Sunday, February 6, 2011

RUKUN BAIAH : AGENDA TARBIYYAH ISLAMIYYAH HARAKIYYAH YANG EFEKTIF

أركان بيعتنا عشرة فاحفظوها الفهم و الإخلاص و العمل و الجهاد و التضحية و الطاعة و الثبات و التجرد و الأخوة و الثقة

MUQADDIMAH


Sekalong doa buat Mujahid Agong Asy – Syahid Al Imam Hassan Al Banna rhm. Sebagai orang yang bertanggungjawab mengemukakan Rukun Baiah . Tahun ini ( 2006 ) adalah tahun yang menggenapkan usia 58 th. kesyahidan beliau . Semoga rohnya bersemadi dikalangan mereka yang mendapat nikmat di sisi Allah swt.



Semoga Allah swt. terus mencucuri rahmat ke atas Asy – Syahid dan kepada mereka yang mengikut jejak langkahnya untuk memperjuangkan agama Allah swt .



Saudaraku yang dihormati sekelian :

Hari ini kita sedang menghadapi suatu reality bahawa perjuangan menyambung lidah baginda rasul saw. semakin sengit dan getir . Suatu reality yang memaksa kita memiliki segala kekuatan dalaman dan luaran.



Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.


Surah Al Anfaal . Ayat : 60



Ulama’ – ulama’ di sepanjang zaman , tidak sunyi dari mencari jalan dan formula demi menyediakan kekuatan ummah , terutamanya kekuatan dalaman dan kestabilan aqidah . Sekalipun perancangan atau konspirasi musuh senantiasa membayangi mereka .


Benarlah apa yang disebut oleh Baginda Rasul saw. :

لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق

Akan senantiasa ada dikalangan ummatku ( bilapun zaman dan dimana pun tempat), mereka yang memperjuangkan kebenaran.

Al Imam Hassan Al Banna antara mereka yang mengemudi Tooifatulhaq tampil dengan Arkanul baiahnya sebagai formula pembinaan kekuatan ummah .

ARKANUL BAIAH .

Arkanul baiah antara otot yang mampu memastikan ketahanan dan kelansungan perjuangan tatkala menghadapi tahaddiyat yang memaksa dan mendesak .

Arkanul baiah juga antara bahan kekuatan dalaman yang berkesan untuk menangkis virus mazmumah yang merosakkan Harakah Islamiyyah .

Kejituan intima’ dan keiltizaman individu muslim dengan Harakah Islamiyyah pula banyak dipengaruhi oleh Arkanul Baiah dan sejauh mana penghayatannya.

Akhlak dan disiplin berjamaah turut lengkap apabila setiap gerak langkah menyusun program dan mengatur strategi dibayangi oleh Arkanul baiah . Sedang akhlak atau disiplin merupakan menara tertinggi bagi syiar Harakah Islamiyyah .

Saudara ku yang dihormati sekelian .

Sungguhpun abad ini menyaksikan Harakah Islamiyyah akan menghadapi kelancangan gerakan musuh dengan alat bantu mereka yang serba terkini , namun kita tetap yakin , kemenangan hakiki perjuangan ini tidak akan tergendala , malah semakin hampir .

Kemenangan Islam di dalam rekod perjuangan ummah , pula membuktikan bahawa Islam menang dengan tidak semata - mata bergantung kepada kepakaran tenaga dan kecanggihan jentera , tetapi banyak bergantung kepada penghayatan Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah yang efektif .

Maka Arkanul baiah yang sepuluh adalah antara maddah atau agenda tarbiyyah yang mampu mengkaderkan anggota jamaah dan melengkapkan mereka sebagai Ansarullah .

Saudara ku yang dihormati sekelian .

Kita membincangkan Arkanul baiah , bukan kerana kita taasub kepada Ikhwanul Muslimin sebagaimana yang didakwa oleh individu – individu tertentu . Tetapi kerana kandungannya yang sangat menepati objektif murni Islam itu sendiri .

