Sunday, January 23, 2011

KERTAS KERJA DASAR TARBIYAH ISLAMIYAH: PENGENALAN DAN PERLAKSANAAN DI DALAM PAS

KERTAS KERJA DASAR
TARBIYAH ISLAMIYAH: PENGENALAN DAN PERLAKSANAAN DI DALAM PAS
Sebelum membaca artikel ini, saudara perlu tahu;
1 – Kertas kerja ini adalah gambaran umum pelbagai aspek yang dibincangkan di dalam hal tarbiyah. Untuk tujuan pembentangan, hendaklah ditumpukan kepada butiran yang dihitamkan sahaja. Para ahli usrah dikehendaki membaca dan memahami sepenuhnya di rumah.
2 – Saudara akan mengetahui kedudukan tarbiyah dalam Islam, keunggulan manhaj dan proses perlaksanaannya di dalam membina individu muslim, jamaah dan masyarakat.
3 - Saudara juga akan melihat bagaimana perlaksanaan dan adaptasi tarbiyah Islamiyah di dalam parti PAS.
4 – Saudara juga akan memahami kewajiban ahli PAS untuk terlibat di dalam program tarbiyah anjuran parti.

Kedudukan Tarbiyah Islamiyah
Tarbiyah Islamiyah adalah salah satu isi besar dan penting di dalam agama Islam. Ia menjadi satu tugas yang paling utama kepada perutusan para anbiya’. Justeru pengajaran Islam mengenai tarbiyah Islamiyah cukup sempurna dan tiada taranya berbanding pengajaran falsafah dan ideologi kehidupan manusia yang lain.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dialah ( Allah ) Tuhan yang telah mengutuskan di dalam bangsa yang buta huruf ( bangsa Arab ) seorang rasul ( Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam ) daripada kalangan mereka sendiri untuk membacakan ke atas mereka ayat – ayatNya dan menyucikan jiwa mereka ( daripada kekotoran akidah dan jahiliyah) serta mengajarkan mereka al kitab (al Quran) dan al hikmah ( sunnah al Rasul ), dan sesungguhnya mereka sebelumnya telah berada di dalam kesesatan yang nyata.”
Surah al Jumu’ah: 2
Takrif Tarbiyah Islamiyah
Tarbiyah Islamiyah bermaksud satu kaedah terbaik untuk berinteraksi dengan fitrah manusia mengikut manhaj dan cara tertentu agar dapat mencetuskan satu perubahan atau pembaikan di dalam tingkah laku manusia kepada yang lebih baik dan lebih diredhai oleh Allah taala.
Ia adalah satu kaedah, manhaj dan jalan untuk mencapai matlamat agung kehidupan manusia dan penciptaan alam iaitu mencapai kesempurnaan beribadah demi memperolehi keredhaan Allah.
Kaedah tarbiyah Islamiyah ini dikira terbaik kerana ia dalah kaedah yang dipilih dan diwajibkan oleh Allah taala sendiri, tuhan yang mencipta dan mengetahui segala – galanya tentang manusia dan sekelilingnya.
Oleh kerana matlamat tarbiyah Islamiyah bermaksud mencipta manusia yang sempurna, maka ruang legar tarbiyah Islamiyah adalah luas dan mencakupi semua urusan yang berkaitan manusia dan kehidupannya. Ia merangkumi pembinaan di dalam ruh, akal, tubuh serta akhlak dan tingkah laku manusia.
Justeru tarbiyah Islamiyah melangkaui persoalan akidah, ruhiyah dan aqliyah kepada persoalan kesihatan jasmaniyah, akhlak jamaah, kemasyarakatan, politik dan sebagainya.
Ciri – Ciri Manhaj Tarbiyah Islamiyah
Ciri – ciri manhaj tarbiyah Islamiyah di bawah adalah menjadi petanda yang membezakan dan menjarakkannya daripada seluruh falsafah dan ideologi tarbiyah selainnya yang bersifat aqliyah semata – mata;
1- Manhaj yang bersumberkan Islam. Ia mestilah daripada wahyu al Quran dan al Hadis. Sekiranya diambil daripada selainnya, maka hendaklah selari dengan kedua – duanya dan diterima akal ke arah maslahat dan kepentingan manusia.
2- Manhaj yang praktikal. Ia bukan sekadar teori dan retorika semata – mata bahkan menjadi satu manhaj yang membina manusia beragama di dalam diri, keluarga, jamaah dan masyarakat secara praktikal dan hidup.
3- Manhaj yang menyeluruh. Ia meliputi segala asas dan tunjang kehidupan, kemudian menjalar kepada segala aktiviti kehidupan. Justeru ia pasti hadir dan menyumbang khidmat kepada setiap aspek kehidupan manusia.
4- Manhaj yang waqi’ie dan realitis. Ia mengambil kira dan mengiktiraf keupayaan manusia di dalam perlaksanaan manhajnya. Ia tunduk kepada asas wahyu bahawa tiada taklif yang di luar keupayaan manusia. Justeru ia begitu anjal dan aktif di dalam menerima perubahan semasa selagi ia kekal dalam asas dan nilai ugama dan tidak memudaratkan manusia.
5- Manhaj yang saling melengkapi. Ia saling mengikat dan memerlukan. Ia menolak pemisahan di antara juzuk – juzuknya, lalu ia menjadi cacat dan runtuh. Ini kerana binaannya bermula daripada asas – asas yang satu sumbernya. Memisahkannya bererti mencabutnya daripada sumber kekuatannya. Justeru ketika ia membina ruh dan akal, seseorang muslim itu akan cacat tanpa pembinaan jasmani dan akhlak kemasyarakatannya secara serentak.
6- Manhaj yang seimbang. Kekuatan antara juzuknya adalah sama dan selaras dengan tuntutan fitrahnya. Maka ia tidak boleh menjurus kepada pembinaan satu juzuk sehingga meminggirkan juzuk yang lain. Hilang keseimbangan di dalam perlaksanaan manhaj ini akan menyebabkan juzuk yang terbina menyerang dan meruntuhkan juzuk yang terabai. Itulah yang dapat dilihat secara nyata di dalam sistem tarbiyah yang selain daripada Islam.
7- Manhaj yang berperingkat. Ia terlaksana melalui peringkat – peringkat yang mesti diikuti, tidak boleh dialpakan dan tidak boleh diloncati. Ia tunduk kepada binaan fitrah manusia, anjal dan bertindak balas kepada keperluannya dan meraikan keutamaan tertibnya. Justeru sebagai contonya, ia melalui proses tamhid, takrif, takwin, tanfiz dan tamkin sebagaimana diwujudkan dalam manhaj tarbiyah al Ikhwanil Muslmin.
8- Manhaj yang sejagat. Ia adalah manhaj tarbiyah yang sesuai dalam semua keadaan, masa dan tempat. Apa yang dilaksanakan di bumi Arab mungkin saja dilaksanakan dengan jayanya di tempat lain. Ini kerana sumbernya adalah Islam yang di antara ciri agungnya adalah sifat kesejagatannya. Pengambilan sumber selain Islam adalah penyebab kepada kegagalan seluruh sistem tarbiyah yang lain.
9- Manhaj yang ilmiah. Ia tunduk kepada jalan akal di dalam pengajarannya di dalam semua hal.. Ia yang bersumberkan wahyu adalah seiringan dengan ilmu dan akal. Ia tidak mungkin bertentangan kerana wahyu menunjuki akal dan meneranginya. Ia tidak meminggirkan peranan akal bahkan memuliakannya dengancara mengajak manusia menggunakan akal.
10- Manhaj yang positif dan reaktif. Ia menerima taat kepada Allah, cintakan kebaikan dan kesejahteraan serta kesediaan menggempur kejahatan. Ia menolak unsur - unsur negatif daripada merosakkan minda manusia seperti kepercayaan kepada khurafat yang meminggirkan akal. Ia menolak penyembahan sesama manusia dan nafsu syahwat selain menolak taqlid buta di dalam masyarakat yang merencatkan kerancakan akal manusia.
Asas – Asas Manhaj Tarbiyah Islamiyah
Matlamat tarbiyah Islamiyah adalah dibina dan dicetuskan oleh asas - asas binaannya. Maka kejayaan mencapai matlamat tarbiyah adalah terikat dan kembali kepada kekuatan asas – asas manhajnya. Asas – asas manhaj tarbiyah terbina di atas 3 tunjang berikut;
1) Akidah yang sahih pada zat Allah taala, sifat – sifat, nama – nama dan af’alNya serta tauhid rububiyah dan uluhiyahNya. Ia termasuk juga perihal wahyu dan perutusan kenabian serta berita – berita mengenai alam ghaib ( sam’iyat) seperti malaikat, jin, ruh dan alam akhirat.
2) Akidah yang teguh terhadap kesempurnaan syariah Islamiyah dan kesesuaiannya untuk umat Islam, bahkan untuk seluruh manusia di setiap tempat dan zaman. Keteguhan itu hendaklah melangkau kepada keyakinan bahawa sistem selain syariah Islamiyah adalah gagal dan tidak layak untuk mengurus kehidupan.
