Tuesday, February 8, 2011

Inginkan Ulama Malaysia Seperti Al-Qaradawi?


Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
IMG_4821
Menghadiri pengajian intensif bersama Sheikh Al-Imam Dr Yusuf Al-Qaradhawi di Doha Qatar memberi seribu satu macam kesan dan semangat buat diri saya, tercapai juga hasrat untuk mengaji secara berdepan bersama Sheikh yang telah lama tersimpan sebelum ini.
Terkenang pada hari pertama, Sheikh menceritakan kepada kami liku-liku pengajiannya sehingga tertulisnya buku pertama beliau ‘Al-halal wal al-haram fil Islam’. Sebelum syeikh sampai ke majlis, Setiausaha ahli jawatankuasa penganjur, menceritakan pelbagai latar belakang Sheikh yang amat menarik perhatian. Berkenaan cara sheikh menulis kitab-kitabnya dan lain-lain.
Dari pelbagai yang diceritakan, ada satu perkara yang ingin saya sentuh dalam tulisan ringkas ini. Iaitu kebijaksanaan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi yang terserlah sejak beliau di peringkat sekolah rendah lagi. Menurut info yang diberikan, Sheikh adalah tergolong dalam 100 pelajar terbaik seluruh Mesir sejak peringkat rendah lagi sehinggalah ke peringkat Universiti.
PILIHLAH PELAJAR CEMERLANG JADI USTAZ
Dari situ, saya kerap terfikir betapa perlunya seseorang ilmuan Islam itu dipilih dari kalangan pelajar-pelajar yang terkenal bijak dan rajin sejak peringkat rendah lagi. Malah sudah sekian lama, saya mencadangkan kepada pelbagai pimpinan NGO Islam termasuk PAS, agar membuat satu perancangan tersusun untuk melahirkan lebih ramai ulama Malaysia yang berwibawa, menembusi peringkat global dan berperanan besar.
Sebelum ini seringkali kita melihat, ibubapa yang mempunyai anak-anak bijak dan rajin serta memperolehi keputusan peperiksaan cemerlang, dijuruskan oleh ibubapa mereka ke arah menjadi doktor perubatan dan lain-lain bidang profesional berasaskan ilmu sains.
Keadaan dan kecenderungan sedemikian menjadikan jumlah pelajar berminda cerdas dan rajin JARANG dapat disalurkan menjadi seorang ilmuan DAN PEMIKIR ISLAM YANG HEBAT.
Teringat bagaimana Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi merupakan ‘cream of the cream’ ketika di Mesir, sejak kecil. Justeru, dengan pengajian bersungguh, penuh minat, ikhlas dan istiqamah, beliau mampu menjadi seorong ilmuan Islam dan daie yang terulung di dunia.
Saya amat berharap kepada sesiapa sahaja yang membaca artikel ini agar cubalah membentuk anak tuan dan puan yang terbukti berminat, rajin dan cerdas akal fikirannya untuk dibentuk menjadi seorang alim besar.
PROSES PERLU PLAN TERSUSUN DAN TERANCANG
Proses ini tentunya perlu kepada ibubapa yang sudah sediakan alim di bidang agam, atau jika tidak  ia lebih mudah disusun dan dirangka oleh sesebuah organisasi, mempunyai dana khusus untuk itu dan sekumpulan pakar yang diberikan tugasan membentuk diri anak terbabit.
Saya teringat info yang diberi oleh seorang seorang pelajar Melayu yang telah menjadi doktor di Ireland dan kini sudah hampir menjadi pakar dalam bidangnya. Beliau mendedahkan bahawa proses untuk mencapai apa yang telah dan sedang beliau capai itu, banyak juga bergantung kepada doktor-doktor pakar di Malaysia yang menasihatinya selalu, agar beliau faham dan tahu bahagian teknikal apa yang perlu diperkukuhkan dan dimantapkan bagi memenuhi tuntutan kerjaya doktor pakar di Malaysia. Proses ini menuntut beliau untuk bertugas dan belajar di Ireland hampir 15 tahun.
Demikian, proses yang diperlukan jika kita ingin melahirkan seorang ulama bertaraf lima bintang di Malaysia, kita perlukan sekumpulan ulama sebagai mentor, yang boleh sentiasa memberi panduan, tunjuk ajar, bimbingan dan pemantauan agar pengajian yang dilalui benar-benar diarah dan berjaya sampai ke sasarannya.
Kita tidak mahu, pengajian mereka terpilih salah guru akhirnya menjadi seorang yang ekstrem yang bersifat pemecah berbanding penyatu umat.
INGIN JADI ALIRAN MANA INI?
Sebagaimana diketahui agak banyak juga pecahan-pecahan aliran pemikiran Ulama Islam dalam menanggapi dan memahami teks-teks Al-Quran dan Sunnah di Malaysia. Sehingga tergelar begitu banyak jenis aliran, kefahaman dan kumpulan. Masing-masing merasa mereka yang terbenar dan berada di jalan yang sohih, menafikan kebenaran pada yang lain.
Seperti wujudnya aliran salafi jalur keras (digelar Wahabi oleh pembenci mereka), Salafi sederhana,  Salafi lembut, khalafi keras ( digelar ahbash oleh pembenci mereka), sederhana dan lembut. Demikian juga Sufi tarekat, aliran hadith, Zahiri moden, Syiah, Tabligh dan sebagainya.
BANGGA DENGAN GURU & TEMPAT
Selain terpecahnya aliran sebagaimana di atas, kerap juga ditemui lepasan pengajian Islam yang taksub dan terlalu berbangga dengan universiti masing-masing, tidak kurang dengan Sheikh (guru) masing-masing.
Sehingga ke suatu tahap, tidak merasa apa yang dipunyai oleh individu dan kumpulan lain mampu dan sampai ke tahap keilmuan dan kefahaman mereka.
Keadaan ini menjadikan lulusan pengajian Islam dilihat sering berpecah dan bertempur hujjah sesama sendiri serta terabai akhlak mulia dan masalah lebih besar dan nyata di kalangan masyarakat awam.
Di tamabah dengan masyarakat awam yang malas membaca, berfikir panjang dan menilai secara penyelidikan. Keadaan di atas menjadi bertambah buruk.
Sebahagian besar masyarakat pula, sering terikut-ikut cara pemalas lalu mempakejkan kebenaran kepada hanya satu-satu kumpulan, selain mempakejkan kesalahan juga  kepada yang lain. Bermakna, jika sudah dilabel seseorang individu sebagai 'tidak bersama kumpulan dan alirannya', semua ilmu dari sebelah sana TIDAK BOLEH dibaca atau difikirkan sama sekali, hanya layak ditolak walau perlu melalui takwilan yang tersasar sehingga kelihatan jahatnya.
Padahal, kebenaran dalam hal ijtihadiyyah itu boleh sahaja bercampur-campur di pelabagai pihak, Hanya Allah yang maha pmenegtahui kesemunya. Manusia hanya mampu berusaha mencari keputusan yang diyakini paling hampir dengan kasihnya Allah. Namun sukar untuk mana-mana pihak mendabik dada berkenaan kebenarannya dalam semua perkara khsusunya dalam hal cabang fiqh dan lain-lain bidang agama.
