Sunday, January 30, 2011

Powerful Statement

 "Allah SWT akan menentukan masa kemenangannya. Usaha dakwah dan tajmik. Usaha membina syakhisyyah Islamiyyah di kalangan umat. Memilih anasir soleh dan mendidik mereka dengan syakhsiyyah jamaiyyah seterusnya membawa mereka ke alam realiti dakwah dan pengorbanan, ke arah riaayah jamahiriyyah. Melakukan dakwah, memuliakan ummah, menyantuni masyarakat dengan dakwah dan kebaikan. Rakyat akan melihat amal kita. Amal kita akan berbicara. Berbicara dengan jujur dan ikhlas lebih kuat dari suara-suara kita. Oleh itu teruslah bekerja dengan penuh sabar dan thabat, jujur dan ikhlas mengharapkan wajah Allah SWT."

Sunday, January 23, 2011

Kertas Kerja Tarbiyah (2) Majlis Nuqaba' Pemuda Kebangsaan

Kertas Kerja Tarbiyah (2) Majlis Nuqaba' Pemuda Kebangsaan

TARBIYAH RUHIYAH
Sebelum membaca artikel ini, saudara perlu tahu;
1 ) Kedudukan tarbiyah ruhiyah di dalam Islam.
2 ) Matlamat dan tujuan utama penyucian hati.
3 ) Kaedah dan syarat penyucian hati.
4 ) Kewajiban ahli PAS melaksanakan program penyucian hati.
Muqaddimah
Tarbiyah ruhiyah adalah satu proses pemeliharaan kesucian diri atau proses pengembalian kesucian diri atau menambah sinaran cahaya kesucian dalam usaha mencapai kejayaan menuju Allah subhanahu wa taala.
Firman Allah taala yang bermaksud;
“ 7. Demi diri (nafs) manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya).
8. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada ketaqwaan.
9. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),
10. Dan sesungguhnya musnahlah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran syirik dan maksiat).”
Surah al Syams: 7-10
Tarbiyah ruhiyah adalah asas kepada seluruh program tarbiyah Islamiyah. Ini kerana Islam mengajar dan mendefinisikan segala kebahagian manusia di dunia dan akhirat mestilah bermula daripada hati yang sejahtera daripada sebarang penyakit dan kecacatan.
Justeru kejayaan individu muslim dan gerakan Islam di dalam semua bidang adalah bergantung dan terikat dengan kesungguhan dan keutamaan yang diberikan kepada program ‘kembali kepada hati’ seperti yang diajar oleh al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam.
Visi Tarbiyah Ruhiyah
Mencapai kejayaan dalam hidup menuju Allah subhanahu wa taala ( al-Muflihuun ).
Misi Tarbiyah Ruhiyah
Menjadi hamba yang mampu melaksanakan perintah Allah subhanahu wa taala dan meninggalkan segala laranganNya ( al-Muttaqiin ) atau dengan kata lain menjadi hamba yang berupaya membina Islam di dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Matlamat
Menggolongkan diri sebagai hamba yang hampir dengan Allah subhanahu wa taala (al-Muqarrabiin) bagi memperolehi apa yang diingini dan mendapat perlindungan hakiki daripadaNya.
Objektif
A ) Memindahkan nafsu yang kotor ( bergelumang dengan syahwat atau keinginan selain Allah ) agar menjadi jernih ( suci ikhlas hanya kepada Allah ).
B ) Mengubah cara berfikir tidak syar ‘ie menjadi syar’ie
C ) Menukar hati yang kufur, munafik, fasik dan keras menjadi sejahtera dan tenang
Kaedah Tarbiyah Ruhiyah
Oleh kerana permasalahan ruh adalah rahsia Allah, maka pembinaannya mestilah sepenuhnya bergantung kepada petunjuk daripadaNya melalui pengajaran RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Justeru penyucian jiwa dengan kaedah yang tidak digali daripada al Quran dan al sunnah adalah tertolak dan akan membawa kepada kesesatan yang nyata.
Usaha pemindahan, perubahan dan penukaran tersebut tidak akan berlaku melainkan mestilah melalui kaedah mujahadah, sebagaimana penegasan Allah subhanahu wa taala dalam firmanNya yang bermaksud;
“69. Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan Sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang Yang berusaha membaiki amalannya.”
Surah al Ankabut;69
Mujahadah adalah wasilah untuk mendapat penyuluh hati menuju Allah dan hidayah yang merupakan permulaan ( muqaddimah ) bagi memperolehi sifat taqwa.
Kedua - duanya iaitu mujahadah dan hidayah tidak akan sempurna melainkan dengan persetujuan ( taufiq ) dan pertolongan (inayah) Allah subhanahu wa taala.
Peringkat Mujahadah
A ) Penyucian daripada kufur dan syirik
Penyucian daripada kufur dan syirik dengan iman dan tauhid serta pengakuan bahawa nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallamitu pesuruh Allah. Bagi meningkatkan iman hendaklah sentiasa menambah ilmu dan mempertingkatkan zikir ( dua rukun perjalanan menuju Allah ).
o untuk meningkatkan makrifat kepada Allah
o untuk meningkatkan rasa takut dan gerun kepada Allah (taqwa)
o untuk meningkatkan kesungguhan amal (mujahadah kedua) sehingga sanggup mengorbankan apa saja demi Allah swt.