Pertama : FAHAM الفهم

من يرد الله به خيرا يفقه في الدين

متفق عليه

Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah swt. kebaikan nescaya Ia diberi faham tentang agama .

تفقهوا قبل أن تسودوا

Fahami ( Islam secara mendalam ) sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin .

Ucapan Saiyidina Umar Al Khattab Rha.

Kedua : IKHLAS الإخلاص

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)".

Surah Al Ana’am . Ayat : 162 - 163

Ketiga : AMAL العمل

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".

Surah At Taubah . Ayat : 105

Keempat : JIHAD الجهاد

Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran - dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar;

Surah An Nisa’ . Ayat : 95

من مات و لم يغز و لم ينو الغزو مات ميتة جاهلية

Barangsiapa yang mati sedang ia tidak berperang dan tidak pula berniat untuk berperang , matilah ia sebagai mati jahiliyyah .

( Al hadis )

Kelima : PENGORBANAN التضحية

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.

Surah At Taubah . Ayat : 111

Keenam : TAAT الطاعة

أوصيكم بتقوى الله عزوجل و السمع و الطاعة فإن تأمر عليكم عبد

Aku berwasiat kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah Azza wa Jalla dan dengar serta taat sekalipun pemimpin yang dilantik dikalangan kamu hanyalah seorang hamba abdi .

( Al Hadis , Matan Al Arbai’n )

Ketujuh : THABAT الثبات

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

Surah Al Ahzaab . Ayat : 23

Kelapan : TAJARRUD التجرد

(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat".

Surah Al Baqarah . Ayat : 138

Kesembilan : UKHUWWAH الأخوة

Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

Surah Al Hujurat . Ayat : 15

Kesepuluh : THIQAH الثقة

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.

Surah An Nisa’ . Ayat : 65

Saudara ku sekelian :

Sedemikian antara Nas yang sempat ana kemukakan sekadar untuk gambaran asas bahawa kita bukan ta’asub kepada ikhwan kerana mengkaji Arkanul baiah dan beramal dengannya . ( Segalanya adalah kerana sabit nas. )

Kita sedar dan selayaknya kita memahami bahawa menerima pakai teori perlaksanaan amal Islami yang dikemukakan oleh siapa saja tokoh gerakan Islam termasuk Al Imam Hassan Al Banna , mestilah terlebih dahulu mengambil kira natijah qiraat Al Zuruf .

Justeru itu , membaca zuruf perjuangan kita di Malaysia , kita amat perlu kepada pemimpin dan pejuangnya yang menghayati Arkanul baiah . Kita masih menghadapi 1001 kepincangan dalaman untuk menangani konspirasi musuh .

Bagaimanapun masih ada anggota jamaah PAS yang tidak memahami Islam dengan jelas , yang akhirnya mencacatkan dakwah dan perjuangannya , maka rukun baiah yang pertama iaitu Al Fahmu dengan usul 20 nya , boleh membantu untuk kita mengatasi masaalah tasawwur atau kefahaman yang masih kabur .

Usul 20 mengemukakan sekurang – kurangnya 11 asas kefahaman mengenai Islam .

1. Kesyumulan Islam
2. Sumber asas hukum – hukum Islam
3. Hakikat Iman
4. Siasah Syari’yyah
5. Masaalah Khilafiyyah
6. Bagaimana menangani perkara – perkara bida’ah
7. Martabat orang – orang soleh / alim ulama’
8. Bagaimana berinteraksi dengan quran dan sunnah
9. Asas Amal
10. Martabat ilmu dan fungsi aqal
11. Isu kafir mengkafir .

Begitulah juga rukun – rukun baiah yang lain . Antara yang paling ketara masaalah yang kita hadapi dalam jamaah kita di Malaysia , sehingga Arkanul baiah amat relevan untuk dihayati atau diamali , ialah persoalan ukhuwwah taat, pengorbanan , tajarrud , thiqah sehingga persoalan ikhlas kadangkala turut mengkronikkan masaalah dalaman jamaah .


Saudara ku yang dihormati sekelian .