3) Akidah yang sahih bahawa sistem Islam adalah yang terbaik yang mesti diterima pakai di dalam hubungan kemasyarakatan samada sesama umat Islam atau di antaranya dengan orang bukan Islam, semasa aman dan perang demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Inilah asas – asas manhaj tarbiyah yang di atasnyalah terbina dan lahir manusia yang sempurna yang menyempurnakan matlamat kehidupan di dunia ini.
Matlamat Tarbiyah Islamiyah
Matlamat tarbiyah Islamiyah secara ringkasnya adalah menyediakan insan muslim yang beribadah kepada tuhannya, berkeperibadian soleh, berjaya di dunia dan siap siaga untuk kehidupan akhiratnya.
Ia terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu matlamat umum dan matlamat khusus. Matlamat khusus sebenarnya memperincikan maksud matlamat umum.
Matlamat ini dijelaskan di dalam al Quran dan al Hadis samada secara terperinci atau ringkas dan perlaksanaannya menjadi semakin jelas sepanjang kurun – kurun awal umat Islam.
1 – Matlamat umum tarbiyah Islamiyah
1) Menyediakan insan yang beribadah kepada Allah mengikut syariat Islam yang diajarkan oleh Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Ia hanya berlaku apabila terkumpul syaratnya iaitu terlaksananya rukun – rukun iman, rukun - rukun Islam dan memiliki ilmu dan makrifat yang mencapai keredhaan Allah.
2) Mengikhlaskan ibadah kepada Allah. Ia adalah ibadah dalam erti kata yang luas daripada melaksanakan kefardhuan sehinggalah setiap tingkah laku dan perbuatan harian yang dimurnikan niat kepada Allah. Tanpa niat yang ikhlas, amalan menjadi sia – sia.
3) Melaksanakan kewajiban khilafah di muka bumi. Ia bermaksud beribadah kepada Allah dan memakmurkan bumi ini mengikut manhaj Allah. Ia terhasil melalui penerokaan terhadap bumi dan kekuatannya, memanfaatkan segala hasil mahsulnya dan menggunakannya untuk kebaikan manusia di dunia dan akhirat.
4) Bekerja untuk memastikan perlaksanaan manhaj Allah di muka bumi ini kerana kesempurnaan dan kesesuaiannya untuk kehidupan seluruhnya.
2 – Matlamat khusus tarbiyah Islamiyah
1) Menyiapkan pemikiran insan muslim dan menyuburkan keupayaannya untuk memerhati dan bertadabbur.
2) Menyiapkan tubuh badan dan mendidiknya demi melaksanakan tugas khilafah yang disyariatkan oleh Allah. Islam menuntut jasmani yang sihat dan menjauhkannya daripada sesuatu yang merencatkan keupayaannya untuk bekerja.
3) Mendidik akhlak dan menyucikannya demi menyelesaikan segala permasalahan manusia dan membangunkan kehidupan yang bahagia. Ia merangkumi tarbiyah peribadi dengan menghiasinya dengan sifat – sifat mulia, tarbiyah keluarga dengan kasih sayang,tanggung jawab serta ihsan dan tarbiyah kemasyarakatan dengan kecintaan kepada kebajikan, kesediaan berkorban untuk orang lain dan amar makruf nahi munkar.
4) Mendidik rasa dan kecenderungan bermasyarakat demi mengharmonikan hubungan sesama manusia. Ia mendidik ke arah saling mengenali dan berkerja sama dan saling menjaga hak, akad dan kewajiban.
5) Mendidik rasa keindahan dan estetika dengan menyuburkan rasa tanggung jawab terhadap keindahan alam ciptaan Allah, lalu berusaha berinteraksi dan bereaksi terhadapnya dengan turut menyempurnakan diri dengan keindahan pada akhlak, makan minum, tempat tinggal dan sebagainya.
Semua matlamat tarbiyah di atas sekiranya tercapai, maka ia pastinya melahirkan insan dan masyarakat soleh yang beribadah kepada Allah di dunia dan bersiap untuk menuju akhirat.
Wasilah Tarbiyah Islamiyah
Wasilah adalah jalan ke arah mencapai matlamat. Oleh kerana matlamat tarbiyah Islamiyah adalah bertujuan untuk memuliakan insan dan kehidupan dengan ibadah kepada Allah, maka wasilah dan jalan menuju matlamat tersebut juga mestilah mulia dan diterima Allah.
Justeru wasilah tarbiyah Islamiyah memiliki sifat – sifat berikut; Sahih dan diterima syara’, menjadi penawar kepada penyakit manusia, positif dan membina, meladeni fitrah manusia, menyeluruh dan lebih berjaya dan mendapat keredhaan Allah.
Wasilah tarbiyah Islamiyah dibahahagikan kepada 2 bahagian:
1 – Wasilah umumIa bermaksud diterima pakai oleh seluruh umat Islam. Ia adalah seperti berikut;
1) Ucapan atau tazkirah. Kalimah yang lahir daripada hati yang ikhlas mampu menembusi hati dan melekat di dalamnya. Justeru memberi peringatan secara lisan dianggap senjata paling ampuh untuk dakwah Islamiyah.
2) Qudwah hasanah. Ia bermaksud mengikuti orang lain di dalam amalannya yang baik. Ia adalah jalan al Quran yang hampir pasti mengenai sasarannya. Para anbiya’ diberi kekuatan qudwah sehingga memudahkan para pengikutnya mengikuti petunjuknya dengan mudah dan jelas.
3) Pengkisahan sejarah manusia. Ia mudah menjadi iktibar kepada manusia yang berfikir, menetapkan hati dan meringan beban yang tertanggung. Ia menjadi satu wasilah yang cukup berkesan. Al Quran menggunakan pengkisahan umat terdahulu dengan para nabi mereka sebagai wasilah yang mengajak manusia kepada hidayat.
4) Berhias dengan akhlak yang baik. Akhlak yang baik seperti sifat benar, amanah, setia, tawadhu’, sabar, pemurah dan sebagainya cukup untuk menjadi wasilah yang terbaik kepada tarbiyah Islamiyah.
5) Membersih diri daripada akhlak yang buruk. Ia menyempurnakan wasilah ke 4 di atas. Menjauhi akhlak yang buruk seperti keluh kesah, bakhil, sombong, khianat, dengki dan sebagainya akan menjadi senjata dan jalan yang mudah ke arah tarbiyah Islamiyah.
6) Ganjaran dan pembalasan ( pahala dan dosa ). Ia satu wasilah yang mampu mendorong manusia mengejar kemaslahatan untuk diri dan menjauhi kemudharatan. Al Quran penuh dengan peringatan – peringatan dosa dan pahala.
7) Ibadah dan taat kepada Allah. Ia berlaku dengan mendorong kecintaan untuk beribadah dan melakukan ketaatan kepada Allah dengan bukan hanya melaksanakan kefardhuan, bahkan menambahnya dengan bahagian tertentu daripada ibadah nawafil dan sunat.
8) Menyemai kekuatan dalaman manusia. Islam memberi ruang agar kekuatan dalaman manusia diberi tempat dan ruang untuk tumbuh subur dengan kebaikan dan keadilan. Rasa cinta, nafsu, benci, ingin tahu dan sebagainya disemai untuk cintakan Allah, rasul, isteri dan cintakan ilmu dan kebaikan.
9) Menyelesaikan dan mengurai isu dan peristiwa. Ia bertujuan menyemarakkan pemikiran, melatih akal dan mengambil pengajaran dan kekuatan. Ia juga menolong untuk mengosongkan diri daripada keburukan akhlak.
10) Memenuhkan masa dengan tugasan. Masa adalah kehidupan. Tanpa pengisian dengan amal – amal yang baik, masa akan terisi dengan amal – amal yang buruk dan merosakkan. Justeru Islam mentarbiyah manusia dan menganjurkan usaha mengisi masa dengan aktiviti berfaedah melalui kerja – kerja amal kemasyarakatan di samping kewajiban – kewajiban yang banyak.
2 – Wasilah khusus tarbiyah Islamiyah. Ia menjadi pelancar kepada kebanyakan gerakan Islam di dalam mentarbiyah ahli - ahlinya. Ia seperti berikut:
1) Usrah – Satu unit halaqah kecil yang diketuai seorang naqib yang bertanggung jawab ke atasnya dalam mentarbiyah sesama ahli dengan saling mempelajari, memahami, menasihati dan berkerja sama.
2) Katibah – Program satu malam di jalan Allah. Di situ para ahli akan bersama – sama melakukan ibadah solat fardhu berjamaah, membaca al Quran, zikir dan qiamullail selain pembelajaran selepas isya’, hirasah, bacaan al ma’thurat serta riadhah fizikal di sebelah paginya.
3) Rihlah – Program perkelahan ke tempat – tempat tertentu dengan pengisian rohani dan jasmani ke arah memupuk persaudaraan dan kerja sama di antara ahli.
4) Daurah – Program tamrin untuk beberapa hari ke arah memberi kefahaman mendalam kepada ahli terhadap tajuk – tajuk amal Islami yang penting. Ia juga merupakan latihan kefahaman untuk meningkatkan tahap keahlian anggota jamaah.
5) Nadwah – Program seminar sehari atau lebih yang dihadiri kumpulan ahli yang lebih besar ke arah memahami isu – isu semasa jamaah dan masyarakat dan pendedahan politik semasa.
