam. Apabila orang Islam menjadi yang pertama menentang kezaliman dan menuntut keadilan atas sebab keTaqwaan mereka, walaupun yang ditentang itu saudara-mara dan bangsa mereka sendiri, sudah pasti orang bukan Islam akan menyedari ada sesuatu keistimewaan pada agama Islam ini. Dalam suasana begitu, tidak mustahil, kalau tidak memeluk agama Islam sekalipun, orang bukan Islam akan merasa lebih selamat dibawah pemerintahan Islam.

Namun, apa yang dicadangkan saudara tidak merupakan sesuatu yang ‘mutually exclusive’atau, kalau terima satu maka kena tolak yang satu lagi. Dalam erti kata yang lain, persoalan menerapkan unsure-unsur keadilan Islam dalam pemerintahan sememangnya perlu dilakukan sambil kita berusaha untuk meyakinkan rakyat, Muslim dan bukan Muslim, bahawa pemerintahan Islam adalah pilihan terbaik.

Sebenarnya ada beberapa peristiwa di dalam sejarah pemerintahan Islam di mana rakyat bukan Islam menyokong pemerintahan Islam lebih dari pemerintahan kaum seagama dengan mereka. Sebagai contoh, peristiwa semasa sahabat Rasulullah (SAW), Abu Ubaidah Al-Jarrah mengembalikan Jizyah yang dikutip dari orang Nasrani di Syams apabila tentera Islam terpaksa beredar dari kawasan mereka atas sebab ‘strategic withdrawal’ untuk berhadapan dengan tentera Rome. Ini bermakna bahawa ummat Islam tidak dapat memenuhi tanggung-jawab mentadbir dan melindungi kawasan tersebut kerana akan beredar keluar dan tentera Rome yang seagama akan menguasai kembali. Tindakan Abu Ubaidah telah memeranjatkan penduduk Nasrani di situ oleh kerana sikap pertanggung-jawaban yang ditunjukkan. Di atas sebab itu, mereka menyatakan harapan mereka supaya tentera Islam akan kembali selepas mencapai kemenangan.

Oleh yang demikian, akhirnya apa yang dipentingkan oleh manusia adalah keadilan yang dilaksanakan. Sekiranya pemimpin Islam adil, maka dia akan lebih diterima dari pemimpin yang walaupun seagama tetapi bersikap zalim. Sebenarnya inilah mesej yang terkandung di dalam risalah para Rasul2 Allah di mana menegakkan keadilan adalah matlamat terpenting.
“Dan telah Kami utuskan Rasul2 Kami dengan bukti2 yang jelas dan Kami turunkan bersama mereka Al-Kitab dan Al-Mizan (Neraca keadilan) supaya manusia boleh menegakkan keadilan..”
(Surah Al-Hadid Ayat 25)
Namun menurut Islam, untuk mampu menegakkan keadilan, manusia mesti mempunyai Aqeedah dan Akhlak yang berpaksikan keTaqwaan kepada Allah. Dan di sinilah terserlah kesyumulan Islam di mana bukan sekadar sistem dan peraturan dikemukakan tetapi jua Aqeedah dan Akhlak.

WaLlahu 'Alam 
KHALID SAMAD 
Jazan, Saudi Arabia

Respon Pengunjung Februari (Bahagian I)

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas kesemua komen yang telah disampaikan melalui blog ini. Saya mohon maaf kerana tidak dapat respon kepada semua, tetapi hanya kepada beberapa komen yang saya rasa memerlukan respon seperti berikut:

KOMEN 1
Alhamdulillah YB telah tampil ke depan memberi sokongan kepada rakan PR dalam kes saman ini. Tapi saya ragu sekiranya menimpa sesama ahli Jemaah adakah YB akan memberi sokongan.