Demikianlah Sheikh Al-Qaradawi mengajar kami agar tidak menutup pintu kebenaran di pihak yang lain, penilaian perlu dibuat secara adil, bukan emosi dan bertenang dalam apa jua topik keagamaan. Selain memahami status sesuatu isu yang dibincangkan itu berada dalam kategori qat'ie atau zhonni.
withsheikh
PECAH KERANA UNIVERSITI
Sedihnya apabila melihat terdapat lulusan timur tengah memandang rendah kepada lulusan tempatan, hanya kerana mereka dapat belajar dari guru berbangsa arab.
Graduan universiti tempatan pula ada yang menafikan kebijaksanaan graduan timur tengah, khususnya apabila mengetahui majoritinya pergi bukan dengan biasiswa kerajaan hasil keputusan terbaik, tetapi pergi atas belanja sendiri atau dermasiswa kerajaan negeri tertentu, setelah tidak mampu memperolehi biasiswa JPA atau Kementerian dek kerana keputusan SPM yang tidak melayakkan biasiswa diterima.
Haru melihat pandangan rendah di antara satu sama lain seperti ini berlaku, namun ia hakikat walau pahit ditelan.
Lulusan Mesir pula, terdapat sebahagian yang memandang rendah lulusan Jordan, Morocco Syria dan lainnya, almaklumlah mereka merasakan diri mengaji di institusi tertua pengajian Islam, dipenuhi ulama sejak seribu tahun yang lalu.
Lulusan Mekah dan Madinah pula, ada sebahagiannya merasa diri paling hebat almaklum mengaji di tanah Rasul tercinta, Mekah dan madinah yang penuh berkat. Hanya terpilih setelah proses interview dan menikmati biasiswa mewah kerajaan Arab Saudi.
Lulusan Jordan pula ada yang menuduh majoriti lulusan Mesir sebagai kurang kualiti, disebabkan pengajian mereka yang tidak bersistem, tiada kelas diwajibkan serta majoriti lemah di dalam bahasa arab fushah dan pelbagai alasan lagi diberikan.
Lulusan Yaman merasa mereka lebih faqih dan faham berbanding yang lain
Lulusan Pakistan merasa mereka lebih pakar di bidang hadis dari yang lainnya.
Dan senarai ini berterusan, sukar mencari penghujung. Padahal guru dan tempat belajar hanyalah sebab luaran kepada perolehan ilmu. Apa yang lebih penting adalah diri sendiri, keberkatan pengajian dan keikhlasan dalam menuntutnya.
Hakikatnya hal ini bukan sahaja berlaku di kalangan ustaz dan ustazah kecil di tanahair kita sahaja, malah di kalangan sheikh-sheikh arab yang dilihat alim juga ada memandang rendah kepada satu sama lain.  Malah beberapa ilmuan di Syria dan Saudi sering melihat Sheikh Al-Qaradawi sebagai tiada ilmu dan pelbagai lagi.
HASIL MASING-MASING RASA HEBAT
Hasil masing-masing merasa diri lebih hebat, maka berlakulah pertembungan hujjah. Dmulakan secara perlahan, berubah menjadi keras, emosi,  tiada akhlak. Berlakulah proses kecil memperkecil tahap ilmu di antara satu sama lain, mengutuk tempat pengajian satu sama lain dan sebagainya.
Ukhuwwah di antara golongan ini yang diharapkan menjadi model kepada masyarakat dan sepatunya dicontohi oleh masyarakat menjadi sebaliknya. Masjid dan surau tempat mereka dijemput ceramah dan berkuliah dijadikan medan berkesan untuk ‘membantai’ individu lain.
Masyarakat awam yang masih kegersangan ilmu dan keliru ini akhirnya semakin jauh, semakin keliru dan ragu, dan akhirnya memilih untuk memasuki salah satu kem dan memeriahkan permusuhan di antara satu sama lain. Adakah ini fungsi para lulusan agama ini?.
Gejala label melabel menjadi senjata antara satu sama lain. Label  ‘WAHABI’ dan ‘AHBASH’ dan banyak lagi seringkali digunakan.
Kelihatan seolah tiada siapa yang boleh melunakkan pihak-pihak ini kecuali JIKA DAPAT DITAMPILKAN SESEORANG YANG MEREKA SEMUA YAKIN DAN HORMAT.
Menurut pengamatan sederhana, kelihatan lulusan mesir hanya akan hormat kepada seseorang yang juga pernah mendapat kelulusan dari tempat yang sama degan mereka. Demikian Mekah, Madinah, Jordan, Yaman Pakistan dan lainnya.
LAHIRKAN ULAMA HASIL GABUNGAN PENGAJIAN
Hasilnya, mungkin jika kita ingin melahirkan seseorang ilmuan yang insaf adil, lunak dan mampu meredakan ketengangan dan perpecahan ini. Mungkin dari sekarang NGO-NGO Islam dan ibubapa perlu merancang untuk melahirkan ulama ulung Negara dari proses pengajian yang pelbagai.
Setelah proses saringan pelajar terpintar, cerdas dan rajin tadi dilakukan di peringkat rendah atau menengah rendah.
NGO atau organisasi Islam terbabit bolehlah merangka plan penghantaran pengajian pelajar terpilih ini. Setelah rangka asas pengajian terpilih ini, objektifnya sasarannya, proses monitor dan semakan yang komprehensif  disediakan.
Mungkin gabungan fasa pengajian seperti berikut boleh difikirkan. Selepas pelajar terbabit mencapai keputusan cemerlang di peperiksaan SPM.
1.       Diploma Tahfiz di Darul Quran atau mana-mana pusat tahfiz terbaik. ( atau hafazan ini boleh diperolehi lebih awal di sekolah menegaha sebagai contoh)
2.       Peringkat BA : Cadangan saya, menghantarnya ke mana-mana universiti di Jordan bagi tahap sarjana muda. Ini kerana bagi saya, kelulusan pensyarah-pensyarah universiti-universiti di Jordan biasanya adalah gabungan Phd dari Al-Azhar, Ummul Qura, Iraq, Madinah, Syria dan lain-lain. Majoritinya dari Al-Azhar. Justeru, kepelbagaian latarbelakang pensyarah banyak membantu bagi melahirkan graduan yang berfikiran terbuka dan toleransi dalam kepelbagaian ijtihad mazhab dan aliran. Ditambah pula dengan sistem pengajian yang lebih tersusun dan penggunaan bahasa arab fushah yang sederhana.
Selain pengajian di universiti, perlu ada mentor yang memastikan pelajar terpilih tadi menghadiri pengajian-pengajian talaqqi dengan sheikh-sheikh teralim di Jordan khususnya di Amman.
Boleh juga ditambah jadual pengajian mereka dengan memberikan belanja yang cukup untuk mereka menghabiskan cuti semester dengan pengajian talaqqi di Syria di hadapan guru-guru terhebat di sana.
HASIL : Kita mengharap graduan ini tamat belajar dari Jordan dan Syria dalam tempoh 4 tahun dengan ijazah dan gabungan ilmu talaqqi di kedua-dua negara. Memperolehi kekuatan bahasa arab dan basic yang utuh dalam ilmu-ilmu Shariah sama ada bidang Fiqh atau Usuluddin.