B ) Penyucian daripada dosa - dosa
Penyucian daripada dosa - dosa dengan melaksanakan furudh al wakti ( kefardhuan semasa ) dan adab - adabnya serta meninggalkan muharramat wa makruhaat dan adab-adab waktu yang wajib ditunaikan.
C ) Melaksanakan ibadat – ibadat nawafil
Melaksanakan ibadat - ibadat nawafil bagi menambahkan lagi sinar cahaya kesucian menuju Allah subhanahu wa taala.
Rukun Mujahadah
A ) al-Uzlah ( menyendiri )
Hukum asal uzlah adalah harus bagi mereka yang telah tertunai kewajipan semasa baginya. Tetapi sekiranya uzlah ini mampu memberi maslahah kepada diri seperti meningkat keimanan, menjauhkan daripada sesuatu yang haram dan mampu menguatkan diri bagi melaksanakan sesuatu kewajipan, maka hukumnya meningkat lebih daripada harus.
Uzlah boleh berlaku dalam dua keadaan samada dengan mengasingkan diri secara langsung beberapa ketika daripada orang ramai atau secara tidak langsung dengan mengasingkan jiwa sahaja beberapa ketika sedangkan diri tetap bersama masyarakat.
Bagi menyempurnakan mujahadah membina roh yang suci, asingkanlah diri beberapa ketika ( minit ) bertafakkur untuk bersama Allah swt.
B ) al-Shamt ( diam )
Sabda Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam yang bermaksud:
“Sekiranyalah kamu tidak mengotori hati - hati kamu dan kamu tidak berlebih - lebihan dalam percakapan kamu, nascaya kamu akan dapat mendengar apa yang aku dengar.”
Diriwayatkan oleh al Imam Ahmad.
Kerana itu, berdiam diri merupakan rukun mujahadah untuk menyuci roh dan membuang segala hijab - hijab di perjalanan menuju Allah taala.
Berdiam diri yang dimaksudkan di sini adalah daripada sesuatu yang tidak perlu. Adapun berkata – kata dalam hal yang fardhu atau wajib, maka tidak boleh berdiam diri darinya.
C ) al-Juu` ( berlapar )
Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda dengan maksudnya:
“Hendaklah kamu sentiasa murung ( sedih ). Sesungguhnya ia merupakan kunci pembuka hati. Lalu para sahabat bertanya, wahai Rasulullah, bagaimanakah keadaan murung tersebut? Baginda bersabda: Hinakan ( letihkan ) diri kamu dengan berlapar dan mendahagakannya”
Riwayat al-Tabrani.
Bermujahadah dengan cara berlapar merupakan salah satu rukun yang ampuh untuk merawat hati dan menyegarkannya. Oleh kerana itu, berlaparlah untuk beberapa masa dalam sehari dan berpuasalah beberapa hari dalam sebulan ( 3 hari ).
D ) al-Sahar ( berjaga malam )
Tanpa penentuan masa tidurnya dengan terurus, seseorang muslim boleh mengabaikan banyak urusan penting dalam hidupnya, seperti solat Subuh berjemaah, beristighfar waktu sahur, berqiamullail dan tahajjud, solat isya` berjemaah, berwirid selepas Subuh, membaca al-Quran sebelum fajar dan banyak lagi akan terjejas akibat tidak terurusnya tidur seseorang manusia.
Agar urusan - urusan penting tersebut tidak terabai, seseorang muslim perlu menyusun tidurnya dan menetapkan sebahagian waktu malamnya untuk menunaikan urusan - urusan tersebut, supaya tidak tergolong daripada kalangan mereka yang rugi.
Kekuatan Yang Diperlukan Untuk Mujahadah
A ) Ilmu dan Zikir
Ilmu ketuhanan ( makrifat ) dengan membaca ayat - ayat keagongan dan kekuasaan Allah dalam al-Quran dan juga dengan bertafakkur terhadap ayat - ayat kauniyah yang terbentang di alam semesta dan meningkatkan zikruLlah untuk meresapkan keagongan kekuasaan Allah subhanahu wa taala ke dalam diri sehingga menjiwai dan merasai ma`iyatullah.
B ) Ilmu dan Ta`ammul
Ilmu syariah bersumberkan wahyu yang akan mengawal system nilai seseorang hamba dengan batasan ketuhanan tanpa sebarang campur aduk unsur2 luar yang bertentangan dengan ruh syariah tersebut (maqasid syariah) & Sentiasa meneliti (mentaammul) rahsia2 syariah bagi menepati setiap hukum untuk diperundangan atau dilaksanakan dengan penuh hikmah kebijaksanan.
C ) Ilmu dan Amal
Ilmu hal ehwal kesihatan hati ( sihat atau sakitnya ) dan mengetahui perkara - perkara yang menyihatkan hati dapat membantu peningkatan amal dalam diri bagi menyuburkan akhlak terpuji. Adapun mengetahui jenis - jenis penyakit hati boleh membantu mendapatkan rawatan dan meninggalkan sesuatu amal buruk menjadi perosak kepada keperibadian manusia.
