Monday, March 14, 2011

Respon Pengunjung Februari (Bahagian II)

Respon kali ini merupakan sambungan dari Respon Pengunjung Februari (Bahagian I) yang telah saya hantar awal pagi tadi. Berikut merupakan dua lagi komen yang memerlukan sedikit penjelasan.

KOMEN 3

habis tu.. bila yg kita boleh kata rakyat dah nak hukum Islam tu?????
bersedia
bila semua rakyat jadi tokguru dan takbuat dosa??? kalau ikut engkau....sampai kiamat pun tak akan tertegak hukum Allah.

Kita boleh kata rakyat sudah bersedia untuk menerima perlaksanaan hukum Islam apabila ummat Islam sendiri memberi sokongan padu kepada perlaksanaan sistem perundangan Islam. Sekarang ini kita melihat bahawa majoriti ummat Islam masih menyokong UMNO/BN oleh kerana mereka dikelirukan media UMNO berhubung Islam selama ini. Oleh itu, proses penerangan dan pendidikan perlu dilakukan memanfaatkan kedudukan berkuasa yang ada sekarang. Inilah yang dikatakan proses dakwah, kepada yang Muslim dan yang bukan Muslim, kedua-dua kelompok ini menjadi mangsa proses kekeliruan UMNO/BN berhubung apa itu Islam. Sepanjang proses pendidikan ini, petanda-petanda asas penghayatan Islam seperti kehadiran di masjid dan surau untuk solat waktu, kuliyyah dan sebagainya adalah bukti akan keberkesanannya. Perbincangan ilmiah berhubung sistem Islam perlu dilakukan secara terbuka dan melibatkan semua, khususnya ummat Islam. Akhirnya, keputusan pilihan raya adalah ukuran terbaik.

Saya yakin melalui proses ini masyarakat Muslim akan menerima perlaksanaan Islam dan yang bukan Muslim pula tidak akan membantah kerana ianya adalah kehendak masyarakat Muslim itu sendiri. Tidak, kita tidak perlu tunggu hari qiamat insyaAllah.

Memang ada yang menganggap bahawa perlaksanaan sistem Islam tidak akan dipersetujui oleh manusia dan ianya mesti dipaksa ke atas masyarakat tanpa persetujuannya. Ini sebenarnya satu tanggapan yang meleset, lebih-lebih lagi sekiranya kita sendiri seorang Muslim. Sebagai seorang Muslim, kita yakin Islam adalah agama fitrah manusia dan sekiranya diberi penerangan dan penjelasan, masyarakat akan menerimanya dengan rela, lebih-lebih lagi masyarakat Muslim. Lagipun, kaedah memaksa sistem Islam ke atas masyarakat yang tidak rela menerimanya tidak mempunyai dalil dan hujjah dari seerah Rasulullah (SAW). Ianya merupakan kaedah yang berasaskan dalil dan hujjah dari golongan ahli sejarah Barat yang memusuhi Islam yang selama ini menyatakan bahawa Islam adalah agama yang disebar melalui pedang.

Mungkin akan ada yang mengatakan bahawa rakyat mula tidak menyokong PAS kerana PAS tidak melaksanakan hukum Islam. Adakah itu sebabnya mengapa mereka ‘kembali’ menyokong UMNO, iaitu kerana mereka menganggap UMNO melaksanakan Islam? Sudah pasti hujjah sebegini tidak masuk akal lebih-lebih lagi apabila jelas kepada semua bahawa UMNO adalah parti rasuah dan perkauman.

KOMEN 4
Jika masyarakat Mesir (dimana 90% adalah orang Islam) masih tidak memahami Islam dan konsep pemerintahan Islam dan perlu suatu proses menjalankan program-program penerangan melalui percakapan, tulisan dan juga amalan, sehingga masyarakat memahami Islam dan konsep pemerintahan Islam, situasi di Malaysia (dimana lebih 40% adalah orang bukan Islam, jika kebenaran diutarakan) nampaknya begitu sukar, hampir mustahil, untuk mewujudkan suatu masyarakat Islam dan jika ianya menjadi realiti (& itu mustahil), ia akan mengambil berpuluh2 tahun atau beberapa abad.

Hakikatnya, YB, di dalam sejarah tidak ada bangsa (nation) manapun yg telah menerima dengan rela hati pemerintahan oleh sebuah agama yg asing daripada agama sedia ada, bahkan bangsa itu bertukar agama. Di Malaysia keterangan menunjukkan bahawa orang bukan Islam tidak sama sekali berminat masuk islam dan ini begitu ketara. Dalam keadaan tersebut memang mustahil mereka akan, pada bila2 masapun, memerima pemerintahan Islam secara sukarela.

Justera (walaupun mungkin boleh jadi masyarakat Islam Mesir dapat menerima pemerintahan Islam pada suatu waktu kelak, masyarakat bukan Islam di Malaysia tidak akan sekali2pun menerimanya dengan sukarela) perjuangan asal PAS untuk menubuhkan negara Islam sepatutnya diubahkan. Dan saya sebagai penyokong PAS, memandangkan kelakuan mereka dimana2 tempat PAS memegang kuasa atau mampu mempengaruhi tatacara penentuan, suka mendorong PAS untuk memegang sebagai tujuan utama dan muktamad penyerapan unsur2 keadilan Islam kedalam pentadbiran di Malaysia.

