Monday, August 1, 2011

Buying a car overseas!!


Bismillahirrahminarrahim…
Sudah 3 hari kereta Mercedes Benz E200K berada di rumahku di Malaysia ini. Kereta yang dibeli setahun yang lalu itu telah pun selamat melalui perjalanan sebulan menaiki kapal dan percutian sebulan di kamar gudang Pelabuhan Kelang. Setelah melalui semua kesusahan dan penat lelah menguruskan kereta itu sehinggalah selamat tiba di Malaysia, banyak yang telah saya belajar. Maka, wajarlah untuk saya kongsikan dengan semua orang.  Semoga mendatangkan manfaat.
Secara ringkasnya, proses untuk membawa pulang kereta dari UK ada 6 langkah (yang tidak mudah), iaitu:
  1. Membeli kereta di UK
  2. Menghantar kereta pulang ke Malaysia
  3. Memohon Approved Permit (AP)
  4. Menyelesaikan urusan kastam
  5. Membuat pemeriksaan PUSPAKOM
  6. Mendaftar di JPJ
Saya akan terangkan satu persatu langkah-langkah di atas.
1. Membeli kereta di UK
Urusan membeli kereta di UK adalah amat mudah untuk dilakukan malah ramai pelajar Malaysia yang telah pun biasa dengan apa yang perlu dilakukan. Mencari kereta yang ada untuk dijual pun tersangatlah mudah, kerana hampir semua kereta yang dijual ada diiklankan di website Autotrader. Cuma buka website tersebut dan pilihlah kereta idaman mengikut spesifikasi yang ada seperti saiz enjin, lokasi penjual, warna kereta dan macam-macam lagi. Namun harus diingat, urusan jual beli hanya dilakukan secara bersemuka, jadi si pembeli mestilah menghubungi penjual kereta berkenaan untuk membuat temu janji.
Apabila kereta idaman telah ditemui, pastikan anda mempunyai 3 perkara penting berkaitan kereta tersebut untuk melicinkan urusan di Malaysia nanti, iaitu:
  • Borang V5 (iaitu geran kereta) yang bertarikh 9 bulan sebelum daripada tarikh anda dijangka bertolak pulang dari UK
  • Resit pembelian; pastikan tarikhnya sama dengan tarikh di borang V5 – jika anda membeli daripada penjual individu (i.e. bukannya pengedar kereta), mintalah si penjual untuk menulis resit di atas sehelai kertas kosong, ditandatangani anda berdua
  • Polisi insurans, juga bertarikh lebih daripada 9 bulan sebelum tarikh kepulangan anda ke Malaysia
2. Menghantar kereta pulang ke Malaysia
Apabila tarikh kepulangan ke Malaysia sudah hampir, segerakanlah urusan menghantar kereta pulang dengan menaiki kapal laut. Jangan terlalu awal kerana perjalanan kapal laut ke Malaysia hanya memakan masa lebih kurang sebulan sahaja.
Jika kereta sampai terlalu awal tapi anda masih belum pulang ataupun belum sempat menyelesaikan urusan AP, anda akan terpaksa membayar kos parkir yang tinggi di gudang pelabuhan kerana kereta berada terlalu lama di sana. Biasanya, kos parkir ialah RM8 sehari.
Setakat pengalaman saya, saya mengesyorkan agar anda menggunakan syarikat Arcadia Freight Shipping yang efisien dalam menguruskan penghantaran kereta pulang. Tambhan pula, apabila tiba di Malaysia, kereta akan diuruskan pula oleh agen-agen yang boleh dipercayai. Dapatkan maklumat lanjut di websitenya, http://www.arcadiafreight.co.uk/
3. Memohon Approved Permit (AP)
Undang-undang Malaysia mengawal kemasukan kereta import melalui penggunaan AP. Hanya pihak yang memiliki AP sahaja dibenarkan membawa kereta masuk ke dalam negara. Semua sudah maklum, individu yang belajar atau bekerja di luar negara selama lebih daripada setahun akan diberikan satu AP kereta. Namun, bagaimana caranya untuk mendapatkan AP tersebut? Ingat, AP bukannya sesuatu yang akan diperoleh secara automatik!