3.       Peringat Masters : Cadangan saya, disiapkan sama ada di Universiti Al-Azhar atau Universiti Kaherah. Ini perlu bagi pelajar terpilih ini memperolehi kelebihan pengajian di mesir yang merupakan pusat ilmu islam yang amat berpengaruh.
Pada masa yang sama, jika mampu, dinasihtkan pelajar ini menghadiri juga pengajian di Darul Ifta, Mesir. Harapannya, pelajar terpilih ini mampu menyiapkan kedua-dua Sarjana di Al-Azhar dan Darul Ifta’ dalam masa 5 tahun atau kurang.
HASIL : Diharapkan dengan tamanya pelajar ini dari bidang ini, beliau akan pulang dengan kemantapan pengajian ilmu syariah peringkat tinggi dari Mesir di kedua-dua Al-Azhar dan Darul Ifta.

4.       Peringkat PhD : Menyiapkan PhD di Universiti Islam Madinah atau Ummu Al-Qura.
Namun halangan, biasanya universiti Islam Madinah dan Mekah sukar menerima graduan yang tidak berlatar belakang dari universiti mereka di peringkat BA dan MA.
Sesuatu perlu diusahakan untuk membolehkan pelajar terpilih ini memasuki universiti ini. Harapannya, kekuatan pengajiannya di Jordan, Syria dan Mesir tadi dapat disempurnakan lagi di tanah suci ini.
Disamping pengajian rasmi di universiti, alangkah baik jika terdapat mentor yang telah mampu menasihatkan pelajar untuk mempelajari ilmu dari cara talaqqi.