Arkanul baiah melalui rukunnya yang pertama Al Fahmu , akan menyelesaikan kedangkalan fikrah dan kefahaman tentang Islam yang mana ianya satu ruang yang memungkinkan pejuangnya tersasar dan terseleweng dari hadaf perjuangan .

Arkanul baiah melalui rukunnya yang kedua Al Ikhlas , akan menamatkan krisis ego dan maslahah peribadi serta politik cantas sekaligus melengkapkan syarat kemenangan bagi sebuah Harakah Islamiyyah .

Arkanul baiah melalui rukunnya yang ketiga Al Amal , akan mengatasi masaalah overlap dan krisis tenaga dalam jamaah . Ianya turut mengatifkan jamaah dalam pelbagai lapangan amal Islami .

Al Amal melahirkan individu pejuang dan jamaah haraki yang hakiki melalui maratibnya yang tujuh :

· إصلاح النفس Pengislahan jiwa .



· قوي الجسد Jasad yang kuat
· متين الخلق Akhlak yang kontan
· مثقف الفكر Fikrah yang intelek
· قادرا على الكسب Mampu berdikari
· سليم العقي Aqidah yang sejahtera
· صحيح العبادة Ibadah yang sah
· مجاهدا لنفسه Mujahadatun nafs
· حريصا على وقته Memelihara waktu
· منظما في شئونه Kerja yang bertanzim
· نافعا لغيره Bermanafaat untuk orang lain . 


· تكوين البيت المسلم


· · إرشــاد المجتمع

· · تحرير الوطن

· · إصلاح الحكومة

· · إعادة الكيان الدولي للأمة الإسلامية بتحرير أوطانها و إحياء مجدها و تقريب ثقافتها و جمع كلمتها حتى يؤدى ذلك كله إلى إعادة الخلافة المفقودة و الوحدة المنشــــدة

· · أستاذية العالم بنشر دعوة الإسلام في ربوعه حتى لا تكون فتنة و يكون الدين كله لله

Arkanul baiah melalui rukunnya yang keempat , Al Jihad , melahirkan pejuang yang meletakkan Islam di atas segala kepentingan hidup yang lain , serta bermati – matian mempertahankan kesucian Islam sehingga musuh tidak boleh memandang ringan terhadap perjuangan Islam .


Arkanul baiah melalui rukunnya yang kelima , At Tadhiyyah , menguatkan jamaah dengan kesediaan pejuang – pejuang untuk mewaqafkan diri dan berkorban apa sahaja . Hal ini melancarkan gerakkerja dan menyelesaikan masaalah “ main alasan ” yang sering mengundang ketergendalaan operasi dan strategi .


Arkanul baiah melalui rukunnya yang keenam , At Thoa’h , menghidupkan jentera jamaah dan mengemaskini pergerakan sehingga mencapai hadaf dengan jaya . Ia jua bererti segala lubang musuh untuk memecah kesatuan jamaei tertutup rapat . Segala arahan dan peraturan jamaah dapat direalisasikan sebagai mana yang dirancang .


Arkanul baiah melalui rukunnya yang ketujuh , As Thabat , memanjangkan hayat perjuangan sehingga tahkik ghayah dapat dicapai , sekalipun perjuangan itu berlansung dalam lingkaran mustakbirin yang senantiasa menanti peluang untuk menghancurkan gerakan Islam dengan usaha mereka yang bertubi – tubi .


Arkanul baiah melalui rukunnya yang kelapan , At Tajarrud , membawa pejuang – pejuang Islam keluar dari krisis wala’ dan dilema fikrah , mereka akan selamat dari lambaian دعاة على أبواب جهنم . Sehingga seluruh minda , fizikal dan roh mereka semata – mata untuk Islam .


Arkanul baiah melalui rukunnya yang kesembilan , Al Ukhuwwah , menyelamatkan perjuangan dari binasa angkara tanazu’ dan krisis peribadi anggota jamaah . Sekaligus mencetus kombinasi kerja yang jitu setelah mengikis prasangka dan su’uz Zhon dengan semangat persaudaraan Islam yang tinggi .