Menurut website Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), berikut ialah antara dokumen-dokumen yang perlu diserahkan untuk memohon AP kereta bagi individu di bawah kategori pelajar:
  • salinan passport dan visa
  • salinan kad pengenalan
  • salinan surat tawaran belajar
  • salinan surat tamat belajar (boleh dapatkan daripada pihak universiti)
  • original boarding pass atau tiket semasa pulang ke Malaysia (pastikan tarikhnya 9 bulan selepas tarikh V5 dan insurans kereta)
  • salinan lesen memandu (tak ada lesen, tak boleh apply AP)
  • borang JK69 (baca di bawah)
[ sila klik SINI untuk lihat senarai lengkap ]
*semua salinan dokumen hendaklah disahkan oleh pesuruhjaya sumpah atau pegawai kerajaan berpangkat tinggi (seperti Pengetua sekolah)
Setelah semua dokumen di atas siap disediakan, anda perlu pergi sendiri (atau hantar wakil) ke bangunan MITI di Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Duta. Rujuk kaunter pertanyaan tentang lokasi pejabat untuk memohon AP. Naik ke pejabat tersebut dan tanya pegawai di situ tentang proses yang lengkap. Mereka akan membantu anda memeriksa semua dokumen yang telah dibawa. Jika cukup semuanya, anda boleh minta bantuan mereka untuk mengisi borang permohonan AP yang dinamakan JK69.
Setakat pengalaman saya, saya diminta untuk menaipkan segala maklumat tentang kereta (e.g. model, nombor chassis, tahun, harga) menggunakan komputer dan pegawai di situ akan mencetakkannya ke atas borang yang disediakan. Mungkin ada pihak yang mencadangkan agar anda membeli borang di gerai yang berhadapan dengan MITI pada harga RM2 dan mendapatkan khidmat jurutaip pada harga RM10, namun adalah lebih baik anda pergi dahulu ke pejabat yang menguruskan AP berkenaan. Bukan sahaja urusan mengisi borang percuma, malah lebih diyakini kerana pegawai berkenaan sendiri yang membantu anda. Ingat, borang JK69 hanya diterima jika ditaip, BUKAN ditulis dengan tangan.
Dapatkan maklumat lanjut di:
p/s: AP juga boleh dimohon secara online
4. Menyelesaikan urusan kastam
Apabila kereta anda telah tiba di pelabuhan, biasanya syarikat perkapalan terbabit sudah pun mempunyai agensi yang akan menguruskan segala yang berkaitan sehinggalah kereta itu dapat dikeluarkan. Dalam kes saya, agensi yang menguruskan pengeluaran kereta daripada pelabuhan ialah Mikhir World Trading yang berpejabat di Bandar Bukit Tinggi, Klang.
Agensi tersebut akan menguruskan kerja-kerja
  • membuka kontena dan unpack kereta
  • menghantar kereta ke gudang
  • mengambil AP yang telah anda pohon terlebih dahulu
  • menghantar dokumen-dokumen berkaitan kepada pihak kastam
  • mendapatkan jumlah cukai yang dikenakan
  • membuat rayuan sehingga mendapat diskaun maksimum 35% (daripada Pengarah Kastam Selangor dan seterusnya Pengarah Kastam Malaysia)
  • mengeluarkan kereta daripada gudang untuk anda bawa pulang (setelah membayar semua upah)
Peringkat ini tidak memerlukan saya untuk bergerak ke sana sini; hanya menyerahkan dokumen yang diperlukan oleh mereka dan menanti sahaja perkembangan terkini melalui telefon. Setelah segalanya selesai, mereka akan menjemput anda untuk mengambil kereta daripada pejabat di Klang.