6) Mukhayyam – Program di luar untuk beberapa hari dengan pengisian ceramah, perbincangan, majlis kesenian Islam selain program ibadah dan ukhuwwah.
7) Muktamar – Perhimpunan besar tahunan untuk merumus keputusan jamaah dan mendengar arahan dan amanat kepimpinan.
Kesemua wasilah tarbiyah khusus di atas sebenarnya saling melengkapi dan mestilah dilalui oleh setiap ahli gerakan Islam agar pembinaan syakhsiahnya menjadi sempurna merangkumi tuntutan ruhiyah, aqliyah, badaniyah, jamaiyah, ijtimaiyah dan sebagainya.
PERLAKSANAAN TARBIYAH ISLAMIYAH DI DALAM PAS
Latar Belakang
PAS adalah rantaian gerakan Islam sedunia yang ditubuhkan dengan matlamat mengembalikan kekuasaan khilafah Islamiyah sedunia selepas runtuhnya Khilafah Uthmaniyah di Turki hampir seabad yang lalu.
PAS berdaftar sebagai sebuah pertubuhan politik di dalam negara demokrasi sekular Malaysia yang bermatlamat menubuhkan sebuah negara Islam berdaulat.
Di atas sifatnya sebagai sebuah gerakan Islam yang bergerak di atas pentas politik secara langsung, PAS telah membina sistem tarbiyahnya sendiri dengan mengambil kira pelbagai aspek seperti perundangan, struktur parti dan pengalaman selain rujukan kepada sumber – sumber ugama dan gerakan – gerakan Islam yang lain.
Kedudukan Tarbiyah Islamiyah Di Dalam PAS
PAS menjadi satu – satunya parti politik dalam negara yang memiliki manhaj tarbiyah yang tersusun untuk ahli – ahlinya. Manhaj tarbiyah Islamiyah merupakan nadi utama di dalam PAS kerana faktor – faktor berikut:
1) Cita – cita menegakkan khilafah dan daulah Islamiyah yang merupakan matlamat kehidupan manusia di bumi ini tidak mungkin tercapai kecuali dengan lahirnya pahlawan – pahlawan besar yang istiqamah dan bersedia menempuh onak dan duri perjuangan. Justeru tarbiyah Islamiyah adalah proses melahirkan rijal tersebut.
2) Perjuangan PAS memerlukan ahlinya memahami erti dan nilai perjuangan Islam secara jelas dan benar. Kekaburan di dalam memahami perjuangan Islam yang sering disalah fahamkan oleh musuh Islam pasti akan menggagalkan perjalanan suci ini. Justeru tarbiyah memainkan peranan utama meneguhkan kefahaman ahli.
3) Keikhlasan di dalam perjuangan adalah rukun di dalam perjuangan Islam dan PAS. Oleh kerana keikhlasan memerlukan proses penyucian yang berterusan dan khusus, maka pembinaan melalui proses tarbiyah Islamiyah adalah menjadi kemestian kepada ahli PAS.
4) Perjuangan Islam adalah panjang dan merentasi masa. Maka PAS memerlukan ahli – ahli yang terlatih untuk meneruskan kesinambungan di dalam mewarisi perjuangan ini tanpa henti.
Manhaj Tarbiyah PAS
Manhaj tarbiyah PAS adalah manhaj tarbiyah Islamiyah. Tiada bezanya kerana sumber PAS seluruhnya adalah sumber Islam seluruhnya. Justeru perbincangan mengenai manhaj tarbiyah Islamiyah di atas adalah pemahaman terhadap manhaj tarbiyah yang dilaksanakan di dalam PAS.
Walau bagaimanapun, perbezaan tetap wujud di dalam perlaksanaan manhaj di antara gerakan – gerakan Islam. Ini kerana sifat manhaj Islam itu sendiri yang sedia menerima perubahan, pembaikan dan pembaharuan disebabkan perubahan dan perkembangan masa, tempat, tuntutan semasa dan pengalaman.
Justeru PAS membina manhaj tarbiyahnya berdasarkan keperluan dan tuntutannya. Secara umumnya perlaksanaan manhaj tarbiyah PAS adalah seperti berikut;
1) Tarbiyah pembinaan generasi awal – Ia diselia oleh Lajnah Pendidikan PAS dalam menggubal sistem pendidikan dan memantau perjalanan sekolah – sekolah pendidikan awal yang diurus secara langsung oleh parti atau individu parti yang terlibat di dalam dunia pendidikan.
2) Tarbiyah perkaderan di peringkat pengajian menengah dan tinggi – Peringkat ini adalah dikira paling penting kerana ia bakal menyediakan pelapis kepada kelangsungan perjuangan PAS. Satu lajnah di bawah Dewan Pemuda PAS diberi tanggung jawab untuk memastikan proses perkaderan tarbiyah yang paling sempurna dilaksanakan di peringkat ini.
3) Tarbiyah perlaksanaan jentera parti – Peringkat ini adalah merupakan puncak kerana ia menyediakan para amilin parti yang bertebaran di medan perjuangan politik dan kemasyarakatan. Ia dilaksanakan oleh seluruh peringkat jentera dan peringkat parti. Oleh kerana struktur PAS dibina mengikut acuan sebuah parti politik demokrasi, maka manhaj tarbiyahnya banyak mengalami penyesuaian terutama di peringkat perlaksanaannya.
4) Tarbiyah khusus ahli PAS – Ini adalah manhaj pilihan yang disediakan oleh parti untuk ahli PAS yang tidak terlibat di peringkat jentera ( atau yang terlibat juga ) yang ingin membina kekuatan diri melalui tarbiyah yang berterusan dan tersusun.
5) Tarbiyah umum – Ia disediakan untuk masyarakat dan penyokong PAS. Ia dilaksanakan oleh Dewan Ulama dan Lajnah Penerangan parti di semua peringkat.
Wasilah tarbiyah PAS
Usrah adalah asas pembinaan tarbiyah di semua peringkat. PAS hampir menggunakan kesemua wasilah tarbiyah Islamiyah samada yang umum atau khusus sebagaimana di atas. Ia hanya berbeza dan mengalami sedikit perubahan berdasarkan keperluan semasa dan pengalaman sendiri.
Sebagaimana dihuraikan di atas bahawa wasilah dan cara pentarbiyahan adalah saling melengkapi sehingga ia menjadi penentu kepada tahap kejayaan yang diperolehi oleh setiap ahli di dalam program tarbiyahnya.
Justeru ahli PAS tidak terkecuali daripada kemestian mengikuti setiap siri tarbiyah yang dianjurkan.
Majlis syura, Muktamar PAS dan mukhayyam/retreat adalah lambang utama kejayaan perlaksanaan tarbiyah di dalam PAS.
Penutup
Sebenarnya, PAS telah berjaya menyampaikan usaha tarbiyahnya di semua ruang kehidupan. Hanya perlaksanaan yang lebih berkesan dan efisien melalui manhajnya yang jitu yang akan menentukan kejayaan yang lebih gemilang kepada perjuangan Islam di tanah air.
Adalah menjadi kewajiban semua ahli dan jentera PAS untuk terlibat sepenuhnya di dalam program tarbiyah yang dianjurkan oleh parti. Dengan itu, mereka akan lahir sebagai ‘rijal’ untuk perjuangan suci ini demi kebahagian di dunia dan di akhirat.
Selepas membaca artikel ini, saudara telah memahami;
1 – Tarbiyah Islamiyah adalah tugas kerasulan dan menjadi isi besar di dalam pengajaran Islam yang mesti dilalui setiap muslim demi pembinaan dirinya sebagai seorang muslim yang benar.
2 – Tarbiyah Islamiyah bermatlamat melahirkan manusia sempurna di dalam mencapai matlamat penciptaan iaitu beribadah kepada Allah dan menperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat.
3 – Manhaj tarbiyah Islamiyah adalah paling unggul berbanding semua sistem tarbiyah aqliah yang lain kerana ianya berfalsafahkan wahyu dan benar di dalam akidahnya kepada Allah taala.
4 – Manhaj dan wasilah tarbiyah PAS adalah selari dengan manhaj dan wasilah tarbiyah Islamiyah kerana ianya bersumberkan daripada sumber Islam yang sama.
5 – Ahli PAS wajib melalui proses tarbiyah parti ke arah sumbangan yang lebih besar dan kejayaan berintima’ di dalam parti.
Panel:
1 ) Ustaz Hj Nasrudin bin Hassan Tantawi
2 ) Ustaz Hj Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
4 ) Ustaz Hj Riduan bin Mohd Nor
5 ) Ustaz Hj Nik Mahadi bin Nik Mahmood
6 ) Ustaz Hj Mohd Asri bin Mat Daud
7 ) Ustaz Hj Zulqarnain bin Hassan
8 ) Ustaz Hj Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin al Joofre

KERTAS KERJA DASAR PAS SEBAGAI HARAKAH ISLAMIYAH: PERANAN DAN TUNTUTAN

KERTAS KERJA DASAR
PAS SEBAGAI HARAKAH ISLAMIYAH:
PERANAN DAN TUNTUTAN

Sebelum membaca artikel ini, saudara perlu tahu;
1. Kertas kerja ini adalah untuk memperkenalkan maksud gerakan Islam dan peranannya secara umum . Untuk tujuan pembentangan, hendaklah ditumpukan kepada butiran yang dihitamkan sahaja. Para ahli usrah dikehendaki membaca dan memahami sepenuhnya sebagai kerja rumah.