Arkanul baiah melalui rukunnya yang kesepuluh , Ath Thiqah , menutup ruang musuh untuk memporak - perandakan jamaah , serentak itu terbentuk suasana tenang dan harmoni yang memungkinkan rahsia jamaah terpelihara dan gerakkerja jamaah secara detail dapat dihalusi dan dinilai dengan bijaksana . Pengagihan tugas dan pengarahan tanggung jawab dapat dilansungkan dengan sebaik mungkin sedang ia antara asas kekuatan dalaman .


PENUTUP


Jelasnya , Arkanul baiah adalah unsur positif ke arah kesempurnaan syakhsiyyah Islamiyyah dan Jamaah Harakiyyah .

oleh


Wednesday, February 2, 2011

Nik Aziz to Mahathir




Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.

            Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya. Firman Allah SWT :
يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24

            Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.
Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi. Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.

            Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.  Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya. Firman Allah SWT :
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
Yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)

            Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya. Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh? Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?
Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46. Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.

Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia. Allah SWT berfirman :
وَقُلْنَا اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ وَلَكُمْ فِي الأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَاعٌ إِلَى حِينٍ
Yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)

Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya. Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya :
فرقت به جماعتهم!
Yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!
Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

            Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang? Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas  wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO? Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama  jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.

Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir?  Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?

Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar. Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta  menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!
            Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT.  Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar. Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan.  Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?

            Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : اللهم قد بلغت (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)

Sekian.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.

Bertarikh : 29 Safar 1432H / 2 Februari 2011

Tun Dr Mahathir to Dato Seri Utama Nika Aziz


Tajuk:Nik Aziz & Kwan Yew

1. Kata Nik Aziz, "Melayu (di Malaysia) tolak Islam lebih teruk daripada Kwan Yew". Ternampak Nik Aziz lebih utamakan peluang untuk memburuk musuh politiknya di Malaysia daripada mempertahankan serangan terhadap Islam dan penganutnya oleh Lee Kwan Yew. Nik Aziz anggap nasionalis Melayu lebih teruk ke-Islaman mereka.

2. Di zaman British ramai pembesar Melayu minum arak dan ada pekerja Melayu yang minum toddy. Masjid pun tidak banyak dan ramai yang tidak sembahyang. Hasil perjuangan nasionalis Melayu negara sekarang diperintah oleh orang Melayu Islam. Mereka mengharamkan arak dalam majlis rasmi Kerajaan, menerap nilai-nilai Islam dalam pemerintahan, membekalkan wang Kerajaan untuk kegiatan-kegiatan agama Islam, memudahkan orang Islam buat kerja haji, mendirikan masjid-masjid, menubuhkan Universiti Islam, Bank Islam, Takaful, badan-badan dakwah, mengharamkan loteri nasional dan berbagai-bagai lagi yang disuruh oleh agama Islam. Teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam?

3. Sebaliknya apakah yang dilakukan oleh PAS dan Nik Aziz? Hasil yang terbesar ialah memecahbelahkan orang Islam di negara ini. Penubuhan PAS itu sendiri berjaya memecahbelahkan orang Melayu Islam setelah mereka bersatu dalam UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa yang beragama Islam.
4. PAS turut memecahbelahkan orang Melayu Islam di Malaysia sekali lagi apabila PAS mengadakan sembahyang Jumaat dua Imam, larangan terhadap perkahwinan orang PAS dengan orang UMNO, larangan ahli PAS menghadiri kenduri orang UMNO dan pengasingan kubur orang PAS dari orang UMNO, seolah-olah di Akhirat juga PAS ingin pecah belah orang Melayu Islam terus berlaku.

5. Apabila PAS bertanding dalam Pilihanraya 1955 dan seterusnya hingga 1986 ia mendakwa bahawa UMNO yang bekerjasama dengan orang bukan Islam, mereka menjadi kafir. Ini juga memecahkan perpaduan orang Islam di Malaysia.