DPPP dan Tarbiyah Ruhiyah
Sebagai kesimpulan dalam perbincangan Tarbiah Ruhiyyah ini, ingin ditegaskan bahawa ilmu dan amal ( termasuk zikir dan ta`ammul ) adalah unsur terpenting bagi mengubah seseorang muslim dalam perjalanan munuju Allah subhanahu wa taala.
Dengan ini, DPPP hendaklah melakukan pembaharuan di dalam melaksanakan program tarbiyah kepada anggota - anggotanya. Ia adalah dengan memastikan setiap anggota pemuda di semua peringkat melalui tahap - tahap ilmu dan amal yang ditetapkan. Ketetapan ilmu dan amal setiap marhalah ini seharusnya dibuat sesuai dengan realiti cabaran semasa kepada pemuda hari ini.
Begitu juga DPPP seharusnya menjadi pembantu di dalam usaha pembaharuan mencorakkan kepimpinan PAS masa depan yang sentiasa ‘dekat dan langsung’ dengan tarbiyah bagi memastikan ketulenan kepimpinan Islam yang mewarisi sifat - sifat Anbia` dan Khulafa` al-Rasyidin.
Sayugialah ditingkatkan usaha pemahaman bahawa Bersama Kepimpinan Ulama` bermaksud Bersama Kepimpinan Rabbanisebagaimana yang dilakukan oleh pemimpin agong Islam Salahuddin al-Ayubi dan Sheikh Muhammad al-Fateh. Pembaharuan ini bukan sahaja melibatkan pimpinan PAS tertinggi peringkat pusat, disyaratkan juga kepada YDP dan Ketua2 Dewan semua peringkat.
Penutup
Tarbiyah ruhiyah adalah maksud utama tarbiyah Islamiyah. Kejayaan atau kegagalan di peringkat ini akan menentukan kejayaan gerakan Islam atau sebaliknya. Adalah menjadi keperluan yang mendesak agar setiap jentera parti PAS terutamanya Dewan Pemuda PAS di semua peringkat memberikan perhatian yang sebaiknya ke arah perlaksanaan program tarbiyah yang tersusun dan berterusan.
Selepas membaca artikel ini, saudara telah memahami;
1 ) Tarbiyah ruhiyah adalah aspek paling penting di dalam menentukan kejayaan setiap individu muslim dan gerakan Islam.
2 ) Tarbiyah ruhiyah yang ditunjuki oleh al Quran adalah satu – satunya ilmu yang mampu menyucikan jiwa manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah.
3 ) Mujahadah dengan rukun – rukunnya adalah satu – satunya cara menyempurnakan program penyucian jiwa.
4 ) Kewajiban meningkatkan ilmu dan amal di dalam usaha memantapkan iman.
5 ) Dewan Pemuda PAS hendaklah memainkankan peranan ke arah memperkasakan parti dengan tarbiyah ruhiyah kepada seluruh anggotanya.
Panel:
1 ) Ustaz Hj Nasrudin bin Hassan Tantawi
2 ) Ustaz Hj Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
4 ) Ustaz Hj Riduan bin Mohd Nor
5 ) Ustaz Hj Nik Mahadi bin Nik Mahmood
6 ) Ustaz Hj Mohd Asri bin Mat Daud
7 ) Ustaz Hj Zulqarnain bin Hassan
8 ) Ustaz Hj Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin al Joofre

KERTAS KERJA DASAR TARBIYAH ISLAMIYAH: PENGENALAN DAN PERLAKSANAAN DI DALAM PAS

KERTAS KERJA DASAR
TARBIYAH ISLAMIYAH: PENGENALAN DAN PERLAKSANAAN DI DALAM PAS
Sebelum membaca artikel ini, saudara perlu tahu;
1 – Kertas kerja ini adalah gambaran umum pelbagai aspek yang dibincangkan di dalam hal tarbiyah. Untuk tujuan pembentangan, hendaklah ditumpukan kepada butiran yang dihitamkan sahaja. Para ahli usrah dikehendaki membaca dan memahami sepenuhnya di rumah.
2 – Saudara akan mengetahui kedudukan tarbiyah dalam Islam, keunggulan manhaj dan proses perlaksanaannya di dalam membina individu muslim, jamaah dan masyarakat.
3 - Saudara juga akan melihat bagaimana perlaksanaan dan adaptasi tarbiyah Islamiyah di dalam parti PAS.
4 – Saudara juga akan memahami kewajiban ahli PAS untuk terlibat di dalam program tarbiyah anjuran parti.

Kedudukan Tarbiyah Islamiyah
Tarbiyah Islamiyah adalah salah satu isi besar dan penting di dalam agama Islam. Ia menjadi satu tugas yang paling utama kepada perutusan para anbiya’. Justeru pengajaran Islam mengenai tarbiyah Islamiyah cukup sempurna dan tiada taranya berbanding pengajaran falsafah dan ideologi kehidupan manusia yang lain.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dialah ( Allah ) Tuhan yang telah mengutuskan di dalam bangsa yang buta huruf ( bangsa Arab ) seorang rasul ( Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam ) daripada kalangan mereka sendiri untuk membacakan ke atas mereka ayat – ayatNya dan menyucikan jiwa mereka ( daripada kekotoran akidah dan jahiliyah) serta mengajarkan mereka al kitab (al Quran) dan al hikmah ( sunnah al Rasul ), dan sesungguhnya mereka sebelumnya telah berada di dalam kesesatan yang nyata.”