HASIL : Dalam tempoh 4-5 tahun, dijangka pengajiannya boleh tamat. Ketika itu, amat berharap ilmuan yang dikeluarkan dari proses pengajian Islam yang mantap di Jordan, Syria, Mesir, Madinah dan Mekah, maka akan TERHASILLAH SEORANG ILMUAN YANG sangat berwibawa, lunak, hikmah dan dihormati oleh majority aliran yang terdapat di Malaysia. Malah bijak pula menyesuaikan diri dengan ilmu-ilmu kontemporari.
Bagi melengkapkan lagi pusingan pengajiannya, selepas menamatkan Phd, mungkin pelajar terpilih ini boleh menunut paling kurang dalam tempoh 6 bulan di Pakistan untuk menghadiri kuliah di Darul Ulum, mendalami pengajian hadis. Juga dihantar setahun ke United Kingdom untuk diploma pengajian tinggi di institute pengajian tinggi di UK bagi membolehkan beliau melihat dunia yang berbesza dari tanah arab, disamping menggarap metodolgi pengajian dan pemikiran di Negara. Disamping mengasah kekuatan bahasa Inggerisnya agar benar-benar beliau mampu berhadapan dengan pelbagai pihak.
Bayangkan, jika kita mampu melahirkan ilmuan yang melalui proses ini, saya bersangka baik, individu tersebut mampu untuk meredakan pertengkaran aliran-aliran yang sering bertengkar, bersangka buruk dan berselisih. Disebabkan individu ini besar kemungkinannya bakal dihormati oleh kebanyakan aliran pengajian seseorang graduan ilmu Islam.
Hasil penilaian saya, tahap keegoan beberapa graduan agama di Negara kita sukar dineutralkan kecuali jika kita mampu melahirkan individu yang berpendidikan seperti di atas.
Namun tidak dinafikan, banyak cabaran yang merintang dan hasilnya belum pasti mejernihkan kedaaan, mungkin juga mengeruhkan lagi. Selain itu, proses di atas pastinya diragui oleh aliran-aliran yang telah wujud. Tentunya masih ada yang merasakan ‘individu ini adalah hasil tangan aliran itu’ justeru kita tidak terima dan sebagainya.
Cuma saya meyakini, kekuatan individu ini pastinya mampu serba sedikit merapatkan jurang yang telah wujud di kalangan graduan gama di Negara kita. Bukan hanay dengan tujuan peirngkat nasional malah menjalar ke peringkat dunia. Berfungsi sebagai salah seorang ulama terulung di dunia hasil keluaran rakyat Malaysia.

MERANCANGLAH SAHABAT PERJUANG DI PLATFORM MASING-MASING
Kita sudah letih melihat, pengajian islam sering menjadi pilihan terakhir ibubapa setiap kali apabila memikirkan kerjaya anak-anak di masa hadapan. Kerjaya yang boleh menjana lebih banyak duit dan wang dan nama, sering menjadi keutamaan.
Akhirnya, agak ramai jumlah individu yang menjadi ustaz dan ustazah kekurangan kualiti ilmu. Disebabkan latar belakang mereka bukanlah dari jenis yang cintakan ilmu, cerdas dan rajin di dalam pengajian. Sejak dari pengajian peringkat rendah lagi terkenal dengan gagal dan ‘nakal’nya. Tiba-tiba dewasa menjadi ustaz, yang mengajar di masjid dan surau.
Bertambahnya jumlah graduan sebegini pastinya ada baik dan buruknya. Saya teringat berbincang dengan seorang sahabat yang bertanya bagaimana seseorang ustaz dan ustazah itu ingin muhasabah diri dan  mengukur sejauh manakah tepatnya pandangan mereka dalam hal-hal agama.
Jawapan saya panjang, namun ringkasnya termudahnya, mana-mana ustaz-ustazah yang lahir dari pengajian universiti bolehlah musahabah diri dengan  melihat kembali markah-markah peperiksaan mereka di universiti.
Benar, ia terlalu subjektif dan sukar untuk menjadi kayu ukuran. Tentunya markah peperiksaan semata-mata itu tidak mampu mencermin penilaian keilmuan seseorang dengan cara yang paling tepat, namun sekurang-kurangnya ia boleh member sedikit indikasi ukuran tahap cerdas pemikiran, hafazan, pemhana dan kerajinan seseorang individu itu semasa menjadi pelajar.
Bermakna jika, semasa tamat belajar dahulu di peringkat BA, MA atau Phd, markahnya adalah 50 %, mungkin beliau perlu sedar itulah peratusan kebenaran pandangan-pandangan fiqh dan agama yang disebarkan kepada masayarakat.
Jika 80 %, maka demikian juga tahap hampirnya dia kepada tepat. Jika hanya 46 %, maka besar jualah kemungkinan tersilapnya dia memberikan ilmu kepada masyarakat. Sama-sama kita muhasabah diri wahai para graduan agama. Agar apa yang kita berikan kepada masyarakat bukan berada di markah lulus tetapi markah cemerlang.
Atas sebab itu mungkin, majoriti institusi pengajian tinggi di seluruh dunia Islam meletakkan markah 75 % sebagai markah lulus bagi subjek-subjek bagi pengajian di peringkat tinggi MA dan PhD. Demikianlah sistem di Jordan, beberapa negara timur tengah dan juga universiti tempatan.
Ia memang perlu agar, keluaran pengajian tinggi di universiti-universiti ini bukan terdiri dari mereka yang hanya ‘cukup makan’ lulus di peringkat BA. Kerana mereka kelak perlu menjadi tenaga pengajar di universiti pula.