Lihat dalam kes Nasrudin, Ketua Pemuda YB orang yang mula-mula beri komen tanpa merujuk dahulu kepada beliau adakah penyataan tersebut benar atau sebaliknya. Ambil terus berita dari akhbar. Inilah perangai YB dari dulu hingga sekarang yang hanya membina keunggulan peribadi lebih dari Jemaah. Wallahu'alam

Dalam kes Ust. Nasaruddin, sebenarnya komen saya, apabila ditanya wartawan, adalah, “agak pelik sekiranya dia (Nasaruddin) menyatakan begitu kerana dia tidak merupakan anggota mana-mana kerajaan Negeri” tetapi ianya di’spin’ untuk memberi gambaran bahawa saya mengecam beliau. Saya ditanya perkara ini semasa membuat sidang akhbar bersama YB Dr. Mariah dan beberapa YB lain berhubung kes YB Suhaimi dan MPSJ.

Seterusnya saya ditanya pula samada soal sambutan ‘Valentines day’ dibincang dalam mesyuarat Lujnah Politik Pusat dan saya menjawab “tidak”. Jawapan ini juga ditokok tambah sehingga mengambil bentuk saya membidas Ust Nasaruddin dengan mengatakan ianya pandangan peribadi beliau. Seterusnya bila ditanya berhubung ‘crackdown’, saya menjawab tiada ‘crackdown’ tetapi apa yang akan dilakukan adalah operasi biasa yang dilakukan pemuda PAS di mana mereka akan mendekati pemuda-pemudi yang sedang‘coupling’ dan menasihati mereka secara baik. Perkara ini disambut oleh YB Dr. Mariah dan beliau memberikan penjelasan tambahan berhubung bagaimana operasi sebegitu biasa dilakukan.

Saya rasa yang penting adalah kesedaran bahawa media cuba mencorakkan imej yang tertentu bagi setiap pemimpin. Bagi Ust. Nasaruddin, imej yang ‘konservatif’ dan saya, imej yang ‘liberal’. Seterusnya mereka ingin memberikan gambaran bahawa kami bertelagah dan ini dilakukan dengan di’spin’ kenyataan-kenyataan kami. Saya harap saudara memahami bahawa bukan sekadar kenyataan Ust. Nasaruddin boleh diputar-belit, kenyataan saya pun begitu.

Dalam soal ingin membina keunggulan peribadi lebih dari jemaah, saya memahami bahawa saya tidak mampu melakukan apa-apa seorang diri tanpa adanya jemaah. Oleh itu tanggapan saudara adalah merupakan persepsi peribadi saudara sendiri dan apa yang saya ingin lakukan adalah untuk membina imej PAS sebagai parti yang berasaskan ajaran Islam di mana Islam mengambil kira persoalan waqi’ dan suasana dalam mencorakkan sesuatu sikap dan tindakan.

KOMEN 2
Bukan mahu mengutuk, cuma mahu berbincang. Bercakap tentang pembentukan masyarakat Islam dan hubungannya dengan PAS.

Saya lihat PAS dulu dan sekarang amat jauh berbeza. Dahulu, PAS merupakan sebuah parti yang tidak akan berkompromi berkaitan perkara Islam. Tapi kini, PAS sudah semakin ‘lembut’.

PAS kini lebih mendengar kata DAP dan PKR dalam perkara berkaitan Islam. Ianya amat menyedihkan umat Islam di negera ini.

Apa yang lebih menyedihkan adalah Anwar Ibrahim yang mahu melantik Lim Kit Siang sebagai TPM. Adakah pemimpin Islam dalam PAS tidak layak untuk memegang jawatan tersebut? Mengapa pemimpin PAS tidak diberi peluang?

Saya rasa pemimpin PAS perlu memikirkan kembali perjuangan Islam. Kini, rakyat sudah menyedari perkara ini dan tidak lagi menyokong PAS. PAS sudah tewas di beberapa PRK dan mungkin menemui nasib sama di Merlimau.