Surah al Jumu’ah: 2
Takrif Tarbiyah Islamiyah
Tarbiyah Islamiyah bermaksud satu kaedah terbaik untuk berinteraksi dengan fitrah manusia mengikut manhaj dan cara tertentu agar dapat mencetuskan satu perubahan atau pembaikan di dalam tingkah laku manusia kepada yang lebih baik dan lebih diredhai oleh Allah taala.
Ia adalah satu kaedah, manhaj dan jalan untuk mencapai matlamat agung kehidupan manusia dan penciptaan alam iaitu mencapai kesempurnaan beribadah demi memperolehi keredhaan Allah.
Kaedah tarbiyah Islamiyah ini dikira terbaik kerana ia dalah kaedah yang dipilih dan diwajibkan oleh Allah taala sendiri, tuhan yang mencipta dan mengetahui segala – galanya tentang manusia dan sekelilingnya.
Oleh kerana matlamat tarbiyah Islamiyah bermaksud mencipta manusia yang sempurna, maka ruang legar tarbiyah Islamiyah adalah luas dan mencakupi semua urusan yang berkaitan manusia dan kehidupannya. Ia merangkumi pembinaan di dalam ruh, akal, tubuh serta akhlak dan tingkah laku manusia.
Justeru tarbiyah Islamiyah melangkaui persoalan akidah, ruhiyah dan aqliyah kepada persoalan kesihatan jasmaniyah, akhlak jamaah, kemasyarakatan, politik dan sebagainya.
Ciri – Ciri Manhaj Tarbiyah Islamiyah
Ciri – ciri manhaj tarbiyah Islamiyah di bawah adalah menjadi petanda yang membezakan dan menjarakkannya daripada seluruh falsafah dan ideologi tarbiyah selainnya yang bersifat aqliyah semata – mata;
1- Manhaj yang bersumberkan Islam. Ia mestilah daripada wahyu al Quran dan al Hadis. Sekiranya diambil daripada selainnya, maka hendaklah selari dengan kedua – duanya dan diterima akal ke arah maslahat dan kepentingan manusia.
2- Manhaj yang praktikal. Ia bukan sekadar teori dan retorika semata – mata bahkan menjadi satu manhaj yang membina manusia beragama di dalam diri, keluarga, jamaah dan masyarakat secara praktikal dan hidup.
3- Manhaj yang menyeluruh. Ia meliputi segala asas dan tunjang kehidupan, kemudian menjalar kepada segala aktiviti kehidupan. Justeru ia pasti hadir dan menyumbang khidmat kepada setiap aspek kehidupan manusia.
4- Manhaj yang waqi’ie dan realitis. Ia mengambil kira dan mengiktiraf keupayaan manusia di dalam perlaksanaan manhajnya. Ia tunduk kepada asas wahyu bahawa tiada taklif yang di luar keupayaan manusia. Justeru ia begitu anjal dan aktif di dalam menerima perubahan semasa selagi ia kekal dalam asas dan nilai ugama dan tidak memudaratkan manusia.
5- Manhaj yang saling melengkapi. Ia saling mengikat dan memerlukan. Ia menolak pemisahan di antara juzuk – juzuknya, lalu ia menjadi cacat dan runtuh. Ini kerana binaannya bermula daripada asas – asas yang satu sumbernya. Memisahkannya bererti mencabutnya daripada sumber kekuatannya. Justeru ketika ia membina ruh dan akal, seseorang muslim itu akan cacat tanpa pembinaan jasmani dan akhlak kemasyarakatannya secara serentak.
6- Manhaj yang seimbang. Kekuatan antara juzuknya adalah sama dan selaras dengan tuntutan fitrahnya. Maka ia tidak boleh menjurus kepada pembinaan satu juzuk sehingga meminggirkan juzuk yang lain. Hilang keseimbangan di dalam perlaksanaan manhaj ini akan menyebabkan juzuk yang terbina menyerang dan meruntuhkan juzuk yang terabai. Itulah yang dapat dilihat secara nyata di dalam sistem tarbiyah yang selain daripada Islam.
7- Manhaj yang berperingkat. Ia terlaksana melalui peringkat – peringkat yang mesti diikuti, tidak boleh dialpakan dan tidak boleh diloncati. Ia tunduk kepada binaan fitrah manusia, anjal dan bertindak balas kepada keperluannya dan meraikan keutamaan tertibnya. Justeru sebagai contonya, ia melalui proses tamhid, takrif, takwin, tanfiz dan tamkin sebagaimana diwujudkan dalam manhaj tarbiyah al Ikhwanil Muslmin.