KESIMPULAN
Kita amat perlukan pelajar cerdas dan rajin sebagai bakal ustaz dan ustazah masa hadapan. Harapn tersebut memerlukan pernancangan dan memerlukan kos. Selain budget yang mungkin boleh diperolehi dari biasiswa kerajaan pusat atau negeri. Bagi menjayakan hasrat ini, pihak yang merancang memerlukan belanja lain agar plan yang digariskan dapat dilaksanakan.
Hasilnya kita berharap lahirnya ulama yang sangat tinggi kualitinya dewasa ini, seperti Al-Marhum Sheikh Abu Hasan Ali Al-Nadawi, Al-Marhum Sheikh Abul A’lA Al-Mawdudi, Sheikh Mufti Taqi Uthmani dan ramai lagi. Walau mereka bukan berbangsa arab, namun keilmuannya menembusi sempadan hormat dari ulama ‘Arab. Itu sesungguhnya sesuatu pencapaian yang amat sukar dicapai, namun mampu dicapai jika perancangannya melahirnya ulama sedemikian dilaksanakan dengan teliti.
Saya tidak berniat menyindir sesiapa, mana aliran dan mana-mana graduan dari mana-mana Negara dari tulisan ini. Hanyalah memberikan contoh sebenar dari pengamatan dan pengalaman di sekeleiling agar kita sama-sama insaf. Namun, jika ada mana-mana aliran, kumpulan atau ustaz/ah yang terasa dengan tulisan ini, saya pohonkan kemafaan jika bahasanya kurang lunak dan elok.
Tentunya ia hasil kelemahan saya sendiri dalam usaha menyampaikan maksud yang diingini. Saya hanya mengharapkan kita sama-sama mampu melahirkan yang terbaik buat umat ini, sambil menyedari diri ini, mungkin tiada kemampuan mencapainya.
Akhirnya, jika ada mana-mana NGO dan ibubapa yang inginkan tenaga saya untuk membantu dalam perancangan ini, setelah mereka mempunyai pelajar terpilih, cukup ciri tadi, saya amat bersedia membantu setakat yang termampu, demi kebaikan ummah dan amal jariah diri untuk ke alam yang kekal abadi. Kegagalan kita merancang untuk melahirkan ulama ulung seperti Al-Qaradawi akan sentiasa menjadikan kita ketiadaan insan sepertinya.
IMG_4841
ciumqaradwi

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
8 Februari 2011

Sunday, February 6, 2011

Revolusi Mesir: Di mana kedudukan Ikhwan Muslimin?

Oleh :
Ahmad Lutfi Othman   
Kebangkitan rakyat Tunisia sehingga dapat menggulingkan diktator Zine El Abidin Ben Ali dalam waktu begitu singkat kini menjalar ke Mesir, dan berpotensi cerah meranapkan banyak lagi pemerintahan kuku besi di rantau Arab. Siapa pun tidak dapat menduga, anak-anak muda yang membesar dalam ledakan dunia maklumat tanpa sempadan, yang sentiasa dikongkong dan dikurung oleh budaya takut, berjaya menghalau Ben Ali dan keluarga.

Di Timur Tengah, hampir semua kerajaan yang memerintah tidak dipilih rakyat melalui sistem demokrasi. Sama ada ia sebuah republik atau sistem monarki, memihak Barat atau memusuhinya, mengadakan hubungan dengan Israel atau tidak, namun rakyatnya sentiasa ditindas dan dinafikan hak. Elit penguasa membolot dan menimbun kekayaan untuk diri, keluarga  dan kroni. Negara kaya tetapi majoriti penduduknya merempat. Pengangguran, kemiskinan dan rasuah bermaharajalela. Manakala maruah umat tergadai dengan pergantungan kepada kuasa-kuasa luar.

Tumpuan kini tertumpu ke Mesir. Regim zalim Hosni Mubarak, yang menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat dan zionis Israel hanya menunggu masa untuk runtuh. Diberitakan keluarga presiden  yang memerintah selama 30 tahun itu sudahpun melarikan diri ke luar negara. Hosni tidak berupaya lagi membendung amarah rakyat, yang terus melancarkan protes tanpa henti biarpun berdepan risiko tinggi. Medan Tahrir menjadi saksi pertumpahan darah tidak dapat dielakkan, apatah lagi rakyat berdepan dengan dalang keganasan yang dicetuskan Parti Nasionalis Demokratik pimpinan Hosni.

Keaiban detik-detik akhir kehidupan presiden sebelumnya, Anwar Sadat yang dibunuh di hadapan publik dan disiar secara langsung televisyen, mungkin berulang kepada Hosni. Anwar ditembak mati seorang anggota tentera, Leftenan Khalid Islambouli ketika beliau berdiri menerima tabik hormat daripada perbarisan ketenteraan pada 6 Oktober 1981. Ia berpunca daripada kemarahan rakyat terhadap perjanjian Mesir dengan Israel, dalam Perjanjian Kem David, selain penentangan terhadap amalan rasuah dan kenaikan harga barangan.

Apabila rasa gentar dan takut sudah hilang daripada sanubari rakyat tertindas, tiada apa lagi yang mampu menghalang tercetusnya revolusi dan pemberontakan. Regim yang diperkasakan oleh pasukan keselamatan, khususnya polis rahsia yang dulunya digeruni kini terpaksa melutut dengan suara keramat rakyat. Pukulan belantan, perintah darurat, arahan berkurung, tembakan gas pemedih mata, peluru getah hatta ratusan kes pembunuhan oleh agen pemerintah; semuanya dianggap enteng apabila kepompong budaya takut pecah berkecai.

