Sunday, December 12, 2010

Islam? contd lagi..

Dunia kini menjunjung semangat demokrasi. Semua orang punya hak masing-masing dan boleh bersuara dalam memperjuangkan hak mereka. Maka dalam konteks perjuangan Islam di dunia ini, semangat demokrasi juga mengizinkan penubuhan pelbagai jenis kumpulan yang memperjuangkan Islam sama ada di dalam mahupun di luar negara.

PAS, ABIM, ISMA, IKRAM, Arqam, Haluan, Tabligh, Salafi... dan senarainya berterusan dalam peringkat nasional.

PKS, FIS, Jemaat Islami, Ikhwanul Muslimin, HAMAS, Hizbuttahrir.. pula di peringkat antarabangsa... 

Masing-masing mengaku memperjuangkan Islam. Tapi bagaimana kita hendak menyeleraskan kumpulan-kumpulan ini supaya agenda kita untuk kemenangan Islam dan pendaulatan Islam di muka bumi Allah ini tercapai?

"A thousand mile journey begins with the single step"

Mungkin sudah berlangsung perbincangan di peringkat nasional mahupun antarabangsa untuk usaha pendaulatan Islam. Namun realitinya dalam konteks setempat atau lebih tepat lagi lokaliti di mana aku berada sekarang, yang merupakan subset terkecil daripada marhalah-marhalah ini, aku dapat melihat sendiri betapa kurangnya persefahaman antara kumpulan yang berlainan dalam mencapai objektif masing-masing.

Dalam isu universal, biasanya kita boleh bersatu.. Palestin, maksiat yang berlangsung secara terbuka dan sebagainya. Tetapi biasanya, "Perang" akan berlangsung tatkala masing-masing mahu menyerapkan ahli baru ke dalam organisasi masing-masing. Contohnya apabila kumpulan A akan buat program A, Kumpulan B pun nak buat program yang lebih kurang sama dengan program A. Maka orang-orang baru ini akan menjadi bercelaru dan tidak tahu untuk memilih kumpulan mana yang harus disertainya. Lebih malang kalau individu yang bercelaru tersebut mengambil sikap berkecuali untuk tidak menyertai arus perjuangan kebangkitan Islam.

Maka, di sini aku ingin berbalik kepada isu demokrasi. Setiap manusia berbeza pandangan dan penilaiannya. Maka sebab itulah dalam hal-hal kecil pun perbalahan boleh berlaku. Aku berpendapat bahawa, berbeza pendapat itu tidak salah. Yang salah ialah kita ini sering kali melayan ego atau rasa tinggi diri dalam hati kita dengan menidakkan hak orang lain dan lebih menyedihkan adalah menidakkan kebenaran apabila ia sudah terbukti.   

Antara ideal yang sering orang fikirkan dalam mnyatukan organisasi yang berbeza adalah dengan membubarkan satu organisasi yang lebih kecil dan penyerapan masuk ke dalam organisasi yang lebih relevan atau pembubaran semua organisasi dan penubuhan organisasi baru yang lebih besar. Namun realitinya, pembubaran sebarang kumpulan yang sudah tertubuh itu amatlah sukar. Kerana ia pastinya ditubuhkan dek keringat dan darah para pioneer kumpulan masing-masing dan nilai sentimental dan emotional ini pastinya akan menghalang searang usaha pembubaran. 

Kalau kita lihat daripada sunnah Rasulullah S.A.W. semasa peristiwa hijrah, baginda telah mempersaudarakan suku Aus dan Khazraj dan golongan Muhajirin serta Ansar dengan izin Allah. Bukankah ini suatu kejayaan yang luar biasa? Penyatuan Aus dan Khazraj khususnya amat menakjubkan kerana realitinya, kedua-dua suku ini telah berperang selama puluhan tahun.

Dalam konteks semasa pula, solution yang dicadangkan oleh Ustaz Fathi Yakan yang pernah aku baca ialah Taqarrub (mendekatkan). Kalau Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat boleh membuat pakatan daripada kalangan kumpulan berbeza ideologi fundamental, mengapa tidak gerakan Islam nasional?. Cuma apakah approach yang boleh diambil dalam pembentukan pakatan ini. 

Kalau model BN yang diambil, satu organisasi akan menjadi kepala sepertimana mana UMNO mengetuai BN. Maka dalam konteks gerakan Islam di Malaysia, mungkin PAS akan mengepalai kesatuan tersebut selaku gerakan tertua, paling banyak pengalaman dalam isu politik dan sebagainya. Tapi kalau kita mengambil model Pakatan Rakyat, yang bersatu atas dasar kebersamaan sesetengah perkara seperti keadilan sejagat dan sebagainya, setiap kumpulan akan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam coalition ini. Cuma yag pentingnya, perlu ada entiti yang menjadi gam antara ahli-ahli pakatan sepertimana peranan Anwar Ibrahim dalam PR. 