6. Kemudian PAS bergabung tenaga dengan Semangat 46 dan DAP dalam Pilihanraya 1990 dan 1995. Dengan ini Semangat 46, serpihan dari UMNO mendapat nafas dan orang Melayu Islam terbahagi kepada tiga kumpulan.

7. Alhamdulillah Semangat 46 kembali semula kepada UMNO dan perpaduan orang Melayu Islam dalam UMNO dipulih semula. Tetapi apabila Timbalan Presiden UMNO di keluarkan dari parti, Nik Aziz dengan cepat memberi sokongan kuat kepadanya supaya parti serpihan yang ditubuh boleh menarik keluar sebahagian daripada ahli UMNO dan penyokongnya supaya parti orang Melayu Islam yang terbesar ini menjadi lemah.

8. Hasil daripada sokongan Nik Aziz orang Melayu sekali lagi berpecah tiga. Tidak cukup dengan ini Nik Aziz sanggup bekerja keras dengan DAP untuk menubuh Pakatan. Bahawa dahulu PAS mendakwa kerjasama oleh UMNO dengan orang bukan Islam menjadikan mereka kafir dilupakan sahaja kerana ingin menjadi Pakatan musuh UMNO yang kuat. Dengan cara ini Nik Aziz menentukan kali ini perpecahan orang Melayu Islam kepada tiga pasukan yang lemah menjadi kekal.

9. Inilah sumbangan Nik Aziz kepada Islam di Malaysia ini. Bahawa satu dari ajaran Islam yang penting ialah orang Islam itu bersaudara tidak dihirau oleh Nik Aziz.

10. Sesungguhnya Islam Nik Aziz lebih teruk dari Islam nasionalis. Beliau rela mempertahankan Lee Kuan Yew dengan menganggap cadangan Lee Kuan Yew supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam adalah tidak seburuk dari Islam nasionalis Melayu.

11. Cadangan Lee Kuan Yew ini dianggap oleh Nik Aziz sebagai lebih baik dari segala-gala yang dilakukan oleh nasionalis Melayu di Malaysia. Bayangkan sahaja Islam di bawah pemerintahan Nik Aziz dengan Karpal, Kit Siang, Guan Eng. Jika pendapat rakan bukan Islam Nik Aziz menuntut supaya amalan ajaran Islam dilonggarkan, Nik Aziz mungkin bersetuju kerana Islam nasionalis lebih teruk daripada Lee Kuan Yew.

Sunday, January 30, 2011

Powerful Statement

 "Allah SWT akan menentukan masa kemenangannya. Usaha dakwah dan tajmik. Usaha membina syakhisyyah Islamiyyah di kalangan umat. Memilih anasir soleh dan mendidik mereka dengan syakhsiyyah jamaiyyah seterusnya membawa mereka ke alam realiti dakwah dan pengorbanan, ke arah riaayah jamahiriyyah. Melakukan dakwah, memuliakan ummah, menyantuni masyarakat dengan dakwah dan kebaikan. Rakyat akan melihat amal kita. Amal kita akan berbicara. Berbicara dengan jujur dan ikhlas lebih kuat dari suara-suara kita. Oleh itu teruslah bekerja dengan penuh sabar dan thabat, jujur dan ikhlas mengharapkan wajah Allah SWT."