8- Manhaj yang sejagat. Ia adalah manhaj tarbiyah yang sesuai dalam semua keadaan, masa dan tempat. Apa yang dilaksanakan di bumi Arab mungkin saja dilaksanakan dengan jayanya di tempat lain. Ini kerana sumbernya adalah Islam yang di antara ciri agungnya adalah sifat kesejagatannya. Pengambilan sumber selain Islam adalah penyebab kepada kegagalan seluruh sistem tarbiyah yang lain.
9- Manhaj yang ilmiah. Ia tunduk kepada jalan akal di dalam pengajarannya di dalam semua hal.. Ia yang bersumberkan wahyu adalah seiringan dengan ilmu dan akal. Ia tidak mungkin bertentangan kerana wahyu menunjuki akal dan meneranginya. Ia tidak meminggirkan peranan akal bahkan memuliakannya dengancara mengajak manusia menggunakan akal.
10- Manhaj yang positif dan reaktif. Ia menerima taat kepada Allah, cintakan kebaikan dan kesejahteraan serta kesediaan menggempur kejahatan. Ia menolak unsur - unsur negatif daripada merosakkan minda manusia seperti kepercayaan kepada khurafat yang meminggirkan akal. Ia menolak penyembahan sesama manusia dan nafsu syahwat selain menolak taqlid buta di dalam masyarakat yang merencatkan kerancakan akal manusia.
Asas – Asas Manhaj Tarbiyah Islamiyah
Matlamat tarbiyah Islamiyah adalah dibina dan dicetuskan oleh asas - asas binaannya. Maka kejayaan mencapai matlamat tarbiyah adalah terikat dan kembali kepada kekuatan asas – asas manhajnya. Asas – asas manhaj tarbiyah terbina di atas 3 tunjang berikut;
1) Akidah yang sahih pada zat Allah taala, sifat – sifat, nama – nama dan af’alNya serta tauhid rububiyah dan uluhiyahNya. Ia termasuk juga perihal wahyu dan perutusan kenabian serta berita – berita mengenai alam ghaib ( sam’iyat) seperti malaikat, jin, ruh dan alam akhirat.
2) Akidah yang teguh terhadap kesempurnaan syariah Islamiyah dan kesesuaiannya untuk umat Islam, bahkan untuk seluruh manusia di setiap tempat dan zaman. Keteguhan itu hendaklah melangkau kepada keyakinan bahawa sistem selain syariah Islamiyah adalah gagal dan tidak layak untuk mengurus kehidupan.
3) Akidah yang sahih bahawa sistem Islam adalah yang terbaik yang mesti diterima pakai di dalam hubungan kemasyarakatan samada sesama umat Islam atau di antaranya dengan orang bukan Islam, semasa aman dan perang demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Inilah asas – asas manhaj tarbiyah yang di atasnyalah terbina dan lahir manusia yang sempurna yang menyempurnakan matlamat kehidupan di dunia ini.
Matlamat Tarbiyah Islamiyah
Matlamat tarbiyah Islamiyah secara ringkasnya adalah menyediakan insan muslim yang beribadah kepada tuhannya, berkeperibadian soleh, berjaya di dunia dan siap siaga untuk kehidupan akhiratnya.
Ia terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu matlamat umum dan matlamat khusus. Matlamat khusus sebenarnya memperincikan maksud matlamat umum.
Matlamat ini dijelaskan di dalam al Quran dan al Hadis samada secara terperinci atau ringkas dan perlaksanaannya menjadi semakin jelas sepanjang kurun – kurun awal umat Islam.
1 – Matlamat umum tarbiyah Islamiyah
1) Menyediakan insan yang beribadah kepada Allah mengikut syariat Islam yang diajarkan oleh Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Ia hanya berlaku apabila terkumpul syaratnya iaitu terlaksananya rukun – rukun iman, rukun - rukun Islam dan memiliki ilmu dan makrifat yang mencapai keredhaan Allah.
2) Mengikhlaskan ibadah kepada Allah. Ia adalah ibadah dalam erti kata yang luas daripada melaksanakan kefardhuan sehinggalah setiap tingkah laku dan perbuatan harian yang dimurnikan niat kepada Allah. Tanpa niat yang ikhlas, amalan menjadi sia – sia.
3) Melaksanakan kewajiban khilafah di muka bumi. Ia bermaksud beribadah kepada Allah dan memakmurkan bumi ini mengikut manhaj Allah. Ia terhasil melalui penerokaan terhadap bumi dan kekuatannya, memanfaatkan segala hasil mahsulnya dan menggunakannya untuk kebaikan manusia di dunia dan akhirat.
4) Bekerja untuk memastikan perlaksanaan manhaj Allah di muka bumi ini kerana kesempurnaan dan kesesuaiannya untuk kehidupan seluruhnya.
2 – Matlamat khusus tarbiyah Islamiyah
1) Menyiapkan pemikiran insan muslim dan menyuburkan keupayaannya untuk memerhati dan bertadabbur.
2) Menyiapkan tubuh badan dan mendidiknya demi melaksanakan tugas khilafah yang disyariatkan oleh Allah. Islam menuntut jasmani yang sihat dan menjauhkannya daripada sesuatu yang merencatkan keupayaannya untuk bekerja.