2 – Saudara akan melihat peranan gerakan Islam yang lebih luas yang melangkaui maksud dan peranan sebuah pertubuhan politik atau pertubuhan – pertubuhan lain yang menggambarkan kesempurnaan dakwah Islam.
3 – Saudara perlu tahu kedudukan PAS sebagai gerakan politik dan dakwah.
4 – Saudara perlu memahami dengan jelas peranan setiap ahli gerakan Islam demi menjayakan misi agung Islami di dalam memimpin umat manusia sejagat.

Pengenalan
PAS hari ini sedang bergerak laju. Kelajuannya seiring dengan perubahan politik negara yang dilihat sedang mengalami proses transformasi yang akan, setidak - tidaknya mengeluarkannya daripada politik lama yang bersifat diktator dan kuno kepada politik baru yang lebih bebas, telus dan adil, jika tidak pun sampai mampu mengubah kerajaan dan pemerintahan sedia ada yang semakin lemah dan gagal.
Selain kesan positif yang diharapkan untuk PAS di dalam memperolehi sokongan rakyat yang lebih besar, seterusnya diterima rakyat untuk memperkenalkan dan melaksanakan Islam sebagai cara hidup yang satu dan ideal untuk negara ini, sedikit kesilapan hasil kegelojohan dan ketidak telitian mungkin juga akan mengheret PAS ke dalam kancah konflik politik dan pertikaian yang akan merugikan dan melambatkan perjalanan PAS menuju matlamatnya.
Justeru adalah baik jika pengemaskinian kefahaman ahli PAS terhadap matlamat, peranan PAS selain tuntutan semasanya diberi keutamaan dan diperdalamkan.
Kertas ini akan mengupas peranan PAS sebagai sebuah harakah Islamiyyah atau gerakan Islam dengan memperincikan keutamaan yang harus dilaksanakan demi mengekalkannya terus relevan sebagai harapan umat yang akan menjadi kenyataan.
Maksud Harakah Islamiyah
Harakah Islamiyah difahami sebagai sebuah gerak kerja ( amal ) massa ( sya’biy ) secara berkumpulan ( jamaie ) yang tersusun ( munazzam ) dengan matlamat kembali kepada Islam untuk memimpin masyarakat dan mengarah seluruh aspek kehidupan.
Ia mestilah sebuah gerak kerja yang berterusan, bukan sekadar ceramah dan kata – kata atau tulisan dan buku walaupun ianya juga penting, tetapi ia hanya satu juzuk daripada gerak kerja yang dimaksudkan.
Maksud firman Allah; “Dan katakanlah, beramallah kamu semua, pasti Allah, rasulNya dan orang – orang beriman akan melihat amalan kamu.” – al Taubah:105
Ia juga mestilah sebuah gerakan rakyat yang tertegak di atas kesedaran dan kerelaan sendiri daripada keimanan teguh kepada Allah dan mengharapkan ganjaran daripadaNya, bukan daripada manusia.
Kesedaran diri itu adalah berpunca daripada wujudnya pergolakan di dalam diri mereka akibat pertembungan dan percanggahan di antara iman mereka yang mendalam terhadap kebenaran dan kekuatan agama Islam dengan realiti kehidupan umat yang menunjukkan sebaliknya.
Maka berlakulah satu kebangkitan dan revolusi di dalam diri yang bertitik tolak dari rasa kasih terhadap agamanya, rasa cuainya diri dan umat disekelilingnya di dalam melaksanakan kewajiban terhadap ugama di dalam berhukum dengan syariat Allah, menyatukan umat di atas kalimah tauhid, membebaskan tanah air Islam daripada segala bentuk penjajahan luar di samping mengembalikan kerajaan khilafah Islamiah untuk memimpin umat seluruhnya.
Justeru gerakan Islam mestilah bersifat rakyat, sukarela dan tersusun gerak kerjanya.
Adapun gerak kerja atau program rasmi Islam oleh pihak kerajaan ataupun agensinya, walaupun ia mungkin turut menyumbang ke arah kebaikan agama dan umat, tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai sebuah gerakan Islam. Ini kerana ia bergerak di atas upah dan gaji, dilaksankan oleh pegawai yang mungkin tidak ikhlas, tidak ahli dan tidak amanah, selain terikat dengan kehendak dan telunjuk politik pemerintah. Ia juga sering bertentangan dengan kehendak dan aspirasi umat sehingga mereka telah dicap sebagai ulama kerajaan ( ulama’ al sulthah ). Semua ini menjadikan projek Islam kerajaan tidak akan mampu menjadi amal sebuah gerakan Islam.
Justeru perlu difahami bahawa jika gerakan Islam telah menguasai sesebuah kerajaan, maka segala program kerajaan hendaklah menjadi jentera yang akan melancarkan segala gerak kerja Islam yang telah disusun rapi oleh gerakan Islam tersebut demi mencapai matlamatnya yang murni dan agung.
Dalam bahasa hari ini disebut sebagai ‘parti menguasai kerajaan’.
Harakah Islamiyah juga mestilah sebuah gerakan yang berkumpulan dan bertanzim. Ia tidak menerima gerak kerja ramai yang ikhlas tetapi berselerak walaupun amalannya tetap diterima Allah.
Maksud firman Allah; “Dan tidaklah Allah akan mensia –siakan iman kamu ( amalan kamu ). Sesungguhnya Allah amat pengasih lagi penyayang terhadap manusia.” – al Baqarah: 143
Lihat juga al zalzalah: 7,8 dan Aali Imran: 195
Kemestian ini disebabkan oleh dua faktor utama iaitu agama dan realiti. Adapun ugama, maka ia disebabkan Islam menyeru kepada jamaah dan menolak bersendirian dan terpencil.
‘Tangan Allah di atas jamaah’. ‘Barang siapa memencil diri, dia akan terpencil di neraka’. ‘Orang mukmin saling kuat menguat’. Islam menyeru ‘berkerja sama melakukan kebajikan dan taqwa’ dan menyuruh untuk ‘saling mewasiat dengan kebenaran dan keabaran’.
Adapun realiti, maka ia disebabkan oleh hakikat bahawa sesuatu hasil itu tidak akan sempurna kecuali jika dilakukan secara bersama. kerja yang besar idak akan sempurna kecuali melalui usaha yang saling bergandingan. Sebelah tangan tidak boleh bertepuk.
Maksud firman Allah; “Sesungguhnya Allah menyukai orang – orang yang berperang di jalanNya dalam satu saf yang tersusun seolah – olah mereka bagai sebuah bangunan yang kukuh.” – al Shaff:4
Gerakan yang bertanzim bermaksud hendaklah ianya diterajui kepimpinan yang bertanggung jawab, dibina di atas asas yang kukuh dan kefahaman yang jelas, menggariskan hubungan di antara kepimpinan dan akar umbi yang diikat dengan syura yang wajib dan mesti didengari selain ketaatan yang jelas dan mesti.
Islam dalam apa bentuk pun tidak mengenal jamaah tanpa tanzim hatta dalam perkara yang kecil seperti halnya dalam solat berjamaah yang bermula dengan saf yang rapi dan berterusan dengan ketaatan penuh kepada imam yang benar sehinggalah rukun salam.
Bagaimana PAS Sebagai Sebuah Parti Politik?
Satu persoalan yang sering ditimbulkan mengenai PAS adalah kedudukannya sebagai sebuah parti politik dilihat lebih menyerlah berbanding sebagai sebuah gerakan Islam.
Sebenarnya ianya tidak bertentangan, bahkan kita perlu melihatnya sebagai satu kelebihan jika dilaksanakan tuntutannya dengan tepat dan berkesan. Perhatikan sebabnya;
Pertama, PAS lahir daripada krisis politik semasa di Malaysia di saat negara sedang berjuang untuk kemerdekaan. Kelahirannya di atas pentas politik adalah cukup tepat untuk mengimbangi penguasaan golongan sekular di dalam UMNO dan BN yang berusaha memenangi dan merosakkan akidah rakyat dengan ideologi kebangsaannya.
Kedua, PAS adalah kelangsungan gerakan dakwah dan gerakan anti penjajahan yang dipelopori oleh para ulama sebelumnya. Para ulama yang berjuang menentang penjajah sebenarnya telah merujuk kepada gerakan tajdid Islam yang berpusat di Negara Arab dan Turki. Justeru peranan awalnya sebagai gerakan haraki adalah jelas.
Ketiga, dalam gerakan Islam, tarbiyah dan fikrah ibarat enjin yang mengerakkan jentera daripada dalam sedangkan tayar dan steringnya adalah politik. Justeru keaktifan PAS di dalam politik hendaklah dilihat sebagai kekuasaannya menguasai masyarakat dan tidak menjadi sebab kepada terpinggirnya lapangan lain terutama tarbiyah dan fikrah.
Keempat, dengan berdaftar sebagai sebuah parti politik, PAS mampu bergerak dalam medan yang lebih luas berbanding sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan non partisan.