Sunday, January 23, 2011

Kertas Kerja Tarbiyah (2) Majlis Nuqaba' Pemuda Kebangsaan

Kertas Kerja Tarbiyah (2) Majlis Nuqaba' Pemuda Kebangsaan

TARBIYAH RUHIYAH
Sebelum membaca artikel ini, saudara perlu tahu;
1 ) Kedudukan tarbiyah ruhiyah di dalam Islam.
2 ) Matlamat dan tujuan utama penyucian hati.
3 ) Kaedah dan syarat penyucian hati.
4 ) Kewajiban ahli PAS melaksanakan program penyucian hati.
Muqaddimah
Tarbiyah ruhiyah adalah satu proses pemeliharaan kesucian diri atau proses pengembalian kesucian diri atau menambah sinaran cahaya kesucian dalam usaha mencapai kejayaan menuju Allah subhanahu wa taala.
Firman Allah taala yang bermaksud;
“ 7. Demi diri (nafs) manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya).
8. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada ketaqwaan.
9. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),
10. Dan sesungguhnya musnahlah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran syirik dan maksiat).”
Surah al Syams: 7-10
Tarbiyah ruhiyah adalah asas kepada seluruh program tarbiyah Islamiyah. Ini kerana Islam mengajar dan mendefinisikan segala kebahagian manusia di dunia dan akhirat mestilah bermula daripada hati yang sejahtera daripada sebarang penyakit dan kecacatan.
Justeru kejayaan individu muslim dan gerakan Islam di dalam semua bidang adalah bergantung dan terikat dengan kesungguhan dan keutamaan yang diberikan kepada program ‘kembali kepada hati’ seperti yang diajar oleh al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam.
Visi Tarbiyah Ruhiyah
Mencapai kejayaan dalam hidup menuju Allah subhanahu wa taala ( al-Muflihuun ).
Misi Tarbiyah Ruhiyah
Menjadi hamba yang mampu melaksanakan perintah Allah subhanahu wa taala dan meninggalkan segala laranganNya ( al-Muttaqiin ) atau dengan kata lain menjadi hamba yang berupaya membina Islam di dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Matlamat
Menggolongkan diri sebagai hamba yang hampir dengan Allah subhanahu wa taala (al-Muqarrabiin) bagi memperolehi apa yang diingini dan mendapat perlindungan hakiki daripadaNya.
Objektif
A ) Memindahkan nafsu yang kotor ( bergelumang dengan syahwat atau keinginan selain Allah ) agar menjadi jernih ( suci ikhlas hanya kepada Allah ).
B ) Mengubah cara berfikir tidak syar ‘ie menjadi syar’ie
C ) Menukar hati yang kufur, munafik, fasik dan keras menjadi sejahtera dan tenang
Kaedah Tarbiyah Ruhiyah
Oleh kerana permasalahan ruh adalah rahsia Allah, maka pembinaannya mestilah sepenuhnya bergantung kepada petunjuk daripadaNya melalui pengajaran RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Justeru penyucian jiwa dengan kaedah yang tidak digali daripada al Quran dan al sunnah adalah tertolak dan akan membawa kepada kesesatan yang nyata.
Usaha pemindahan, perubahan dan penukaran tersebut tidak akan berlaku melainkan mestilah melalui kaedah mujahadah, sebagaimana penegasan Allah subhanahu wa taala dalam firmanNya yang bermaksud;
“69. Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan Sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang Yang berusaha membaiki amalannya.”
Surah al Ankabut;69
Mujahadah adalah wasilah untuk mendapat penyuluh hati menuju Allah dan hidayah yang merupakan permulaan ( muqaddimah ) bagi memperolehi sifat taqwa.
Kedua - duanya iaitu mujahadah dan hidayah tidak akan sempurna melainkan dengan persetujuan ( taufiq ) dan pertolongan (inayah) Allah subhanahu wa taala.
Peringkat Mujahadah
A ) Penyucian daripada kufur dan syirik