Sebenarnya PAS tidak berubah. Yang berubah adalah keadaan dan suasana yang memerlukan penegasan yang berbeza. Dulu perkara yang sering ditegaskan adalah isu Aqeedah. Ini adalah kerana ummat Islam sering didengarkan kata-kata seperti “sistem perundangan Islam ketinggalan zaman”, “kalau Islam memerintah, maka akan habis batu-batu kerana merejam penzina sehingga tidak boleh bina jalan raya”, “perundangan Islam hanya sesuai untuk zaman dulu dan suasana padang pasir” dan banyak lagi yang seumpamanya.

Dalam suasana begitu maka PAS mengambil pendekatan tegas kerana ianya melibatkan persoalan aqeedah. Dalam persoalan aqeedah memang tiada kompromi. PAS menegaskan bahawa mempertikaikan hukum Allah boleh membawa kepada kekufuran. Sering ceramah-ceramah PAS membawa isu batas-batas iman dan kufur kerana itulah keperluan pada ketika itu.

Sekarang, Alhamdulillah, secara umumnya tiada yang sanggup mengeluarkan kata-kata begitu. Persoalan yang ditumpukan sekarang adalah persoalan memperluaskan kefahaman. Dalam keadaan ini maka kefahaman terhadap matlamat disebalik perjuangan Islam, seperti keadilan, urus tadbir baik (good governance), pembebasan dari rasuah, menentang kezaliman dan prinsip siyasah syariyyah menjadi tumpuan dan diberikan penekanan. Namun semua ini diletakkan dalam konteks pengabdian diri kepada Allah dan mencari kereDhaanNya.

Soal mengikut kehendak DAP dan PKR tidak timbul sama sekali. Aspek mana yang diperjuangkan oleh PR bercanggah dengan Islam tetapi diterima PAS sebagai kompromi demi politik? Adakah urus tadbir baik bukan dari Islam, atau keadilan atau penentangan terhadap rasuah dan kezaliman? Kalau semua ini adalah yang dituntut Islam, maka bagaimana boleh dikatakan bahawa PAS mengikut kehendak DAP dan PKR? Tidakkah pihak yang mempertahankan rasuah dan penyelewengan sebaliknya yang patut dikutuk sebagai pembawa unsur yang tidak berlandaskan Islam dalam pemerintahan?

Dalam soal LKS menjadi TPM, ini merupakan dakyah UMNO/BN yang tidak berasas. DSAI tak pernah mengeluarkan kata-kata begitu kerana ianya tidak pernah dibincangkan di peringkat pimpinan PR. Akhirnya, siapa yang akan menjadi PM dan TPM bergantung kepada siapa menang dan berapa kerusi yang dimenangi oleh setiap parti. Berdasarkan kepada keputusan pilihanraya, maka satu konsensus perlu dicapai berhubung apa-apa jawatan.

Oleh itu, sekiranya ada yang ingin PAS memainkan peranan yang lebih besar dalam PR, mereka harus berusaha supaya PAS memenangi kerusi yang lebih. Adalah tidak masuk akal untuk seseorang menuntut PAS supaya memainkan peranan yang lebih utama tetapi pada masa yang sama berusaha untuk memenangkan UMNO.

PAS kalah di Galas melalui PRk. Kalau PRU, insyaAllah tidak mustahil PAS boleh menang balik kerusi berkenaan kerana PRk berbeza dengan PRU. Tenang, Merlimau dan Kerdau merupakan kerusi-kerusi yang dimenangi UMNO pada 2008. Sekiranya semuanya dimenangi UMNO/BN melalui PRk sekalipun, ianya bukan bukti kemerosotan sokongan terhadap PAS atau PR. Ianya hanya bukti bahawa PRk sukar dimenangi pihak selain BN.

bersambung...

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD
Jazan, Saudi Arabia

Sunday, March 13, 2011

Ulama parti jangan hanya pikul kitab

Apakah politik yang dimaksudkan dalam Islam dan apakah sebenarnya politik Islam?
Di Malaysia ada parti PAS – keanggotaannya untuk orang Islam, tidak kira bangsa, diterajui oleh ulama-ulama seperti didakwa pengikut mereka.