Kelima, Gerakan Islam seluruh dunia hari ini telah mula memajukan diri di dalam politik hatta gerakan al Ikhwanul Muslimun di Negara - negara Arab. Maka PAS telah dilihat lebih terkedepan mengharungi dan mendepani politik tanah air.
Keenam, Jika PAS hanya gerakan politik yang bersifat ‘mesra sekular’, sudah pasti PAS telah berkubur di Malaysia bersama berkuburnya parti – parti politik pembangkang yang lain dek tekanan dan kezaliman pemerintah. Tetapi sebaliknya, PAS kekal. Ini adalah kerana kekebalannya yang merujuk kepada kekebalan sebuah gerakan Islam yang dibajai ruh Islami daripada al Quran dan al hadis.
Peranan Harakah Islamiyah
Sebuah harakah Islamiyah seperti PAS mestilah memainkan peranan yang utama di dalam gerakan tajdid Islami dan mengembalikan semula hak Islam untuk memimpin kehidupan seluruhnya selepas berjaya menghilangkan segala halangan yang menghalang.
Maksud tajdid;
Tajdid al din adalah satu istilah nabawy daripada hadis al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam sendiri: “Sesungguhnya Allah pasti akan mengutuskan untuk umat ini, di hujung setiap seratus tahun, orang yang ( man ) akan memperbaharui ( tajdid ) untuk mereka akan agama mereka.” – Riwayat Abi Daud dan al Hakim daripada Abi Hurairah dengan isnad yang sahih.
Walaupun kebanyakan ulama melihat bahawa kalimah ‘man’ itu merujuk kepada individu, tetapi beberapa ulama terkemuka seperti Ibn al Athir dan al Hafiz al Zahabi pula melihat ianya bukanlah satu kemestian, bahkan ianya mungkin bermaksud satu kumpulan ulama yang bersama – sama membawa tajdid agama.
Dan, alangkah benarnya jika kumpulan ulama yang melakukan tajdid ini membentuk satu madrasah atau gerakan pemikiran dan amal yang tersusun dan saling bahu - membahu. Inilah syarah terhadap al hadis di atas yang paling baik dan realiti ( waqiey ) untuk kebangkitan umat Islam hari ini mengikut pandangan al Syeikh Yusuf al Qaradhawi.
Apakah yang perlu ditajdidkan?
Tajdid yang perlu dilaksanakan oleh gerakan Islam hendaklah tertumpu kepada tiga perkara utama;
Pertama, membentuk sebuah pasukan Islam yang mampu memimpin masyarakat hari ini dengan Islam yang benar dan menyeluruh dan merawati penyakit mereka dengan penawar bersumberkan Islam itu sendiri. Pasukan Islam ini hendaklah memiliki tiga sifat utama; iman yang mendalam, kefahaman yang jelas dan ikatan yang kukuh.
Kedua, membentuk pandangan umum rakyat majoriti yang menyokong pasukan Islam tersebut dan memberikan bantuan dan kasih sayang mereka kepadanya selepas mengenali matlamat perjuangan dan melihat keikhlasan dan kekuatan mereka.
Ketiga, membentuk satu iklim sejagat yang mula menerima kewujudan dan hak umat Islam selepas mereka ( non muslim ) memahami hakikat risalah dan peradaban Islam dan bebas daripada ikatan - ikatan lampau yang begitu pesimis, gelap dan tidak adil terhadap Islam disebabkan sejarah pertembungan yang berterusan di antara Islam dan kekufuran.
Pandangan umum sejagat yang positif inilah yang akan membuka dada mereka untuk menerima kehadiran dan hak umat Islam untuk menyusun kehidupan mereka berlandaskan hukum agama mereka sendiri di dalam negara umat Islam yang majoriti sebagaimana ianya bertepatan dengan seruan demokrasi yang dilaungkan oleh dunia mereka sendiri.
Keutamaan – Keutamaan Semasa Harakah Islamiyah
Medan kerja untuk gerakan Islam seperti PAS hari ini menjadi semakin luas dan adalah menjadi kewajiban ke atas pimpinan gerakan untuk mengkaji dan mendalaminya dengan penuh teliti berpandukan fakta dan statistik yang benar agar.
Di antara medan amal yang utama adalah seperti medan tarbiyah yang bertujuan membina pasukan dakwah yang cemerlng yang memiliki fikrah yang jelas, akidah yang teguh, akhlak yang baik, ibadah yang ikhlas serta manhaj perjuangan yang moden untuk menggerak dan menyatukan umat di atas tali Islam yang syumul.
Begitu juga dengan medan politik yang bertujuan membebaskan kuasa dan pemerintahan daripada tangan golongan yang lemah dan khianat kepada tangan mereka yang gagah dan amanah serta bersih daripada sifat takabbur yang mampu memimpin umat Islam dan kemanusiaan menuju kecemerlangan.
Begitu juga dengan medan ekonomi demi membangun kekayaan umat dan membebaskan diri daripada mengikut telunjuk musuh serta menanggung hutang ribawi seterusnya menubuhkan syarikat – syarikat perniagaan dan yayasan – yayasan yang akan memajukan ekonomi umat.
Selain itu adalah medan ijtima’ie dan kemasyarakatan yang bertujuan menyelami masalah umat dan membantu mereka keluar daripada kejahilan, kemiskinan dan penyakit serta menyelamatkan mereka daripada serangan golongan musuh yang menjadikan kemiskinan umat sebagai peluang menukar keyakinan dan akidah mereka.
Medan – medan amal seterusnya adalah medan dakwah dan penerangan, medan jihad, medan pemikiran dan ilmu, medan hiburan dan seni serta medan sukan dan riadhah yang semakin besar dan luas kesan dan pengaruhnya ke atas kehidupan umat Islam hari ini.
Dengan perluasan lapangan kerja yang semakin membesar dan kompleks, adalah menjadi tanggung jawab untuk kepimpinan gerakan Islam memastikan setiap medan itu dipenuhi dengan pengagihan tenaga kerja yang cukup dan seimbang bergantung keperluan di medan selain kemampuan gerakan.
Pengabaian terhadap mana – mana lapangan amal tersebut akan memberikan kesan yang kurang selain membuka ruang untuk musuh melebarkan jaringan maker mereka.
Empat Yang Utama
Doktor Yusuf al Qaradhawi berpendapat bahawa pemusatan dan kesegeraan hendak digerakkan kepada empat lapangan amal yang paling penting untuk diterokai dengan jayanya iaitu;
Pertama, di alam lapangan pemikiran hendaklah diberi tumpuan yang mendalam dan pencerahan yang baru ke atas beberapa kefahaman Islam yang penting. Ini dinamakan al fiqh al jadid. Di antara kefahaman yang mesti diketengahkan ialah fiqh al awlawiyahfiqh al muazanah dan fiqh al maqasid.
Kedua, di dalam lapangan dakwah hendaklah ditumpukan kepada beberapa sektor dan kelompok masyarakat yang tertentu yang berpengaruh. Rakyat marhaen mestilah diselami kehidupan mereka. Kelompok perniagaan, bidang – bidang kewanitaan dan golongan akademik sebagai contoh adalah medan yang perlu dimedani dan dikuasai.
Ketiga, di dalam lapangan tarbiyah hendaklah ditumpukan kepada pembinaan kualiti yang tertentu ke atas kelompok kepimpinan masa depan terutama di dalam sudut fikrah dan iman. Inilah medan paling utama. Inilah kumpulan hari ini yang mengambil peranan kumpulan sahabat di zaman RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.
Keempat, di dalam lapangan politik hendaklah ditumpukan kepada pemajuan pemikiran dan praktikalnya di dalam politik hubungan dalam dan luar negari termasuk dengan non muslim agar dapat keluar daripada masalah dalaman dan sekatan oleh pihak luar selain merealitikan maksud kealamiahan Islam. Kefahaman politik yang terlalu dibayangi ujian dan serangan musuh yang mewujudkan politik perang, politik ekslusif dan politik taqlid hendaklah diperbaharui kefahamannya agar gerakan Islam terus maju atau setidak – tidaknya tidak terus ketinggalan di dalam memahami seterusnya memimpin umat.
Penutup
PAS adalah sayap dan jentera sebuah gerakan Islam sedunia yang lahir daripada sunnah perjuangan dan tuntutan agama. Ia lahir daripada keruntuhan yang menuntut binaan baru ke atas khilafah Islamiyah. Justeru PAS mestilah memiliki segala ciri – ciri gerakan hizbuLLah demi mendapat janji kemenangan daripada Allah.
Gerakan Islam hendaklah sentiasa membuka pintu kepada lambaian tajdid Islami terutama di zaman hari ini yang semakin cepat berkembang dan berubah. Apapun yang lebih penting adalah menjaga keaslian sebuah gerakan dakwah nabawiyah untuk umat manusia sejagat.
Selepas membaca artikel ini, saudara telah memahami;
1 – Gerakan Islam adalah sebuah gerakan ke arah Islam yang sempurna dan menyeluruh sebagaimana dendangan dan tuntutan al Quran dan al Hadis.
2 – Gerakan Islam saling bersatu di seluruh dunia demi mencapai matlamat Islam membina khilafah Islamiyah yang unggul.
3 – Kepentingan tajdid Islami di dalam menyempurnakan proses pembinaan harakah dan pencapaian matlamat.
