Tuesday, July 27, 2010

Muhasabah seorang manusia

Manusia itu lumrahnya akan jemu dengan setiap apa pun. Segalanya tidak akan cukup buat seorang manusia. Jika diberinya emas sebanyak gunung, nescaya ia akan meminta lagi emas sebanyak itu. Jika memiliki 1 juta ringgit, terus difikirkan bagaimana 1 juta itu dapat digandakan ke 10 juta, 20 juta, 1 billion...

Itulah manusia, aku dan kamu yang merupakan makhluk ciptaan tuhan yang terbaik. Huruf-huruf "nun", "sin" dan "ya" yang membentuk kata akar perkataan insan dalam bahasa arab juga membawa maksud lupa. Maka bolehlah dihubungkaitkan antara jemu dan lupa ini seperti berikut...

Manusia yang diberi nikmat, selalunya lupa asal keadaaannya. Yang sebelum diberi nikmat itu berada dalam kekurangan. Kemudian nikmat dikurniakan. Dia gembira. Dia hanyut dalam kegembiraannya, sampai dia lupa keadaan sebelumnya. Lalu, bila sudah lanjut beberapa masa, dia mulai jemu. Lantas nafsunya meminta lagi diberi nikmat.

Allahu Allah...

Namun begitu, buat orang yang diberi petunjuk oleh Allah, dia tahu, bahawa hidup yang sebenar, kenikmatan yang sebenar itu bukan di atas muka bumi. Kerana bumi ini tidak lain dan tidak bukan hanya main-main dan senda gurau. Nikmat di bumi ini sifatnya menipu, kerana walau betapa indah dan bagus kenikmatan yang dirasakan, sifatnya sementara, fana dan tidak berkekalan. Lama-kelamaan, nikmat yang dirasakan hebat pada asalnya akan dirasakan hambar lagi bosan. Hai dunia, sungguh kutertipu sering dek perhiasanmu.

Justeru, selaku orang yang beriman, percaya kita adalah pada hakikat yang bumi ini sementara. Segala isinya sementara. Segala nikmat dan azab di dalamnya sementara. Yang kekal nanti, di akhirat. Yang mana pintu masuknya adalah mati. Buat insan yang tertipu, mati itu jauh, berpuluh tahun jaraknya daripada umurnya sekarang. Tapi buat insan yang sedar, menggunakan hati untuk memahami, ayat-ayat dan janji tuhan, mati itu malah teramat dekat, sekadar satu nafas, sekadar satu degup jantung sahaja jaraknya dengan kehidupan.

Allahu Allah...

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. KECUALI orang-orang yang berimanu dan beramal soleh, yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Allahu Allah, Ya Rahman, ya Rahim..

Hambamu lupa. Seringkali lupa... bahawa dirinya adalah hamba kepada-Mu. Tapi yang dia ingat, dia tuan kepada dirinya sendiri. Astaghfirullah. Ya Tuhanku, aku berlindung dengan-Mu daripada apa yang aku sekutukan dengan-Mu dalam perkara-perkara yang kuketahui, dan aku juga berlindung dengan-Mu daripada apa yang aku sekutukan dengan-Mu daripada apa yang tak kuketahui.

Tuhanku, hakikat kehidupan ini sudah berulang kali diberitahu kepada hamba-Mu yang hina ini. Bahawa ianya sementara. Dan mati itu pasti bagi tiap-tiap yang hidup. Tapi, amalan hamba-Mu, bagai tak pernah mendengar ayat-ayat-Mu. astaghfirullah.

Ya Tuhanku, maka aku mohon, kurniakanlah aku hidayat mu dan cahaya mu, yang akan membimbingku, sampai daku memasuki taman firdaus Mu, untuk bersama kekasih-kekasihmu, dan supaya dapatlah kiranya si hamba ini berhadapan dengan penciptanya, dan melihat wajah penciptanya. Yang sepatutnya ku harapkan oh tuhanku, adalah redha Mu, yang telah Kau berikan pada sebilangan makhluk Mu yang sebelum daripada ku.

Allahu Allah. Allahu Allah. Segala puji milik Engkau. Dan selawat serta salam ke atas kekasihmu, junjungan besar, Nabi Muhammad Sallallahu alaihi solatu wassalam. Rahmatilah daku, dan ummah ini, Ya Rabbi, Ya Rabbal Alamiin.

Terimalah permohonanku, Ya sami'ul basir, Ya Wahhabul Kareeem.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...