Malah balai polis diserbu penunjuk perasaan dan mereka bertindak nekad membakarnya. Satu simbol nyata bahawa ketakutan yang membungkus gerak kehidupan rakyat selama ini telah turut terbakar. Rasa hormat dan maruah diri yang dipijak-pijak sejak sekian lama mula bangkit mengisi roh generasi baru rakyat Mesir. Mereka kini sedang berusaha mencipta sejarah, bukan hanya untuk membebaskan negara yang "terjajah" sekian lama, juga bagi membawa obor semangat buat negara-negara jiran dan ummah seluruhnya.

Sejarah pembebasan negara-negara Arab, termasuk Mesir dan Tunisia, daripada belenggu penjajahan, memang luar biasa. Pengaruh Mesir terhadap orang-orang Melayu juga tidak kurang hebatnya. Akhbar-akhbar Melayu, seperti al-Ikhwan, Saudara, al-Imam, Idaran Zaman dan Suara Melayu sejak awal abad 20 telah melaporkan pergolakan politik dan gerakan kebangsaan rakyat Mesir. Nama-nama pejuang dan pemikir Islam seperti Jamaluddin Al-Afghani (1838-1897), Muhammad Abduh (1849-1905) dan Rashid Ridha (1865-1935) tidak asing lagi kepada orang Melayu, yang seterusnya menimbulkan polemik Kaum Muda di Tanah Melayu.

Menurut Prof Dr Mohammad Redzuan Othman dalam bukunya, Islam dan Masyarakat Melayu; Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, gerakan Pan-Islamisme yang dipelopori Jamaluddin Al-Afghani telah mencetuskan kesedaran kebangsaan rakyat Mesir. Ketika di Mesir, Afghani berjaya mempengaruhi generasi muda dan ramai pengikutnya muncul memainkan perana penting dalam perkembangan sejarah Mesir moden. Gagasan ideanya -- yang menyeru umat Islam kembali kepada ajaran sebenarnya -- lebih berpengaruh jika dibandingkan dengan pergerakan nasionalisme Arab atau Mesir.

Selain itu, dua institusi besar Mesir  yang juga cukup dekat-akrab dengan masyarakat Islam di Malaysia ialah Universiti Al-Azhar dan gerakan Islam, Ikhwan Muslimin. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat merumuskan: "Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya' yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia."

"Sayangnya," tambah Ustaz Nik Aziz, "Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran."

Isu Palestin juga begitu dekat dengan umat Islam sedunia dan rakyat negara ini. Di kala zionis Yahudi bertindak zalim sewenang-wenangnya, dibantu pula oleh Amerika Syarikat, maka peranan negara-negara jiran, sekurang-kurangnya untuk tidak sama-sama menekan amat diharapkan. Mesir pula pernah menunjukkan komitmen dan kekuatannya untuk berperang dengan Israel.

Malangnya Mesir mengkhianati amanah dan harapan ummah. Ia turut melakukan pengepungan ke atas wilayah Gaza, Palestin. Talian hayat rakyat Palestin dipotong. Bantuan dunia luar tersekat. Mesir memang terbukti menjadi sekutu rapat dan talibarut Israel memerangi kumpulan Islam di Gaza. Benarlah rumusan Ustaz Nik Aziz:
"Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya."

Secara peribadi, saya lebih terasa intim dengan Ikhwan Muslimin (ditubuhkan pada 1927, di Isma'iliyyah, Mesir), yang dianggap guru buat semua gerakan Islam moden. Saya kira hampir semua aktivis dakwah di negara ini sedikit sebanyak, secara langsung atau tidak langsung,  dipengaruhi Ikhwan. Malah kebangkitan harakah Islamiyah di negara-negara lain, seperti Jamaat Islami di Pakistan, Masyumi di Indonesia, Parti Refah di Turki, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Malaysia juga mendapat inspirasi daripada Ikhwan, yang kemudiannya diikuti Hamas di Palestin dan banyak lagi gerakan Islam di seluruh dunia.

Pengasasnya, Assyahid Hassan Al-Banna (14 Oktober 1906 - 12 Februari 1949) dibunuh regim Mesir melalui satu tipu helah jemputan perundingan dengan kerajaan. Imam yang agung itu terkena tujuh tembakan tetapi masih mampu berjalan memanggil ambulan. Bagaimanapun pihak tentera tidak membenarkan doktor merawatnya, sehinggalah Al-Bana sengaja dibiarkan mati dengan tumpahan darah yang banyak.

Tiada sesiapa dibenarkan menguruskan jenazahnya. Hanya ayahnya, Syeikh Ahmad Abdul Rahman, berusia lebih 90 tahun memandi dan mengafankan jenazah Al-Banna. Syeikh Ahmad bersama tiga anak perempuannya mengusung jenazah ke masjid dengan kawalan ketat tentera. Pengikut dan anak murid Al-Banna kemudiannya diburu bagaikan pengganas. Al-Banna bukan sahaja meninggalkan puluhan karya ulung untuk umat, tetapi lebih penting menunjukkan teladan unggul mengatur organisasi secara tersusun bagi melaksanakan perjuangan Islam di medan.

Kisah kezaliman dan penderitaan bukan hanya ditanggung Al-Banna tetapi seluruh generasi Ikhwan seterusnya. Penyeksaan yang ditanggung mereka terlalu perit untuk diceritakan. Penuh dengan air mata, penjara, darah, tali gantung, pengharaman dan pembunuhan kejam. Tokoh-tokoh Ikhwan lain yang harum namanya, dan terus disebut-sebut, selain meninggalkan khazanah pemikiran berharga, seperti Assyahid Syed Qutb, Assyahid Abd Qader Audah, Hassan Hudaibi, Umar Tilmisani, Mustafa Masyhur, Mustapha al-Siba'i, Said Hawwa, Syed Sabiq, Muhammad Al-Ghazali, Yusof Al-Qaradawi dan ramai lagi.