4 – Memahami politik Islam dalam konteks PAS sebagai gerakan Islam.
5 – Memahami keutamaan kerja, pengagihan tugas dan penumpuan dan kepakaran demi kesan dan hasil yang sempurna dan menyeluruh.
Panel:
1 ) Ustaz Hj Nasrudin bin Hassan Tantawi
2 ) Ustaz Hj Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
4 ) Ustaz Hj Riduan bin Mohd Nor
5 ) Ustaz Hj Nik Mahadi bin Nik Mahmood
6 ) Ustaz Hj Mohd Asri bin Mat Daud
7 ) Ustaz Hj Zulqarnain bin Hassan
8 ) Ustaz Hj Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin al Joofre

Sunday, January 9, 2011

Fikrah merentasi jamaah


Teks Ucapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin Sempena Konvesyen Sunnah 2006.
FIKRAH MERENTASI JAMAAH
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله، نحمده ونستعينه، ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا، ومن سيئات أعمالنا، من يهده اللهُ فلا مُضِلَّ له، ومن يضلل فلا هادي له، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، أما بعد:
Tuan Pengerusi, hadirin dan hadirat sekelian,
Tidak ada siapa yang dapat menafikan sumbangan gerakan Islam dalam memberikan kesedaran umat dalam bidang-bidang yang mereka fokuskan. Sumbangan itu tidak hanya bersumberkan sebuah gerakan tertentu semata. Bahkan ia datang dari keperbagaian gerakan, organisasi dan jamaah. Tidak wajar mana-mana jamaah atau organisasi mendakwa hanya mereka yang berfungsi menyedarkan umat dan penyelesai segala krisis, lantas menafikan peranan gerakan atau jamaah yang lain.
Arus tajdid berterima kasih kepada semua gerakan yang menyelusuri perjalanan mereka bermanhajkan al-Quran dan al-Sunnah dan bersendikan kefahaman al-Salaf al-Saleh. Arus tajdid wajar menghargai apa yang telah mereka sumbangkan selama ini, selagi mana sumbangan itu positif untuk umat. Arus tajdid menolak sikap ekstrimis yang hanya menganggap jamaah dan kumpulan mereka sahaja yang syar’I, manakala selain mereka secara langsung atau tidak, dianggap tertolak. Jamaah atau organisasi yang ditubuhkan hanyalah wasilah (jalan) bukan ghayah (matlamat) bagi Islam itu sendiri. Matlamat Islam lebih agung dan syumul dari sebarang jamaah atau harakah. Fikrah Islam yang tulen merentasi kesempitan jamaah. Melebar luas menyeberangi pagar sebarang organisasi.
Arus tajdid juga harus berterima kasih kepada individu-individu yang memberikan sumbangan kepada kesedaran Islam; sama ada mereka terlibat dengan mana-mana jamaah, orginasasi atau tidak terlibat. Bukan syarat sah sesuatu amalan saleh atau dakwah kepada al-Kitab dan al-Sunnah seseorang mesti terlibat dengan organisasi atau jamaah tertentu. Bahkan amalan saleh itu sah apabila memenuhi rukun dan syarat seperti yang dijelaskan oleh nas-nas Islam iaitu; aqidah yang murni, niat yang ikhlas dan menepati petunjuk al-Sunnah dalam mempraktikkan amalan tersebut. Maka dakwaan sesetengah kelompok yang menganggap sesiapa yang tidak menyertai organisasi atau jamaah dengan istilah ‘tidak masuk jamaah’ sebagai tidak berpendirian dan tidak diiktiraf, adalah perlambangan suatu sikap ghulu atau melampau.
Hadirin & Hadirat!
Terima kasih ini merangkumi individu atau tokoh yang berada di setiap pelusuk dan penjuru, yang bergerak menyumbang kepada umat ini. Sama ada mereka berada di dalam organisasi kerajaan atau di luar dari daerah percaturan politik. Selagi mereka menyumbang kepada umat ini dan memperlihatkan kejujuran mereka, maka mereka berada dalam perjuangan umat. Dakwaan yang menganggap golongan agama yang mendekati pemerintah kesemuanya mencari kepentingan dunia adalah dakwaan yang tidak seimbang dan bersikap tidak adil. Walaupun ramai bersikap demikian, tapi bukan kesemuanya. Menghukum mereka secara keseluruhan bercanggahan dengan sikap yang ditunjukkan oleh RasululLah s.a.w terhadap Najasyi, Raja Habsyah yang menganut Islam pada zaman baginda. Baginda percaya kepada keadilannya dan menghantar para sahabah berhijrah ke negaranya.
Apabila Najasyi menganut Islam, Nabi s.a.w tidak memerintahkan Najasyi meninggalkan kedudukannya sebagai Raja Habsyah, sekalipun kerajaan yang dipimpinnya bukan kerajaan Islam dan beliau tidak berhijrah mendapatkan RasululLah s.a.w. Namun RasululLah s.a.w pula tidak memerintahkan hal itu kepadanya. Kedudukan Najasyi sebagai raja membolehkan dia melindungi para sahabah yang berhijrah ke negara dan melaksanakan keadilan dengan ruang kemampuan yang dimilikinya. Apabila Najasyi meninggal, RasululLah s.a.w bersabda:
عَنْ جَابِرٍ رَضِي اللَّه عَنْه قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ مَاتَ النَّجَاشِيُّ مَاتَ الْيَوْمَ رَجُلٌ صَالِحٌ فَقُومُوا فَصَلُّوا عَلَى أَخِيكُمْ أَصْحَمَةَ
Daripada Jabir r.a: Nabi s.a.w bersabda -ketika kematian Najasyi-: Telah mati pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama Najasyi)”.
Baginda menyifatkan Najasyi sebagai seorang yang soleh. Baginda menyebut ungkapan ‘akhukum’ (saudara kamu) yang bermaksud saudara seislam kamu. Bahkan baginda menyuruh para sahabah mengadakan solat ghaib untuk jenazah tanda persaudaraan sekalipun berjauhan. Baginda tidak mengatakan Najasyi berkepentingan atau enggan menyertai gerakan Islam, atau tidak berprinsip. Bahkan baginda menghargainya kerana telah zahir dari dirinya iman, keikhlasan dan keadilan sikap.
Maka kita wajar mencontohi hal ini. Sesiapa yang menyatakan pendirian menyokong usaha kembali kepada al-Kitab dan al-Sunnah seperti yang difahami oleh generasi awal Islam, kurun-kurun yang diberkati, golongan al-salaf al-salih serta berusaha memperbaharui pendekatan al-din dalam wajah kemodenan yang ada bertunjangkan prinsip salaf maka kita menganggapnya berjuang bersama dengan arus tajdid ini. Sama ada dia berada dalam kerajaan atau pembangkang, sama ada dia berjamaah atau bersendirian.
Arus dengan ini menyeru dijauhi sikap ghulu atau melampaui batasan dalam beragama termasuk dalam urusan dakwah. Firman ALLAH:
(maksudnya): Katakanlah: “Wahai ahli Kitab! janganlah kamu melampau dalam ugama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan Yang betul”
Dalam sebuah hadith:
عَنْ ابْنُ عَبَّاسٍ: قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم غَدَاةَ الْعَقَبَةِ وَهُوَ عَلَى رَاحِلَتِهِ هَاتِ الْقُطْ لِي فَلَقَطْتُ لَهُ حَصَيَاتٍ هُنَّ حَصَى الْخَذْفِ فَلَمَّا وَضَعْتُهُنَّ فِي يَدِهِ قَالَ بِأَمْثَالِ هَؤُلَاءِ وَإِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي الدِّينِ فَإِنَّمَا أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمُ الْغُلُوُّ فِي الدِّينِ
Daripada Ibn `Abbas, katanya: Pada pagi Hari ‘Aqabah (musim haji) Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya: Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah al-`Aqabah). Aku pun mengutip batu-batu kecil untuk baginda yang kesemuanya sebesar biji kacang. Apabila aku meletaknya ke dalam tangan baginda, baginda pun bersabda: “(Ya) sebesar ini! Jauhilah kamu melampau dalam agama (al-Ghulu), kerana sesungguhnya al-Ghulu telah membinasakan mereka yang sebelum kamu.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah (m. 728H) berkata: “Sesungguhnya agama ALLAH ini adalah pertengahan antara yang melampau dan yang meninggalkannya. ALLAH Ta`ala tidak memerintahkan hamba-hamba-NYA sesuatu melainkan syaitan akan mengganggunya dengan dua cara. Syaitan tidak kisah yang mana satu dia berjaya. Iaitu sama ada secara ifrat إفراط (melampaui batasan yang sepatutnya dalam beragama) atau tafrit تفريط (cuai terhadap agama). Justeru, Islam adalah agama ALLAH yang tidak boleh diambil ajarannya daripada sesiapapun selain-NYA. Maka syaitan mengganggu kebanyakan mereka yang mengaku mengikut ajaran Islam. Sehingga syaitan berjaya mengeluarkan mereka daripada syariat. Bahkan syaitan berjaya mengeluarkan banyak puak umat ini yang terdiri daripada mereka yang kuat beribadah dan warak. Sehingga menjadikan mereka keluar daripada agama seperti mana melurunya anak panah daripada busarnya.”