Pada zaman jahiliyah juga wujud parti politik seperti yang wujud kini, tetapi dalam bentuk suku-suku kaum yang tebal semangat perkaumannya iaitu assabiyah. Nabi tidak menyertai suku-suku itu walaupun ditawarkan jawatan pemimpin.

Sebaliknya nabi menyatukan kaum-kaum ini dengan ikatan Islam. Bagaimanakah nabi melakukannya? Jelas Nabi tidak mementingkan kekuasaan. Walhal jika baginda menerima tawaran itu, baginda akan berkuasa.

Tetapi apakah yang didahulukan baginda? Adakah Islam itu terbina dengan kuasa? Pada mata kasar, kuasa menguatkan Islam tetapi kekuasaan bagaimanakah yang menguatkan Islam?

Merasuah rakyat
Adakah kuasa itu didapati melalui cara merasuah masyarakat melalui tawaran keduniaan seperti gaji lebih tinggi, cuti lebih panjang atau menghapuskan saman kesalahan trafik?

Semua tawaran popular ini akan memusnahkan masyarakat pada akhirnya. Usaha berkenaan hanyalah untuk mengambil kesempatan ke atas sifat masyarakat itu sendiri kerana tawaran seperti itu akan menyebabkan masyarakat menjadi malas, tidak berdisiplin dan tidak menghormati undang-undang.

Politik sebenar dalam Islam dan politik nabi adalah dakwah, tarbiah dan tabligh kerana Islam bukan sekadar mengucap kalimah syahadah dan amalan solat, puasa, haji dan zakat untuk diulang ajar.
Kita harus akui bahawa kita sekarang berada pada zaman jahiliah moden dengan segala maksiat berleluasa. Tidakkah di sini perlunya dakwah dan bukannya politik kepartian?

Politik kepartian hanya boleh hidup dan menang jika dasar-dasarnya memuaskan kehendak dan nafsu pengundi. Politikus kepartian tidak akan dapat membentuk masyarakat untuk menuruti ajaran yang dimahukannya.

Kehendak masyarakat itu berbau keduniaan semata-mata dan akhirnya parti yang mendakwa Islam itu akan terpaksa mengalah dengan kehendak masyarakat.

Misalnya, PAS sebelum ini tegas dalam soal hiburan dan konsert. Namun, untuk memenuhi kehendak dan nafsu masyarakat, mereka terpaksa menceburi diri dengan unsur-unsur yang suatu masa dulu dikecam sebagai maksiat.

Sebagai contoh, PAS meraikan Kota Bharu sebagai bandaraya Islam. Namun dalam sambutannya, kerajaan negeri itu turut menyediakan artis-artis sebagai hiburan.

Di dalam mencemuh pihak lawan, ulama-ulama parti politik begini tidak menyedari bahawa mereka sendiri bersikap riak atau ujub.

Mereka mendakwa Islam itu sempurna. Tetapi mengapa mereka mencemarkan Islam? Jika parti politik mereka yang didakwa Islam itu baik, mengapa mereka perlu mencela parti lawan sebagai khianat?

Paksa tutup kedai arak tidak Islamik
Parti politik bukanlah cara nabi seperti yang difahami para ulama yang menyertai parti politik. Jika parti politik itu cara Islam, terimalah jika pemimpin yang dipilih adalah perasuah, kerana suara teramai adalah pemenang.

Masyarakat yang baik akan memilih pemimpin yang baik dan begitu sebaliknya. Namun ulama-ulama ini hanya ingin mengubah negara, sedangkan mereka lupa negara itu terdiri daripada individu-individu.

Para ulama ini lebih berminat untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan negara bagi tujuan misalnya untuk melaksanakan hukum hudud. Menutup kedai arak nampak sangat Islamik, tapi yang sebenarnya Islam adalah keadaan di mana kedai arak ditutup kerana tiada pelanggan.