Sambil lalu, YB, saya amat tertarik dengan ayat terakhir wacana di atas, yakni “wawasan politik Islam yang diperjuangkan membawa mesej keadilan untuk semua dan bukan mesej penindasan satu kelompok manusia ke atas kelompok yang lain.” Semoga wawasan tersebut menjadi realiti di Malaysia.

Salam,
LJ

Saudara LJ,
Pertama, kita berkewajipan berusaha menyampaikan risalah Islam dan juga menghayatinya. Samada mustahil atau sebaliknya masyarakat menerima Islam, itu merupakan urusan Allah. Yang penting, jangan ada yang lari dari Islam disebabkan perangai kita yang bercanggah dengan Islam.

Saya faham bahawa berdasarkan apa yang dilihat sekarang, kemungkinan kita mencapai matlamat kita kelihatan amat sukar. Yang sangsi terhadap seruan kita bukan sekadar orang bukan Islam, tetapi lebih dansyat lagi, orang Islam sendiri. Dan ini merupakan satu keadaan yang perlu kita betulkan bersama dan ianya mempunyai hubung-kait di antara satu sama lain. Sekiranya ummat Islam menzahirkan keyakinan terhadap agama Islam dengan menghayatinya, sudah pasti yang bukan Islam juga akan terpegun. Apabila orang Islam tidak menerima rasuah, tidak berjudi, tidak minum arak dan sebagainya dan ianya atas dasar keyakinan dan bukan paksaan, sudah pasti orang bukan Islam akan kagum melihat bagaimana disiplinnya ummat Islam. Apabila orang Islam menjadi yang pertama menentang kezaliman dan menuntut keadilan atas sebab keTaqwaan mereka, walaupun yang ditentang itu saudara-mara dan bangsa mereka sendiri, sudah pasti orang bukan Islam akan menyedari ada sesuatu keistimewaan pada agama Islam ini. Dalam suasana begitu, tidak mustahil, kalau tidak memeluk agama Islam sekalipun, orang bukan Islam akan merasa lebih selamat dibawah pemerintahan Islam.

Namun, apa yang dicadangkan saudara tidak merupakan sesuatu yang ‘mutually exclusive’atau, kalau terima satu maka kena tolak yang satu lagi. Dalam erti kata yang lain, persoalan menerapkan unsure-unsur keadilan Islam dalam pemerintahan sememangnya perlu dilakukan sambil kita berusaha untuk meyakinkan rakyat, Muslim dan bukan Muslim, bahawa pemerintahan Islam adalah pilihan terbaik.

Sebenarnya ada beberapa peristiwa di dalam sejarah pemerintahan Islam di mana rakyat bukan Islam menyokong pemerintahan Islam lebih dari pemerintahan kaum seagama dengan mereka. Sebagai contoh, peristiwa semasa sahabat Rasulullah (SAW), Abu Ubaidah Al-Jarrah mengembalikan Jizyah yang dikutip dari orang Nasrani di Syams apabila tentera Islam terpaksa beredar dari kawasan mereka atas sebab ‘strategic withdrawal’ untuk berhadapan dengan tentera Rome. Ini bermakna bahawa ummat Islam tidak dapat memenuhi tanggung-jawab mentadbir dan melindungi kawasan tersebut kerana akan beredar keluar dan tentera Rome yang seagama akan menguasai kembali. Tindakan Abu Ubaidah telah memeranjatkan penduduk Nasrani di situ oleh kerana sikap pertanggung-jawaban yang ditunjukkan. Di atas sebab itu, mereka menyatakan harapan mereka supaya tentera Islam akan kembali selepas mencapai kemenangan.

Oleh yang demikian, akhirnya apa yang dipentingkan oleh manusia adalah keadilan yang dilaksanakan. Sekiranya pemimpin Islam adil, maka dia akan lebih diterima dari pemimpin yang walaupun seagama tetapi bersikap zalim. Sebenarnya inilah mesej yang terkandung di dalam risalah para Rasul2 Allah di mana menegakkan keadilan adalah matlamat terpenting.
“Dan telah Kami utuskan Rasul2 Kami dengan bukti2 yang jelas dan Kami turunkan bersama mereka Al-Kitab dan Al-Mizan (Neraca keadilan) supaya manusia boleh menegakkan keadilan..”
(Surah Al-Hadid Ayat 25)
Namun menurut Islam, untuk mampu menegakkan keadilan, manusia mesti mempunyai Aqeedah dan Akhlak yang berpaksikan keTaqwaan kepada Allah. Dan di sinilah terserlah kesyumulan Islam di mana bukan sekadar sistem dan peraturan dikemukakan tetapi jua Aqeedah dan Akhlak.

WaLlahu 'Alam 
KHALID SAMAD 
Jazan, Saudi Arabia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...