Memang ada pihak yang  sangsi, apakah Ikhwan yang sering diperalatkan pemerintah akan "dipergunakan" sekali lagi apabila Mesir berdepan krisis besar? Apatah lagi Mesir merupakan negara paling strategik di Timur Tengah, malah bagi Napolean Bonaparte, ia negara terpenting di dunia. Regim Mesir sentiasa menekan dan menindas Ikhwan, sejak Raja Farouk, Jamal Abdul Nasser sehinggalah Anwar Sadat dan Mubarak. Walhal Nasser dan Sadat merupakan orang yang pernah rapat dengan Ikhwan.

Mohamad Fauzi Zakaria dalam, Aqidah Yang Menggoncang Dunia, yang merupakan kajian di peringkat sarjana terhadap pengaruh pemikiran Syed Qutb, menjelaskan Ikhwan terbabit secara aktif dalam Revolusi Julai 1952 menumbangkan tirani monarki, Raja Farouk. Malahan Syed Qutb ditawarkan beberapa kedudukan penting dalam kerajaan revolusi termasuk Menteri Pelajaran, memandangkan pengalamannya yang luas di bidang pendidikan. Namun beliau menolaknya.

Syed Qutb, dalam satu majlis yang dihadiri para pegawai tentera Mesir menegaskan: "Sesungguhnya revolusi telah berlaku ... keluarnya seorang raja tidak bermakna berakhirnya revovulsi. Bahkan matlamat terakhir revolusi ini ialah mengembalikan negeri ini kepada Islam ... Sesungguhnya diriku semasa pemerintahan beraja telah kusediakannya untuk dipenjarakan. Malah tidak aman diriku pada zaman ini pun untuk terus kusediakannya kepada penjara lebih daripada persediaanku sebelumnya." Dengan spontan, Jamal Abdul Nasser yang turut berada dalam majlis sama mencelah: "Saudaraku Syed, demi Allah, tidakkan sampai kebimbangan itu padamu melainkan langkahnya mayat kami. Kami berjanji padamu dengan nama Allah bahawa kamilah tebusan kepada dirimu sehingga maut!"

Realitinya, apa yang dibimbangi Syed Qutb itu terbukti benar. Atas konspirasi terancang, melalui fitnah terhadap gerakan itu, Ikhwan diharamkan pada 13 Januari 1954, pimpinan dan ribuan anggotanya ditangkap. Kenyataan rasmi regim Nasser, dua hari selepas itu: "Pengumuman penting Majlis Pimpinan Revolusi tentang Ikhwan Muslimin, hubungan mereka dengan Inggeris dan mengadakan pertubuhan sulit di dalam pasukan polis dan tentera dalam usaha menggulingkan kerajaan dengan berselindung di sebalik pergerakan agama." Syed Qutb akhirnya terkorban syahid di tali gantung pada pagi Isnin, 29 Ogos 1966, selepas dua kali dipenjarakan.

Saya yakin, suasana kini sudah banyak berubah. Generasi Ikhwan yang terlatih, berakhlak dan berdisiplin, serta kaya dengan pengalaman -- dibantu arus globalisasi dan dasar langit terbuka yang mempercepatkan proses pendemokrasian dan boleh menyulitkan berulangnya konspirasi jahat terhadap Ikhwan -- pasti bersedia menyumbang khidmat menyelamatkan Mesir secara lebih berkesan. Buat masa ini mereka lebih bersedia menonjolkan Mohamed El-Baradei, penerima Hadiah Nobel Keamanan 2005, ke hadapan. "Kemahuan kami adalah kehendak rakyat," kata salah seorang pemimpin Ikhwan di Kaherah.

Insya-Allah, Ikhwan tidak dapat ditipu lagi, manakala pemimpinnya lebih berhati-hati dan bijaksana membaca realiti bagi mengatur rentak. Imej ekstrimis, militan dan teroris, walaupun masih cuba dipalit ke wajah Ikhwan,  namun agak sukar mempengaruhi majoriti rakyat yang sudah bersatu hati menghambat Hosni. Dalam masa sama, dipercayai regim Hosni cuba "bertarik tali" dan berlengah-lengah untuk meletakkan jawatan, bagi mempastikan pembaharuan Mesir tidak diterajui Ikhwan. Pemerintahan Amerika Syarikat yang menyokong transisi politik di Mesir turut meminta Hosni bertahan, bagi memastikan proses pembaharuan berjalan secara lancar dan aman.

Sekiranya pilihan raya adil dan bebas diadakan di Mesir, seperti pernah berlaku di Algeria dan Lubnan, juga seumpama di Turki, Ikhwan seperti gerakan Islam lainnya, akan mendapat sokongan ramai. Cuma, kepentingan Amerika dan Israel (terbukti Ikhwan bersedia bangun menentang Israel termasuk memikul senjata di medan perang) di Mesir jauh lebih besar berbanding Tunisia yang dibiarkan jatuh. Justeru, strategi dan pendekatan terbaik amat diperlukan oleh gerakan Islam masa kini, agar segala ruang sabotaj ditutup serapat mungkin.