Bagaimana untuk meniadakan pelanggan? Mustahil. Namun setidak-tidaknya usaha dilakukan untuk mengurangkan pelanggan, walaupun tujuan kita adalah menghapuskan arak di kalangan orang Islam. Tiada cara lain untuk mencapainya selain melalui dakwah dan bukan dengan pemaksaan seperti menutup kedai arak.

Sememangnya ulama-ulama parti ini ada menyebarkan ayat-ayat dakwah dalam ceramah mereka. Namun tujuan ayat-ayat itu disebarkan adalah untuk memenangi undi dan bukan bertujuan merebut hati masyarakat supaya menjadi berakhlak.

Banyak ayat-ayat al-Quran dipetik untuk membenarkan puak mereka. Dengan itu, Islam telah dipolitikkan. Parti ini hanya mengumpul penyokong, tapi tidak membina individu Islam yang sebenar. Mereka tiada pengikut tulen, tetapi terpengaruh dengan label Islam.

Habuan kepada pengundi

Cuba kita renung sejenak. Bolehkah parti ini menentang rasuahsedangkan pada musim pilihan raya ia telah mengagihkan habuan kepada bakal pengundi? Habuan ini dalam bentuk gula, kain pelikat dan sebagainya. Ini adalah rahsia umum. Mereka mendakwa lawan mereka juga membahagikan wang untuk bakal pengundi tetapi sama ada sebutir gula, atau sejuta duit, semua itu terhisab sebagai rasuah.



Bezanya mereka tiada dana yang besar untuk membahagikan wang yang banyak. Jika mereka telah berjaya memurnikan pegangan penyokong mereka, mengapa mereka perlu mengagihkan habuan tersebut? Sedangkan para ulama ini telah mengajar penyokong mereka bahawa kaedah Islam adalah berjuang tanpa mengharapkan balasan dunia.

Para ulama ini sebahagiannya mempunyai cita-cita murni untuk membentuk sebuah masyarakat Islam seperti di Madinah. Tetapi mereka telah sesat jalan dalam mencapai tujuan mereka dan tidak mengambil iktibar dari perjalanan sirah nabi. Untuk mengamalkan kewajipan agama, kita tidak perlukan negara Islam.

Tetapi negara Islam perlukan umat Islam yang mengamalkan akhlak Islam yang tulen. Apalah gunanya sebuah rumah yang bersih, tetapi penghuninya pengotor? Akhirnya sampah-sarap akan memenuhi rumah tersebut. Ringkasnya, penghuni itu sendiri perlu dibersihkan terlebih dahulu.
Soalnya, apakah sumbangan mereka dalam membentuk cara hidup dan akhlak Islam? Para ulama sebegini akan terbelit dengan hujah-hujah untuk membenarkan puak mereka semata-mata. Kita ambil contoh mudah – isu seorang pembesar yang ditawarkan pakej umrah ke Mekah.

Kenapa dia ditawarkan pakej itu? Layakkah dia menerimanya? Apa tujuan dia ditawarkan? Atas dasar apa? Siapakah penawarnya? Tidakkah ia dikhuatiri ada unsur-unsur rasuah? Banyak soalan perlu ditanya dan dijawab.

Namun tiada jawapan diberikan kerana taksub dengan kebenaran yang diyakini berada di pihak mereka, tiada jawapan yang diberi. Maka bersuaralah puak-puak mereka menyatakan pembesar parti lawan juga menerima tawaran yang berbau rasuah.

Assabiyah moden sembah pengundi
Dengan angkuh mereka menyatakan, lawan mereka lagi dahsyat kerana menerima pakej ke tempat-tempat maksiat, bukan ke tempat suci. Lagi hujah mereka, kafir Quraisy moden telah menghalang pembesar tadi ke Mekah sepertimana terjadi kepada baginda nabi suatu masa dahulu.

Tidakkah di sini berbelit-belit? Kenapa isu ini tidak dijawab dan dirujuk dengan sirah perjalanan nabi?