NB: setelah kastam mengeluarkan jumlah cukai berdasarkan ‘harga docket‘ (i.e. nilai kereta tersebut mengikut piawaian kastam), pemilik kereta perlu melangsaikan bayaran cukai dalam masa 14 hari. Selepas itu, pemilik akan dikompaun RM100 sehari. Tapi usah risau, walaupun proses rayuan mengambil masa, namun kompaun itu dapat dikurangkan, atas budi bicara Pengarah Kastam Selangor. Ada pemilik yang dikompaun sebanyak RM2100, tapi Datuk Pengarah telah mengurangkannya menjadi RM200 sahaja.
Jumlah keseluruhan yang perlu saya bayar kepada agensi berkenaan ialah RM1253 sahaja. Mikhir World Trading boleh dihubungi di 03-33232442
p/s: saya perlu membayar cukai kereta sebanyak RM 36,126 kepada pihak kastamUntuk membuat anggaran jumlah cukai yang perlu dibayar, anda boleh rujuk website ini http://www.floristhut.com/taxkastam.htm. Jumlah anggaran yang dibuatnya adalah sangat hampir dengan jumlah sebenar yang saya bayar tempoh hari
5. Membuat pemeriksaan PUSPAKOM
(saya belum lagi membuat pemeriksaan PUSPAKOM, maka isi bahagian ini hanyalah berdasarkan maklumat daripada pihak berwajib di PUSPAKOM)
Sebelum sesebuah kereta boleh didaftarkan di JPJ, ia perlulah diperiksa oleh PUSPAKOM. Pemeriksaan ini tidaklah menakutkan seperti pemeriksaan MOT di UK. Antara perkara yang akan diuji oleh PUSPAKOM ialah:
  • nombor chassis dan nombor enjin pada borang V5, borang kastam dan badan kereta adalah sama
  • badan kereta tidak pernah dipotong
  • kegelapan cermin tidak melebihi kadar yang dibenarkan
Kos pemeriksaan pula adalah sekitar RM80-160 sahaja. Untuk maklumat lanjut, anda boleh rujuk di SINI.
UPDATE: setelah membuat pemeriksaan di PUSPAKOM, mereka sebenarnya hanya memeriksa 3 perkara di atas sahaja. Dan kosnya hanyalah RM25
6. Mendaftar di JPJ
Sebelum kereta anda boleh digunakan di atas jalan raya, anda perlu mendaftarkannya dahulu dengan JPJ. Selepas itu, barulah anda boleh mengambil insurans dan road tax. Maka, selagi kereta anda tidak didaftarkan dengan JPJ, kereta tersebut tidak boleh diinsuranskan justeru sebarang bencana yang menimpa kereta tersebut (nauzubillah) adalah di bawah tanggungan sendiri.
Untuk mendaftar di JPJ, anda mestilah sudah:
  • mendapatkan nombor pendaftaran yang dikehendaki (bagi nombor yang popular, anda perlu memohon secara tender. Bagi nombor Wilayah Persekutuan K.L., permohonan tender ditutup 2 minggu sebelum nombor pendaftaran tersebut dikeluarkan. Jadi, rancanglah segera!)
  • melakukan pemeriksaan di PUSPAKOM
  • mempunyai semua dokumen yang telah diluluskan daripada MITI (Borang JK69) dan Kastam (Borang K1)
Itu sahaja yang dapat saya kongsikan daripada pengalaman dan pengetahuan saya yang tidak seberapa. Mohon maaf jika ada kekurangan ataupun ada cara yang jauh lebih mudah daripada apa yang saya nyatakan di atas seperti proses yang boleh dilakukan secara online.
Semoga membantu. Jika anda mempunyai sebarang persoalan lanjut, silalah hubungi saya melalui blog ini ataupun terus ke dalam inbox emel saya, seperti di bawah.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Akmal Amri
emel: akmal [dot] amri [at] gmail [dot] com*
*gantikan [at] dengan simbol @ dan [dot] dengan simbol noktah, dan tulis alamat emel tersebut tanpa jarak
p/s: 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...