Pelihara Ketulenan Manhaj Perjuangan Kita


by KDPPP:


Perjuangan tidak hanya berasaskan semangat malah penglibatan kita bersama PAS sebagai sebuah parti politik juga bukan kerana semata - mata memenuhi tuntutan demokrasi . Sebaliknya penglibatan [ intima' ] kita adalah berpaksi kepada Iman dan Islam .  Apa yang kita mahu tegakkan ialah Iman dan apa yang kita mahu daulatkan ialah Islam .


Inilah cita - cita murni yang sekali - kali tidak boleh kita benarkan ianya dipengaruhi oleh nafsu dan dikuasai oleh aqal yang terpisah dari wahyu . Justeru cita - cita ini terlalu suci untuk dipengaruhi selain Iman yang tidak berbelah bahagi dan Islam sebagai risalah as samawi .

Malang sungguh apabila perjuangan ini dicampur aduk dengan desahan nafsu yang memburu ruang untuk menyerlah populariti dan publisiti malah membina identiti diri tanpa memperduli ketulenan manhaj rabbani .

Barangkali kita akan ketemui apa yang diburu biarpun hanya mengatas namakan perjuangan Islam ini . Persoalannya , berbaloikah perjudian itu ?

Siang malam bergelut menghadapi ancaman . Saban waktu pula meredah rintangan . Bersama perjuangan ini dengan mengambil pelbagai risiko yang mungkin membinasakan diri , hanya semata - mata untuk menggapai cita - cita peribadi yang berpaksi kepuasan naluri .

Ketulenan Perjuangan

Perjuangan yang disertai ini adalah untuk sebuah kembara mencari kedaulatan buat Islam . Laksana pengembaraan Nabi saw bersama para sahabatnya membelah alam jahiliyyah memacu hijrah membina sebuah daulah . Segala rintangan dan halangan dihadapi dengan tabah . Sengsara dan deritanya didepani dengan sabar . Perit jerih atas segalanya menjadi ibadah yang ditekuni tanpa mengalah .

Malang 1001 kali malang andai perjuangan ini tidak ubah seperti batu loncatan untuk memenuhi cita - cita politik . Mencari pengaruh , jawatan dan gelaran. Sukar kita memelihara ketulenan perjuangan yang didokong ini jika kita gagal membebaskan diri sepenuhnya dari pengaruh nafsu dan kepentingan duniawi .

Ketulenan manhaj perjuangan mesti dipelihara dari anasir yang merosakkannya . Semua anggota jamaah mesti peka dalam menilai antara manhaj perjuangan yang tulen berasaskan sirah perjalanan nabi kita Muhammad saw atau manhaj perjuangan palsu yang meniti di atas jalur kepentingan politik dan peribadi .

Ketulenan manhaj perjuangan dapat dikenal pasti melalui pengambilan skima amal tarbawi yang mantap melalui silibus am tinggalan baginda Rasul saw. dan diperkemas kini oleh ulama' al a'milin al mujahidin yang memimpin ummah .

Satu pencabulan terhadap manhaj perjuangan andai ia dipimpin atau digerakkan oleh individu atau mereka yang bukan sahaja jahil terhadap manhaj perjuangan an nabawi tetapi juga bersikap negatif terhadap amal tarbawi . Lebih malang apabila perjuangan ini dipacu berlandaskan teori politik untuk mencapai matlamat tanpa berteraskan akhlak Islami .

Demi memburu kemenangan dalam pilihanraya sebagai contoh , walaupun tiada siapa menafikan kemenangan itu penting namun sekali - kali kita tidak boleh meminggirkan akhlak Islami dalam percaturan politik .

Tentu sahaja perjuangan Islam tidak sama dengan gerakan nasionalis atau lainya yang tidak memiliki kamus dosa dan pahala dalam teori politik mahupun perjuangan mereka . Justeru itu kita jangan terjebak atau terpedaya dengan cara dan gaya mereka berpolitik .

Politik Islam kaya dengan akhlak , moral dan prinsip yang tidak memungkin ianya di beli apalagi dirasuah lantaran paksinya ialah Iman dan Islam .

Ketulenan manhaj perjuangan jua tidaklah dinilai semata - mata dipentas politik pilihanraya tetapi juga melihat bagaimana kita membuat keputusan jamaah , bagaimana kita memimpin jamaah dan menangani ahli , bagaimana kita beraksi di medan dakwah , bagaimana kita mendepani musuh , bagaimana kita bertahaaluf dan sebagainya .

Pasti sahaja adab dan akhlak berjamaah seperti syura , dengar dan taat , thiqah , istiqamah , wala' , ukhuwwah , ikhlas dan lainnya mewarnai diri , sikap dan aksi kita sebagai seorang pejuang .

Kita adalah Sebuah Gerakan Islam . Ini satu realiti yang mesti direalisasikan terutama kepada mereka yang diamanahkan sebagai pemimpin jamaah walau dimana posisinya . Bahkan apa pun kepentingan yang kita mahu capai dalam strategi berpolitik dan bergerak memimpin perjuangan ini , kita tidak boleh mencairkan nilai atau standard value bagi sebuah gerakan Islam .

Strategi itu benar dan wajar sebagaimana berpolitik itu adalah hak dan amanah perjuangan . Tetapi saya tegaskan sekali lagi , ketulenan manhaj perjuangan mesti dipelihara . Jangan kita abaikan ketulenannya semata - mata mahu melihat strategi kita berjaya dan politik kita menang .

Ingat ! menang tidak bererti benar dan kalah tidak bermakna salah . Justeru itu awas jangan palsukan manhaj perjuangan suci ini .Pemalsuan manhaj perjuangan adalah satu jenayah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...