Penyalahgunaan Nama Salafi
Maka Arus Tajdid wajar membantah kelompok yang menyalahgunakan nama ‘salafi’ sedangkan dalam masa yang sama kerja mereka ialah mencerca secara tidak seimbang tokoh-tokoh penyumbang kepada kebangkitan tajdid; seperti Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, al-Qaradawi, Salman ‘Audah dan berbagai lagi. Kita tidak menganggap kemaksuman tokoh-tokoh tersebut, namun mengfokus aktiviti untuk menyerangkan tokoh-tokoh berkenaan dengan cara yang menyimpang dari metodologi ilmiah adalah sesuatu yang tidak dapat diterima. Cara sebegini mendekati manhaj khawarij melebihi manhaj Ahl al-Sunnah.
Al-Syeikh Ibn Jibrin salah seorang tokoh salafi semasa Arab Saudi ketika ditanya hal ini menjawab: Sesungguhnya Sayyid Qutb dan Hasan al-Banna adalah dari kalangan ulama kaum Muslimin dan ahli dakwah. Sesungguhnya Allah telah memanfaatkan dengan mereka berdua dan memberi petunjuk dengan dakwah mereka ramai manusia. Bagi mereka berdua ada sumbangan yang tidak dapat dinafikan. Kerana itu, ketika keputusan hukuman mati dikenakan ke atas Sayyid Qutb dibuat, al-Syeikh Abdul Aziz bin Baz memohon diberi pengampunan kepadanya dan beliau merayu dalam pemohonan itu. Namun ia tidak diterima oleh Presiden Jamal (Abdul Naser). Allah akan menghukum Jamal apa layak untuknya. Ketika mana keduanya (Sayyid Qutb dan al-Banna) dibunuh, keduanya digelar syahid, kerana mereka berdua dibunuh secara zalim. Dan syahid itu ada yang khas dan yang ‘am. Tersebar perkara ini (syahidnya mereka berdua) di dalam akhbar dan buku-buku tanpa ada orang yang mengingkarinya. Kemudian para ulama menerima buku-buku mereka, dan Allah memberi manfaat kepada mereka dengan buku-buku tersebut, tiada seorang yang mencela mereka berdua semenjak lebih 20 tahun yang lalu. Jika ada pada mereka berdua kesilapan yang sedikit pada takwilan atau yang seumpama dengannya, perkara itu tidak sampai kepada tahap untuk dikafirkan mereka. Sesungguhnya para ulama yang awal juga ada kesilapan seperti itu juga, seperti al-Nawawi, al-Suyuthi, Ibn Jauzi, Ibn ‘Atiyyah, al-Khattabi, al-Qastalani dan ramai yang lain”.
Ancaman Hizbiyyah
Dengan menyedari hakikat yang disebutkan tadi, maka kita menghargai setiap organisasi dan individu serta tidak menghalang individu muslim untuk menyertai mana-mana organisasi atau jamaah. Namun, dalam masa yang sama Arus Tajdid menyeru agar dihapuskan sebarang sikap hizbiyyah yang dilarang oleh agama. Sikap hizbiyyah ialah sikap kepuakan atau kepartian yang menilai sesuatu amal islami atau perjuangan berbakti kepada al-din dengan penilaian kumpulan, atau jamaah atau organisasi yang didokong. Sikap hizbiyyah ini mengukur betul atau salah sesuatu perkara dengan pandangan jamaah atau organisasi, bukan dengan al-Kitab dan al-Sunnah. Dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah akan ditafsirkan agar seiras dengan kehendak organisasi. Mana-mana dalil yang menyanggahi jamaah dan organisasi akan diulas agar seiras dengan tafsiran jamaah, bukan tafsiran ‘ilmiyyah. Hal ini pernah dibidas oleh Al-Imam Ibn Qaiyyim al-Jauziyyah (w. 751H) terhadap golongan ektremis mazhab dengan katanya: “Yang lebih pelik dari semua itu ialah sikap kamu wahai golongan taklid!. Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan ialah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadith yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata “kami ada sabda Nabi s.a.w. begini dan begitu”. Jika kamu dapati seratus atau lebih hadith sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun satu hadith..” .
Maka ada sesetengah individu dalam jamaah tertentu menentang slogan kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam ibadah khususiah, dan mereka juga membantah penentangan terhadap unsur syirik, tahyul, khurafat dan kebodohan dalam cara beragama, atas alasan ia menyebabkan perpecahan umat. Walaupun mereka dalam masa yang sama sanggup berbalahan sesama umat ketika berkempen kepada soal-soal ekonomi, atau politik yang mereka sifatkan sebagai lebih islamik. Mereka menghalalkan untuk mereka dan mengharamkan untuk orang lain. Apakah ibadah khususiah, akidah dan kejelasan fikrah itu lebih lekeh dari ekonomi dan politik gagasan mereka?!!
Sikap hizbiyyah juga menjadikan seseorang individu membutakan mata ketika melihat kesalahan kelompoknya dan berkeras menghukum jika perkara yang sama dilakukan oleh kelompok lain. Ini jelas dalam sikap kelompok yang menghukum sebahagian masalah sebagai masalah khilafiyyah tetapi dalam masa yang sama dia membantah pihak yang berbeza dengannya.
Hizbiyyah ini menjadikan seseorang taksub kepada jamaah sehingga tidak mahu menilai sesuatu keputusan yang dikeluarkan oleh jamaahnya, betul atau salah dengan nas-nas agama. Hanya bersandarkan falsafah ‘keputusan jamaah’ atau ‘keputusan syura’ , sekalipun menyanggahi nas, diterima juga.
Ini sikap hizbiyyah atau ‘asabiyyah yang dicela. Di sebut dalam hadith:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَنْ خَرَجَ مِنَ الطَّاعَةِ وَفَارَقَ الْجَمَاعَةَ فَمَاتَ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً وَمَنْ قَاتَلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِيَّةٍ يَغْضَبُ لِعَصَبَةٍ أَوْ يَدْعُو إِلَى عَصَبَةٍ أَوْ يَنْصُرُ عَصَبَةً فَقُتِلَ فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ ُ
(maksudnya) Sesiapa keluar daripada ketaatan (terhadap pemerintah) dan memisahkan diri daripada al-jama‘ah lalu dia mati, maka dia mati jahiliyyah. Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah.
Kata al-Sindi (meninggal 1138H) dalam mensyarahkan hadith-hadith Sunan Ibn Majah: “Lafaz رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ (bendera kebutaan) ialah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil” .
Dalam riwayat Abu Daud:
عَنْ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّة ٍ
Daripada Jubair bin Mut‘im: Bahawa RasululLah s.a.w bersabda: “Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada ‘asabiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas ‘asabiyyah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas ‘asabiyyah.
Dalam menjelaskan maksud ‘asabiyyah, Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh Wathilah bin al-Asqa’:
يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْعَصَبِيَّةُ قَالَ أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْم ِ
(maksudnya): Wahai RasululLah! Apakah al-‘asabiyyat? Sabda baginda: “Kamu menolong kaummu atas kezaliman”
Maka sikap hizbiyyah akan menjadikan seseorang memandang lekeh atau cacat individu yang tidak terlibat dengan jamaah atau organisasi yang dia sertai. Dia akan menganggap tidak mencukupi syarat perjuangan. Sekalipun individu berkenaan kelihatan telah melaksanakan tanggungjawab dan tuntutan Islam. Sikap hizbiyyah melebelkannya sebagai ‘wala tidak jelas’, tidak berani berjuang, ada kepentingan dan seumpamanya.
Firman Allah:
(maksudnya) 10. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. 11. Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa Yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
Sikap inilah yang menyelewengkan banyak pihak dari berdakwah kepada inti al-Quran dan al-Sunnah, bertukar menjadi dakwah menyertai jamaah. Golongan yang terkena angin hizbiyyah sukar menerima amal islami yang tidak di bawah arahan jamaahnya. Inilah yang telah menyebabkan sekian lama organisasi-organisasi Islam berbalah merebut mad’u atau kerusi pilihanraya kampus. Padahal jika difikirkan secara lurus, apa perlunya kita berebut mad’u?! Tidakkah jika sudah ada yang berdakwah maka tugasan kita menjadi ringan?! Tidakkah jika sudah ada yang ingin memikul amanah, maka kita lebih selamat. Apa yang penting adalah misi dakwah iaitu kembalinya umat kepada Islam yang tulen, tanpa mengambil pusing siapa pun yang melaksanakannya. Kata al-Nawawi (meninggal 676H): “Sesungguhnya al-Amr bi al-Ma’ruf Dan al-Nahy ‘an al-Munkar adalah fardu kifayah. Jika dilaksanakan oleh sebahagian manusia, gugur kesalahan dari yang lain. Jika semua meninggalkannya, maka berdosalah setiap yang mampu melakukannya dengan tanpa sebarang keuzuran dan ketakutan. Kemudian, ia mungkin menjadi fardu ain ke atas seseorang. Ini seperti di tempat yang tiada siapa yang tahu melainkan dia, atau tiada siapa yang mampu mencegahnya melainkan dia. Seperti seseorang yang melihat isteri atau anaknya atau hambanya melakukan munkar atau mengurangi makruf” .