Cuma di peringkat nasional, yang selalu dibincangkan oleh media ialah penggabungan UMNO dan PAS kerana masing-masing Melayu dan yang paling utama, masing-masing Islam. Tapi masalahnya ialah asas ideologi kedua-dua parti ini berbeza. PAS jelas asas Islamnya seperti dalam perlembagaan manakala UMNO juga punya dasar Islam dalam perlembagaannya tetapi semangat bangsa itu tampak lebih kuat dan menyerlah. Biasanya, perspektif orang UMNO kepada orang PAS adalah mereka ini orang-orang yang menggunakan agama untuk kepentingan politik. Orang PAS pula melihat UMNO sebagai orang yang Islam pada nama sahaja, kerana selama 53 tahun memeritah negara, usaha UMNO untuk mendaulatkan Islam di bumi Malaysia ini lebih tertumpu kepada pembinaan infrastruktur dan pengkajian akademik tetapi bukan mendidik rakyat menjadi muslim sejati. Ini dariapda pengamatan aku and I may be wrong. 

Maka bagaimana harus kita nilai perkara ini? Baliklah dan lihat kepada perlembagaan kedua-dua kumpulan ini dan telitilah di mana letaknya Islam, Al Quran dan Sunnah dalam perlemabagaan masing-masing. Aku tak suka menilai sesuatu kumpulan itu berdasarkan perwatakan anggotanya tetapi berdasarkan asas perjuangannya dan asas perjuangan itu tidak lain dan tidak bukan tercatit dalam perlembagaan setiap kumpulan.

Pada peringkat antarabangsa juga pendekatan taqarrub boleh diambil. Kewujudan OIC sangat relevan dan boleh menjadi kekuatan ummah yang amat mapan. Namun, hakikatnya, organisasi ini teramatlah rapuh kerana majoriti pendokong OIC itu sendiri terdiri daripada pendokong idea Islam plastik, Islam yang hanya menjadi "Icing of the cake, but not the main ingredients that make the cake". Mereka pendokong Sekularism, Nasionalism, Kapitalism, Sosialism, Liberalism dan ideologi ciptaan manusia yang lain. Aku bukan prejudis terhadap -ism2 ini, kerana Islam itu sendiri hanya menyabitkan wajib atau haram itu pada beberapa perkara sahaja dan meninggalkan yang lainnya untuk manusia menilai dan membuat keputusan berdasarkan dalil aqli dan naqli. Tapi yang ingin aku sampaikan adalah Islam bukanlah asas perjuangan mereka tapi yang mereka jadikan asas adalah -ism2 ini.

Jika gerakan Islam antarabangsa boleh mengadakan kesatuan sepertimana OIC, insyaallah ia mampu menjadi kesatuan yang kukuh dan padu. Pastinya musuh akan mengancam kesatuan ini kerana inilah yang mereka takuti: kesatuan kumpulan-kumpulan yang berasaskan Islam yang memperjuangkan Islam dengan hikmah dan berprinsip. Tahu bila masanya untuk mengambil jalan keamanan dan tahu bila untuk menggunakan kekerasan.

******

Kesimpulannya, demokrasi meraikan hak untuk setiap individu menyuarakan hak mereka. Dalam konteks gerakan Islam, implikasinya ialah penubuhan kumpulan-kumpulan baru yang mengaku memperjuangkan Islam. Ada yang universal dan ada yang hanya memfokuskan kepada sesetengah isu seperti kebajikan, ekonomi, peperangan dsb. Maka Islam itu terus berpecah kalau perkara ini tidak diselesaikan. Oleh yang demikian, penyatuan organisasi haruslah menjadi agenda yang penting dalam masyarakat Islam di Malaysia dan dunia. Kesatuan ini hanya boleh berlaku dengan individu atau kumpulan yang asasnya adalah Islam kerana kesatuan dengan orang Islam yang mempunya ideologi lain sukar untuk dicapai kerana perbezaan berlaku pada peringkat yang terlalu fundamental. Ego harus diketepikan dan bilamana sesuatu yang salah itu jelas salah, haruslah mengambil langkah membetulkan dan bukan mempertahankannya. 
It is a long way ahead for the unity of ummah, it's merely a dream for now, but I hope this dream will happen... 




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...