3) Mendidik akhlak dan menyucikannya demi menyelesaikan segala permasalahan manusia dan membangunkan kehidupan yang bahagia. Ia merangkumi tarbiyah peribadi dengan menghiasinya dengan sifat – sifat mulia, tarbiyah keluarga dengan kasih sayang,tanggung jawab serta ihsan dan tarbiyah kemasyarakatan dengan kecintaan kepada kebajikan, kesediaan berkorban untuk orang lain dan amar makruf nahi munkar.
4) Mendidik rasa dan kecenderungan bermasyarakat demi mengharmonikan hubungan sesama manusia. Ia mendidik ke arah saling mengenali dan berkerja sama dan saling menjaga hak, akad dan kewajiban.
5) Mendidik rasa keindahan dan estetika dengan menyuburkan rasa tanggung jawab terhadap keindahan alam ciptaan Allah, lalu berusaha berinteraksi dan bereaksi terhadapnya dengan turut menyempurnakan diri dengan keindahan pada akhlak, makan minum, tempat tinggal dan sebagainya.
Semua matlamat tarbiyah di atas sekiranya tercapai, maka ia pastinya melahirkan insan dan masyarakat soleh yang beribadah kepada Allah di dunia dan bersiap untuk menuju akhirat.
Wasilah Tarbiyah Islamiyah
Wasilah adalah jalan ke arah mencapai matlamat. Oleh kerana matlamat tarbiyah Islamiyah adalah bertujuan untuk memuliakan insan dan kehidupan dengan ibadah kepada Allah, maka wasilah dan jalan menuju matlamat tersebut juga mestilah mulia dan diterima Allah.
Justeru wasilah tarbiyah Islamiyah memiliki sifat – sifat berikut; Sahih dan diterima syara’, menjadi penawar kepada penyakit manusia, positif dan membina, meladeni fitrah manusia, menyeluruh dan lebih berjaya dan mendapat keredhaan Allah.
Wasilah tarbiyah Islamiyah dibahahagikan kepada 2 bahagian:
1 – Wasilah umumIa bermaksud diterima pakai oleh seluruh umat Islam. Ia adalah seperti berikut;
1) Ucapan atau tazkirah. Kalimah yang lahir daripada hati yang ikhlas mampu menembusi hati dan melekat di dalamnya. Justeru memberi peringatan secara lisan dianggap senjata paling ampuh untuk dakwah Islamiyah.
2) Qudwah hasanah. Ia bermaksud mengikuti orang lain di dalam amalannya yang baik. Ia adalah jalan al Quran yang hampir pasti mengenai sasarannya. Para anbiya’ diberi kekuatan qudwah sehingga memudahkan para pengikutnya mengikuti petunjuknya dengan mudah dan jelas.
3) Pengkisahan sejarah manusia. Ia mudah menjadi iktibar kepada manusia yang berfikir, menetapkan hati dan meringan beban yang tertanggung. Ia menjadi satu wasilah yang cukup berkesan. Al Quran menggunakan pengkisahan umat terdahulu dengan para nabi mereka sebagai wasilah yang mengajak manusia kepada hidayat.
4) Berhias dengan akhlak yang baik. Akhlak yang baik seperti sifat benar, amanah, setia, tawadhu’, sabar, pemurah dan sebagainya cukup untuk menjadi wasilah yang terbaik kepada tarbiyah Islamiyah.
5) Membersih diri daripada akhlak yang buruk. Ia menyempurnakan wasilah ke 4 di atas. Menjauhi akhlak yang buruk seperti keluh kesah, bakhil, sombong, khianat, dengki dan sebagainya akan menjadi senjata dan jalan yang mudah ke arah tarbiyah Islamiyah.
6) Ganjaran dan pembalasan ( pahala dan dosa ). Ia satu wasilah yang mampu mendorong manusia mengejar kemaslahatan untuk diri dan menjauhi kemudharatan. Al Quran penuh dengan peringatan – peringatan dosa dan pahala.
7) Ibadah dan taat kepada Allah. Ia berlaku dengan mendorong kecintaan untuk beribadah dan melakukan ketaatan kepada Allah dengan bukan hanya melaksanakan kefardhuan, bahkan menambahnya dengan bahagian tertentu daripada ibadah nawafil dan sunat.
8) Menyemai kekuatan dalaman manusia. Islam memberi ruang agar kekuatan dalaman manusia diberi tempat dan ruang untuk tumbuh subur dengan kebaikan dan keadilan. Rasa cinta, nafsu, benci, ingin tahu dan sebagainya disemai untuk cintakan Allah, rasul, isteri dan cintakan ilmu dan kebaikan.
9) Menyelesaikan dan mengurai isu dan peristiwa. Ia bertujuan menyemarakkan pemikiran, melatih akal dan mengambil pengajaran dan kekuatan. Ia juga menolong untuk mengosongkan diri daripada keburukan akhlak.
10) Memenuhkan masa dengan tugasan. Masa adalah kehidupan. Tanpa pengisian dengan amal – amal yang baik, masa akan terisi dengan amal – amal yang buruk dan merosakkan. Justeru Islam mentarbiyah manusia dan menganjurkan usaha mengisi masa dengan aktiviti berfaedah melalui kerja – kerja amal kemasyarakatan di samping kewajiban – kewajiban yang banyak.