Inilah sikap politik ulama dalam parti. Jika lawan mereka berbuat salah, mereka merujuk al-Quran dan sunnah nabi untuk menjatuhkan hukum. Jika mereka melakukan kesalahan yang sama, mereka mengelak dari menjawab dengan menuduh pihak lawan juga melakukan kesalahan yang sama.
Tindak-tanduk ini melemparkan diri mereka sendiri ke lembah assabiyah iaitu sifat perkauman yang hanya mengenal kaum dan puak sendiri. Sifat-sifat ini menjadikan parti politik yang mereka dakwa Islam itu juga assabiyah.

Assabiyah tidak mengenal siapa betul siapa salah. Sama ada puak mereka betul atau tidak, puak mereka mesti dipertahankan. Puak lawan harus ditentang walaupun kebenaran berada di pihak lawan.

Dalam senario hari ini, semua tindakan yang dibuat oleh lawan mereka dikritik dan dikatakan tidak betul. Adalah tidak logik jika semua tindakan lawan mereka itu salah dan tidak ada yang betul.
Semua ini terjadi kerana mereka hanya mengejar kemenangan dalam politik. Inilah assabiyah moden yang tanpa sedar telah menyembah masyarakat pengundi sebagai tuhan.

Seperti yang kita maklumi, nabi mengajar dan menghidupkan agama namun baginda tidak mengutamakan negara. Nabi mengutamakan individu-individu yang membentuk masyarakat itu. Lupakah mereka pada janji Allah bahawa Allah akan membantu urusan dunia kita jika kita membantu menegakkan agama-Nya?

Politik dakwah
Diulangi lagi, politik dalam Islam bukanlah politik seperti yang ditafsirkan oleh ulama-ulama parti hari ini. Politik nabi adalah dakwah, tabligh, tarbiah dalam memenangi hati manusia demi mencapai keredhaan Allah. Politik yang diamalkan ulama-ulama parti hari ini adalah mengikut tafsiran barat, iaitu parti politik untuk memenangi negara.

Seeloknya ulama-ulama ini mengambil iktibar surah Al-'Asr – selepas beriman dan beramal soleh, dakwah mengambil peranan, iaitu menyebarkan kebenaran. Dan usaha ini mesti dilakukan dengan penuh kesabaran.

Bagi saya, warganegara biasa ini, jika perubahan politik di Malaysia berlaku pada pilihan raya akan datang, tiada apa yang berubah ke arah yang lebih baik. Yang berubah hanya siapa pula yang akan dituduh perasuah dan penipu.

Begitu juga sebaliknya kerana pemimpin yang akan dipilih tergolong dari kalangan masyarakat yang sama. Pemimpin yang zalim adalah bayangan masyarakat yang zalim di bawahnya dan keadaan ini akan dipersalahkan kepada pemerintah yang terdahulu.

Akhirnya, musuh sebenar orang Islam bukanlah orang Islam. Dalam konteks Malaysia, musuh sebenar PAS bukanlah Umno. Musuh sebenar manusia adalah kejahilan, seperti kata khalifah keempat Saidina Ali. Di sinilah peranan ulama yang sebenarnya seperti diwariskan nabi.

Tulisan ini diharap tidak selesai di sini. Seperti anjuran nabi, “pendapat saya mungkin salah, dan pendapat kamu mungkin juga betul.” Marilah kita berbincang. Bukan mengajak berdebat di hadapan awam untuk mendapatkan kemenangan dan sokongan undi.

Kepada semua, marilah kita menguatkan agama. Dengan menghayati dan menghidupkan amalan-amalan agama, semua yang kita dakwa rasuah, kezaliman dan semua kebatilan akan menyingkir.
Janganlah kita menjadi keldai yang sekadar membawa kitab-kitab di atas pundaknya.

Azman Hussin berkarya dalam bidang sastera sejak tahun 1998 dan pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana 1998-1999 dalam kategori cerpen.

Tulisan ini merupakan pendapat penulis.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...