Namun sikap hizbiyyah menjadikan sebahagian manusia lebih mementingkan lebel dan jenama kumpulan lebih dari isi kandungan seruan Islam yang dibawa. Tahap ukhuwwah islamiyyah diukur dengan jenama berkenaan, apabila berbeza jemaah maka berbezalah tahap ukhuwwah. Sehingga ada yang bermasam muka kerana berbeza jamaah atau kumpulan.
Bah hingga ada yang sanggup menyelewengkan maksud hadith:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَنْ خَرَجَ مِنَ الطَّاعَةِ وَفَارَقَ الْجَمَاعَةَ فَمَاتَ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً
“Sesiapa yang keluar dari ketaatan, dan memisahkan diri dari jamaah, mati dalam jahiliyyah”
juga hadith-hadith yang menunjukkan mereka yang meninggalkan jamaah diperangi, dihukum menanggalkan Islam dan seumpamanya, lantas mereka merasakan jamaah yang dimaksudkan dalam hadith-hadith tersebut ialah jamaah mereka lalu mereka berfikir negatif terhadap sesiapa yang bukan ahli mereka.
Dukacita golongan ini tidak membawa ulasan para ulama terhadap maksud sebenar jamaah yang terkandung dalam hadith-hadith tersebut. Maka, atas ketaksuban kumpulan atau aliran perkataan jamaah ini telah disalahgunakan. Saya bersetuju dengan perkataan tokoh al-Ikhwan al-Muslimin, Jordan, iaitu Dr. Muhammad ‘Abd al-Qadir Abu Faris dalam bukunya Mafahim Islamiyyah. Kata beliau: “Sesungguhnya istilah Jamaah al-Muslimin adalah istilah islami. Rasulullah s.a.w telah menggunakannya. Ia termaktub dalam kitab-kitab hadith dan sunnah. Para penghurai hadith membincangkannya. Ulama dan fuqaha muslimin menggunakan istilah ini sejak dahulu dengan penggunaan yang teliti. Istilah ini masih disebut oleh kebanyakan ulama semasa dan para pendakwah yang beramal. Ia masih dibincangkan dalam buku-buku ulama kurun kedua puluh. Bahkan, kadang-kala ia dibincangkan oleh orang yang kurang bekalan fekahnya. Dari kalangan mereka yang tidak berkemampuan memahami agama dan tidak mengambil berat menuntut dan memperolehi ilmu syarak tergopoh gapah menggunakan istilah ini secara salah. Tujuannya untuk mencapai natijah yang mereka kehendaki iaitu menganggap diri mereka ialah jamaah yang syar’I, sementara jamaah-jamaah lain dipertikaikan kesyar’iannya dan perlu ditentang…sebenarnya, maksud ‘jamaah al-muslimin’yang diperkatakan oleh al-Sunnah ialah jamaah yang .beriman dengan Islam sebagai akidah, syariat, peraturan hidup dan mengakui hukum-hakamnya. Ia melaksanakan syariat ALLAH dalam kehidupan. Memiliki kekuasaan politik yang berasingan. Ia dipimpin oleh khalifah yang menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama. Ini semua berlaku apabila muslimin memiliki daulah islamiyyah yang menghimpunkan dan menyatukan mereka. Ditegakkan dalamnya hukum-hukum Islam. Maka, istilah ‘jamaah al-muslimin’ di sini bermaksud masyarakat Islami yang dipimpin oleh hukum Islam dan terbentuk semua badan kekuasaannya di atas petunjuk al-Quran dan al-Sunnah…adapun sekiranya tiada daulah islamiyyah yang menyatupadukan orang Islam…tidak mungkin mana-mana jamaah mendakwa dirinya sebagai jamaah al-muslimin. Samada mereka itu Ikhwan, atau tabligh, atau salafiyyah, atau sufiah, atau jamaat islami Pakistan dan selainnya. Ini kerana dakwaan tersebut bererti menghukum gerakan-gerakan lain sebagai murtad atau sesat atau kufur, dan menuduh mereka dengan jenayah yang memboleh dijatuhkan hukuman yang keras..” .
Maka, arus tajdid menyeru agar dipecahkan benteng-benteng hizbiyyah ini dan mengukurkan muslim dengan kadar pegangan serta fikrahnya dalam memahami al-Quran dan al-Sunnah tanpa mengira dari mana organisasi atau jamaah pun dia. Arus tajdid menyeru semua pihak berpegang kepada fikrah sahihah lebih utama dari jamaah. Seseorang boleh memilih mana-mana jamaah selagi tidak menyanggahi al-Kitab dan al-Sunnah. Jamaah hanyalah alat, bukan matlamat. Bahkan seseorang mungkin sahaja untuk tidak menyertai mana-mana jamaah berdaftar, sebaliknya bersama kaum muslimin secara keseluruhan, tolong-menolong dalam urusan agama. Penyertaan ke dalam mana-mana jamaah hanya soal ijtihad. Tiada sebarang dalil sarih tentang kewajipan menyertai jamaah tertentu. Entah berapa ramai para ulama besar pada zaman ini pun, tidak menyertai mana-mana jamaah. Namun sumbangan mereka lebih besar dari sebarang jamaah dan umat berada di balakang mereka.
Mungkin ada benarnya rumusan seorang penulis Syria, al-Buti yang menulis tentang الفرق بين الحركة الإسلامية والدعوة إلى الله (Perbezaan antara gerakan Islam dan dakwah kepada ALLAH), antaranya beliau menyebut: “sesungguhnya dakwah yang difahami dan diamalkan oleh kebanyakan jemaah islamiah hari ini tidak lebih dari sekadar aktiviti yang berkisar sekadar anggota kumpulan mereka semata” .
Seruan Tajdid
Arus Tajdid mengajak penyertaan saudara-saudari ke dalam satu gerak kerja yang lebih besar daripada sebarang jamaah dan organisasi. Penyertaan ke dalam arus ini tidak menuntut untuk saudara-saudari meninggalkan jamaah atau organisasi yang telah disertai. Saudara-saudari boleh kekal dalam organisasi masing-masing, dengan syarat organisasi itu tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah, serta saudara-saudari pula bekerja ke tajdid dan islah, PEMBAHARUAN DAN PEMBAIKIAN.
Pembaharuan itu ialah dengan kembali melihat keserasian segala pegangan dan amalan Islam berdasarkan fakta al-Quran dan al-Sunnah, lantas mengeluarkan umat dari daerah kejumudan, agama rekaan, khurafat, kebodohan fikiran dan kesempitan mazhab dan hukum kepada kemudahan dan keluasannya. Ini bersesuaian dengan ruh Islam tulen dan tuntutan zaman. Seru atau dakwah setiap muslim ke arah ini di mana sahaja saudara-saudari berada. Tidak menjadi syarat menyertai aliran tajdid berdaftar atau berkenalan dengan mereka yang aktif. Fahami fikrah tajdid, dan serulah kepadanya di mana sahaja saudara berada.
Ini selaras dengan tanggungjawab yang al-Rasul letakkan di atas bahu golongan terpilih, dengan sabda baginda:
يَحْمِلُ هَذَا الْعِلمَ مِنْ كُلِّ خَلَفٍ عُدُوْلُه: يَنْفَوْنَ عَنْهُ تَحْرِيْفَ الْغَالِيْنَ، وَانْتِحَالَ الْمُبْطِلِيْنَ، وَتَأْوِيْلَ الْجَاهِلِيْنَ
Maksudnya:Sentiasa membawa ilmu ini mereka yang adil dari para penyambung (dari setiap generasi). Mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas, dakwaan bohong golongan yang bathil (sesat) dan takwilan golongan jahil.
Inilah tiga tanggungjawab tajdid dan islah yang mesti dipikul dalam usaha kembali membawa Islam yang tulen dan tepat. Arus Tajdid mengajak saudara-saudari menyokong usaha ini. Al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h pernah menyebut: “Bilamana menjadi sesuatu yang putus bahawa “Sesungguhnya al-Din di sisi Allah ialah Islam”, maka sesungguhnya tidak mungkin dapat difahami apa yang dikehendaki Allah melainkan dengan perantaraan RasululLah. Sesungguhnya tiada jalan kita sampai kepada baginda melainkan melalui pengetahuan mengenai sunnah baginda. Pula tiada jalan kepada sunnah baginda melainkan dengan ilmu hadith. Justeru itu menjadi kewajipan ke atas kaum muslimin, samada pemerintah atau rakyat, pendakwah atau yang didakwah, beriman bersama kita bahawa tiada jalan terlaksananya apa yang kita seru kepadanya iaitu perlaksanaan keadilan dan keamanan, menegakkan hukum Allah di atas muka bumi kecuali dengan berdakwah kepada sunnah dan mengamalkannya, juga mentarbiah kaum muslimin dengannya. Bukan dengan hukum-hakam dunia, undang-undang ciptaan manusia, pandangan-pandangan individu dan pegangan-pegangan kepartian. Itu semua menjadikan umat semakin berpecah dan jauh dari matlamat yang dituju” .
Semoga ALLAH merahmati kita dan membantu usah ini. Pengerusi dan hadirin terima kasih atas kesudian menyertai.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...