Penyucian daripada kufur dan syirik dengan iman dan tauhid serta pengakuan bahawa nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallamitu pesuruh Allah. Bagi meningkatkan iman hendaklah sentiasa menambah ilmu dan mempertingkatkan zikir ( dua rukun perjalanan menuju Allah ).
o untuk meningkatkan makrifat kepada Allah
o untuk meningkatkan rasa takut dan gerun kepada Allah (taqwa)
o untuk meningkatkan kesungguhan amal (mujahadah kedua) sehingga sanggup mengorbankan apa saja demi Allah swt.
B ) Penyucian daripada dosa - dosa
Penyucian daripada dosa - dosa dengan melaksanakan furudh al wakti ( kefardhuan semasa ) dan adab - adabnya serta meninggalkan muharramat wa makruhaat dan adab-adab waktu yang wajib ditunaikan.
C ) Melaksanakan ibadat – ibadat nawafil
Melaksanakan ibadat - ibadat nawafil bagi menambahkan lagi sinar cahaya kesucian menuju Allah subhanahu wa taala.
Rukun Mujahadah
A ) al-Uzlah ( menyendiri )
Hukum asal uzlah adalah harus bagi mereka yang telah tertunai kewajipan semasa baginya. Tetapi sekiranya uzlah ini mampu memberi maslahah kepada diri seperti meningkat keimanan, menjauhkan daripada sesuatu yang haram dan mampu menguatkan diri bagi melaksanakan sesuatu kewajipan, maka hukumnya meningkat lebih daripada harus.
Uzlah boleh berlaku dalam dua keadaan samada dengan mengasingkan diri secara langsung beberapa ketika daripada orang ramai atau secara tidak langsung dengan mengasingkan jiwa sahaja beberapa ketika sedangkan diri tetap bersama masyarakat.
Bagi menyempurnakan mujahadah membina roh yang suci, asingkanlah diri beberapa ketika ( minit ) bertafakkur untuk bersama Allah swt.
B ) al-Shamt ( diam )
Sabda Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam yang bermaksud:
“Sekiranyalah kamu tidak mengotori hati - hati kamu dan kamu tidak berlebih - lebihan dalam percakapan kamu, nascaya kamu akan dapat mendengar apa yang aku dengar.”
Diriwayatkan oleh al Imam Ahmad.
Kerana itu, berdiam diri merupakan rukun mujahadah untuk menyuci roh dan membuang segala hijab - hijab di perjalanan menuju Allah taala.
Berdiam diri yang dimaksudkan di sini adalah daripada sesuatu yang tidak perlu. Adapun berkata – kata dalam hal yang fardhu atau wajib, maka tidak boleh berdiam diri darinya.
C ) al-Juu` ( berlapar )
Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda dengan maksudnya:
“Hendaklah kamu sentiasa murung ( sedih ). Sesungguhnya ia merupakan kunci pembuka hati. Lalu para sahabat bertanya, wahai Rasulullah, bagaimanakah keadaan murung tersebut? Baginda bersabda: Hinakan ( letihkan ) diri kamu dengan berlapar dan mendahagakannya”
Riwayat al-Tabrani.
Bermujahadah dengan cara berlapar merupakan salah satu rukun yang ampuh untuk merawat hati dan menyegarkannya. Oleh kerana itu, berlaparlah untuk beberapa masa dalam sehari dan berpuasalah beberapa hari dalam sebulan ( 3 hari ).
D ) al-Sahar ( berjaga malam )
Tanpa penentuan masa tidurnya dengan terurus, seseorang muslim boleh mengabaikan banyak urusan penting dalam hidupnya, seperti solat Subuh berjemaah, beristighfar waktu sahur, berqiamullail dan tahajjud, solat isya` berjemaah, berwirid selepas Subuh, membaca al-Quran sebelum fajar dan banyak lagi akan terjejas akibat tidak terurusnya tidur seseorang manusia.
Agar urusan - urusan penting tersebut tidak terabai, seseorang muslim perlu menyusun tidurnya dan menetapkan sebahagian waktu malamnya untuk menunaikan urusan - urusan tersebut, supaya tidak tergolong daripada kalangan mereka yang rugi.
Kekuatan Yang Diperlukan Untuk Mujahadah
A ) Ilmu dan Zikir