2 – Wasilah khusus tarbiyah Islamiyah. Ia menjadi pelancar kepada kebanyakan gerakan Islam di dalam mentarbiyah ahli - ahlinya. Ia seperti berikut:
1) Usrah – Satu unit halaqah kecil yang diketuai seorang naqib yang bertanggung jawab ke atasnya dalam mentarbiyah sesama ahli dengan saling mempelajari, memahami, menasihati dan berkerja sama.
2) Katibah – Program satu malam di jalan Allah. Di situ para ahli akan bersama – sama melakukan ibadah solat fardhu berjamaah, membaca al Quran, zikir dan qiamullail selain pembelajaran selepas isya’, hirasah, bacaan al ma’thurat serta riadhah fizikal di sebelah paginya.
3) Rihlah – Program perkelahan ke tempat – tempat tertentu dengan pengisian rohani dan jasmani ke arah memupuk persaudaraan dan kerja sama di antara ahli.
4) Daurah – Program tamrin untuk beberapa hari ke arah memberi kefahaman mendalam kepada ahli terhadap tajuk – tajuk amal Islami yang penting. Ia juga merupakan latihan kefahaman untuk meningkatkan tahap keahlian anggota jamaah.
5) Nadwah – Program seminar sehari atau lebih yang dihadiri kumpulan ahli yang lebih besar ke arah memahami isu – isu semasa jamaah dan masyarakat dan pendedahan politik semasa.
6) Mukhayyam – Program di luar untuk beberapa hari dengan pengisian ceramah, perbincangan, majlis kesenian Islam selain program ibadah dan ukhuwwah.
7) Muktamar – Perhimpunan besar tahunan untuk merumus keputusan jamaah dan mendengar arahan dan amanat kepimpinan.
Kesemua wasilah tarbiyah khusus di atas sebenarnya saling melengkapi dan mestilah dilalui oleh setiap ahli gerakan Islam agar pembinaan syakhsiahnya menjadi sempurna merangkumi tuntutan ruhiyah, aqliyah, badaniyah, jamaiyah, ijtimaiyah dan sebagainya.
PERLAKSANAAN TARBIYAH ISLAMIYAH DI DALAM PAS
Latar Belakang
PAS adalah rantaian gerakan Islam sedunia yang ditubuhkan dengan matlamat mengembalikan kekuasaan khilafah Islamiyah sedunia selepas runtuhnya Khilafah Uthmaniyah di Turki hampir seabad yang lalu.
PAS berdaftar sebagai sebuah pertubuhan politik di dalam negara demokrasi sekular Malaysia yang bermatlamat menubuhkan sebuah negara Islam berdaulat.
Di atas sifatnya sebagai sebuah gerakan Islam yang bergerak di atas pentas politik secara langsung, PAS telah membina sistem tarbiyahnya sendiri dengan mengambil kira pelbagai aspek seperti perundangan, struktur parti dan pengalaman selain rujukan kepada sumber – sumber ugama dan gerakan – gerakan Islam yang lain.
Kedudukan Tarbiyah Islamiyah Di Dalam PAS
PAS menjadi satu – satunya parti politik dalam negara yang memiliki manhaj tarbiyah yang tersusun untuk ahli – ahlinya. Manhaj tarbiyah Islamiyah merupakan nadi utama di dalam PAS kerana faktor – faktor berikut:
1) Cita – cita menegakkan khilafah dan daulah Islamiyah yang merupakan matlamat kehidupan manusia di bumi ini tidak mungkin tercapai kecuali dengan lahirnya pahlawan – pahlawan besar yang istiqamah dan bersedia menempuh onak dan duri perjuangan. Justeru tarbiyah Islamiyah adalah proses melahirkan rijal tersebut.
2) Perjuangan PAS memerlukan ahlinya memahami erti dan nilai perjuangan Islam secara jelas dan benar. Kekaburan di dalam memahami perjuangan Islam yang sering disalah fahamkan oleh musuh Islam pasti akan menggagalkan perjalanan suci ini. Justeru tarbiyah memainkan peranan utama meneguhkan kefahaman ahli.
3) Keikhlasan di dalam perjuangan adalah rukun di dalam perjuangan Islam dan PAS. Oleh kerana keikhlasan memerlukan proses penyucian yang berterusan dan khusus, maka pembinaan melalui proses tarbiyah Islamiyah adalah menjadi kemestian kepada ahli PAS.
4) Perjuangan Islam adalah panjang dan merentasi masa. Maka PAS memerlukan ahli – ahli yang terlatih untuk meneruskan kesinambungan di dalam mewarisi perjuangan ini tanpa henti.
Manhaj Tarbiyah PAS
Manhaj tarbiyah PAS adalah manhaj tarbiyah Islamiyah. Tiada bezanya kerana sumber PAS seluruhnya adalah sumber Islam seluruhnya. Justeru perbincangan mengenai manhaj tarbiyah Islamiyah di atas adalah pemahaman terhadap manhaj tarbiyah yang dilaksanakan di dalam PAS.
Walau bagaimanapun, perbezaan tetap wujud di dalam perlaksanaan manhaj di antara gerakan – gerakan Islam. Ini kerana sifat manhaj Islam itu sendiri yang sedia menerima perubahan, pembaikan dan pembaharuan disebabkan perubahan dan perkembangan masa, tempat, tuntutan semasa dan pengalaman.
Justeru PAS membina manhaj tarbiyahnya berdasarkan keperluan dan tuntutannya. Secara umumnya perlaksanaan manhaj tarbiyah PAS adalah seperti berikut;
1) Tarbiyah pembinaan generasi awal – Ia diselia oleh Lajnah Pendidikan PAS dalam menggubal sistem pendidikan dan memantau perjalanan sekolah – sekolah pendidikan awal yang diurus secara langsung oleh parti atau individu parti yang terlibat di dalam dunia pendidikan.
2) Tarbiyah perkaderan di peringkat pengajian menengah dan tinggi – Peringkat ini adalah dikira paling penting kerana ia bakal menyediakan pelapis kepada kelangsungan perjuangan PAS. Satu lajnah di bawah Dewan Pemuda PAS diberi tanggung jawab untuk memastikan proses perkaderan tarbiyah yang paling sempurna dilaksanakan di peringkat ini.
3) Tarbiyah perlaksanaan jentera parti – Peringkat ini adalah merupakan puncak kerana ia menyediakan para amilin parti yang bertebaran di medan perjuangan politik dan kemasyarakatan. Ia dilaksanakan oleh seluruh peringkat jentera dan peringkat parti. Oleh kerana struktur PAS dibina mengikut acuan sebuah parti politik demokrasi, maka manhaj tarbiyahnya banyak mengalami penyesuaian terutama di peringkat perlaksanaannya.
4) Tarbiyah khusus ahli PAS – Ini adalah manhaj pilihan yang disediakan oleh parti untuk ahli PAS yang tidak terlibat di peringkat jentera ( atau yang terlibat juga ) yang ingin membina kekuatan diri melalui tarbiyah yang berterusan dan tersusun.
5) Tarbiyah umum – Ia disediakan untuk masyarakat dan penyokong PAS. Ia dilaksanakan oleh Dewan Ulama dan Lajnah Penerangan parti di semua peringkat.
Wasilah tarbiyah PAS
Usrah adalah asas pembinaan tarbiyah di semua peringkat. PAS hampir menggunakan kesemua wasilah tarbiyah Islamiyah samada yang umum atau khusus sebagaimana di atas. Ia hanya berbeza dan mengalami sedikit perubahan berdasarkan keperluan semasa dan pengalaman sendiri.
Sebagaimana dihuraikan di atas bahawa wasilah dan cara pentarbiyahan adalah saling melengkapi sehingga ia menjadi penentu kepada tahap kejayaan yang diperolehi oleh setiap ahli di dalam program tarbiyahnya.
Justeru ahli PAS tidak terkecuali daripada kemestian mengikuti setiap siri tarbiyah yang dianjurkan.
Majlis syura, Muktamar PAS dan mukhayyam/retreat adalah lambang utama kejayaan perlaksanaan tarbiyah di dalam PAS.
Penutup
Sebenarnya, PAS telah berjaya menyampaikan usaha tarbiyahnya di semua ruang kehidupan. Hanya perlaksanaan yang lebih berkesan dan efisien melalui manhajnya yang jitu yang akan menentukan kejayaan yang lebih gemilang kepada perjuangan Islam di tanah air.
Adalah menjadi kewajiban semua ahli dan jentera PAS untuk terlibat sepenuhnya di dalam program tarbiyah yang dianjurkan oleh parti. Dengan itu, mereka akan lahir sebagai ‘rijal’ untuk perjuangan suci ini demi kebahagian di dunia dan di akhirat.
Selepas membaca artikel ini, saudara telah memahami;
1 – Tarbiyah Islamiyah adalah tugas kerasulan dan menjadi isi besar di dalam pengajaran Islam yang mesti dilalui setiap muslim demi pembinaan dirinya sebagai seorang muslim yang benar.
2 – Tarbiyah Islamiyah bermatlamat melahirkan manusia sempurna di dalam mencapai matlamat penciptaan iaitu beribadah kepada Allah dan menperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat.
3 – Manhaj tarbiyah Islamiyah adalah paling unggul berbanding semua sistem tarbiyah aqliah yang lain kerana ianya berfalsafahkan wahyu dan benar di dalam akidahnya kepada Allah taala.
4 – Manhaj dan wasilah tarbiyah PAS adalah selari dengan manhaj dan wasilah tarbiyah Islamiyah kerana ianya bersumberkan daripada sumber Islam yang sama.
5 – Ahli PAS wajib melalui proses tarbiyah parti ke arah sumbangan yang lebih besar dan kejayaan berintima’ di dalam parti.
Panel:
1 ) Ustaz Hj Nasrudin bin Hassan Tantawi
2 ) Ustaz Hj Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
4 ) Ustaz Hj Riduan bin Mohd Nor
5 ) Ustaz Hj Nik Mahadi bin Nik Mahmood
6 ) Ustaz Hj Mohd Asri bin Mat Daud
7 ) Ustaz Hj Zulqarnain bin Hassan
8 ) Ustaz Hj Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin al Joofre
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...