Ilmu ketuhanan ( makrifat ) dengan membaca ayat - ayat keagongan dan kekuasaan Allah dalam al-Quran dan juga dengan bertafakkur terhadap ayat - ayat kauniyah yang terbentang di alam semesta dan meningkatkan zikruLlah untuk meresapkan keagongan kekuasaan Allah subhanahu wa taala ke dalam diri sehingga menjiwai dan merasai ma`iyatullah.
B ) Ilmu dan Ta`ammul
Ilmu syariah bersumberkan wahyu yang akan mengawal system nilai seseorang hamba dengan batasan ketuhanan tanpa sebarang campur aduk unsur2 luar yang bertentangan dengan ruh syariah tersebut (maqasid syariah) & Sentiasa meneliti (mentaammul) rahsia2 syariah bagi menepati setiap hukum untuk diperundangan atau dilaksanakan dengan penuh hikmah kebijaksanan.
C ) Ilmu dan Amal
Ilmu hal ehwal kesihatan hati ( sihat atau sakitnya ) dan mengetahui perkara - perkara yang menyihatkan hati dapat membantu peningkatan amal dalam diri bagi menyuburkan akhlak terpuji. Adapun mengetahui jenis - jenis penyakit hati boleh membantu mendapatkan rawatan dan meninggalkan sesuatu amal buruk menjadi perosak kepada keperibadian manusia.
DPPP dan Tarbiyah Ruhiyah
Sebagai kesimpulan dalam perbincangan Tarbiah Ruhiyyah ini, ingin ditegaskan bahawa ilmu dan amal ( termasuk zikir dan ta`ammul ) adalah unsur terpenting bagi mengubah seseorang muslim dalam perjalanan munuju Allah subhanahu wa taala.
Dengan ini, DPPP hendaklah melakukan pembaharuan di dalam melaksanakan program tarbiyah kepada anggota - anggotanya. Ia adalah dengan memastikan setiap anggota pemuda di semua peringkat melalui tahap - tahap ilmu dan amal yang ditetapkan. Ketetapan ilmu dan amal setiap marhalah ini seharusnya dibuat sesuai dengan realiti cabaran semasa kepada pemuda hari ini.
Begitu juga DPPP seharusnya menjadi pembantu di dalam usaha pembaharuan mencorakkan kepimpinan PAS masa depan yang sentiasa ‘dekat dan langsung’ dengan tarbiyah bagi memastikan ketulenan kepimpinan Islam yang mewarisi sifat - sifat Anbia` dan Khulafa` al-Rasyidin.
Sayugialah ditingkatkan usaha pemahaman bahawa Bersama Kepimpinan Ulama` bermaksud Bersama Kepimpinan Rabbanisebagaimana yang dilakukan oleh pemimpin agong Islam Salahuddin al-Ayubi dan Sheikh Muhammad al-Fateh. Pembaharuan ini bukan sahaja melibatkan pimpinan PAS tertinggi peringkat pusat, disyaratkan juga kepada YDP dan Ketua2 Dewan semua peringkat.
Penutup
Tarbiyah ruhiyah adalah maksud utama tarbiyah Islamiyah. Kejayaan atau kegagalan di peringkat ini akan menentukan kejayaan gerakan Islam atau sebaliknya. Adalah menjadi keperluan yang mendesak agar setiap jentera parti PAS terutamanya Dewan Pemuda PAS di semua peringkat memberikan perhatian yang sebaiknya ke arah perlaksanaan program tarbiyah yang tersusun dan berterusan.
Selepas membaca artikel ini, saudara telah memahami;
1 ) Tarbiyah ruhiyah adalah aspek paling penting di dalam menentukan kejayaan setiap individu muslim dan gerakan Islam.
2 ) Tarbiyah ruhiyah yang ditunjuki oleh al Quran adalah satu – satunya ilmu yang mampu menyucikan jiwa manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah.
3 ) Mujahadah dengan rukun – rukunnya adalah satu – satunya cara menyempurnakan program penyucian jiwa.
4 ) Kewajiban meningkatkan ilmu dan amal di dalam usaha memantapkan iman.
5 ) Dewan Pemuda PAS hendaklah memainkankan peranan ke arah memperkasakan parti dengan tarbiyah ruhiyah kepada seluruh anggotanya.
Panel:
1 ) Ustaz Hj Nasrudin bin Hassan Tantawi
2 ) Ustaz Hj Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
4 ) Ustaz Hj Riduan bin Mohd Nor
5 ) Ustaz Hj Nik Mahadi bin Nik Mahmood
6 ) Ustaz Hj Mohd Asri bin Mat Daud
7 ) Ustaz Hj Zulqarnain bin Hassan
8 ) Ustaz Hj Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin al Joofre
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...