Thursday, May 5, 2011

Pesanan-pesanan daripada 1511H [Kombat] (1)


Hamba pacal yang hina ini memulakan dengan memuji dan memuja sebaik-baik pujian hanya pada yang benar-benar layak mendapat segala pujian yang baik, allahu akbar azza wa jalla dan selawat ke atas nabi penutup segala nabi, muhammad saw dan semoga sahabat baginda, tabi’i, tabi’in, mujahidin dan umat islam khasnya, umat manusia amnya, semoga sentiasa di redhai oleh allah.

Sesungguhnya, berbuatlah sesuatu hendaklah diniatkan kerana allah, kerana allah telah berfirman { aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu. } (az-zariyat : 56 ).
Maka, hamba dengan akal kurniaan allah yang maha mulia, benak yang melengkapi seorang
 insan yang lemah lagi alpa telah terfikir satu ilham. Niat hamba cuma satu iaitu mencari di mana redha allah yang maha tinggi itu.
Bacalah tulisan hamba dengan penuh cermat, nilainya dengan akal yang tenang, pertimbangkannya dengan hati yang damai. Ikhtiarkan dengan badan dan pohonlah doa daripada yang layak di pohon doa, allahu akbar.  Kerana, allahlah sebaik-baik penunjuk petunjuk dan sebaik-baik pelindung tempat berlindung.
Tegurlah hamba kiranya langkah hamba ini silap di langkah. Janganlah pula di tegur kerana hendak di simbah minyak, api di dada. Iri dan hasad janganlah di belai. Istiqamah dan tawakkal hendaklah di bela.

Sesungguhnya allah itu maha agung, maha melihat, maha mendengar, maha mengetahui, dia mengetahui apa yang di hadapan dan di belakang kita. Apa yang ada di bumi, di langit dan di antara kedua-duanya. Dengan namaNya yang agung lagi tinggi, hamba tuliskan tujuan madah ini di tulis.

Dunia semakin uzur. Bumi semakin tua. Matahari semakin lanjut. Sekiranya adam dan hawa masih bernafas di fana, bagaimana agaknya bongkok mereka. Bergenerasi telah berlalu. Dinasti demi dinasti. Keturunan demi keturunan. Sang suria cuma menunggu masa untuk terbit dari barat. Semesta hampir lelap. Begitu juga isinya. Segalanya sudah berubah. Manusia sudah tidak tahu apakah peranan sebenar manusia dicipta. Sama ada tidak tahu atau berpura-pura tidak tahu.

Orang tua tidak lagi memberi amaran. Orang muda tidak lagi menghirau amaran. Yang dewasa, jalannya bengkang, yang remaja jalannya bengkok. Si teruna tidak kenal erti jihad. Si dara tidak tahu erti serikandi. Gelaran lelaki sejati hanya terdapat dalam filem dan buku. Istilah perawan hanya tinggal istilah.

 Betapa manusia telah berubah. Dari ibubapa yang sama, kini beranak-pinak telah porak peranda. Ilmu dan ulama’ entah di mana kedudukannya. Mata hanya memandang wang dan darjat semata. Lihatlah betapa lemah dan alpanya kaum manusia ini. Sesat dan kabur tanpa petunjuk. Betapa lupanya kaum manusia bahawa muafakat itu berkat manakala selisih itu cenuram. Musyawarahlah di bawah kasih sayangNya.

Selagi ada insan yang ikhlas mengucap “la ilaha illallah”, insya’ allah, cakerawala tetap akan berkembang, terus setia menanti keputusan untuknya dari yang maha esa. Insan-insan inilah, hamba niatkan dengan izin dan nurNya, ingin satukan hatinya. Ingin hamba bersama-sama pautkan pada tali akidah yang bertaut teguh di bawah  naungan kasih sayangNya. Di bawah lembayung rahmat dan inayahNya. Jiwa-jiwa ini, hamba harap agar bersatu. Mengejar redha allah bersama-sama. Berpegang erat bersama-sama menuju kampung halaman yang lebih kekal. Bersama-sama dalam beribadah. Memerangi musuh zahir dan batin. Tidak gentar untuk keluar memperjuangkan kalimah allah di muka bumi. Bersama-sama jiwa dan raga. Bersama-sama tika hidup hingga setelah hidup. Bersama-sama utuhkan kasih sayang antara semua. Kasih sayang dengan allah. Dan, bersama-sama mencapai tingkat taqwa yang tertinggi di sisiNya.

Membina generasi islam akan datang dengan membawa kegemilangan generasi islam masa lalu. Membina dunia yang lebih baik dan bersih. Tempat yang bukan dengki, iri atau hasad yang bermaharajalela, namun adil, saksama dan bijaksana yang mengambil peranan. Sekiranya kita hendak membersihkan sesuatu, cucilah dengan air yang bersih, bukan dengan lumpur. Begitu juga dunia ini. Binalah ia menjadi tempat di mana hati insan-insan di dalamnya berniat melakukan sesuatu mengikut panduan yang ulung dan unggul, alquran dan assunnah. Matlamat yang hendak dicapai cuma satu. Redha allah. Berjuanglah demi agamaNya.

Mematuhi rukun iman dan rukun islam. Tidak kurang, biarkan lebih. Tapi, jangan pula singgah pada amalan khurafat. Sesungguhnya hanya yang ikhlas sahaja tiba di hadapanNya. Berpegang teguh pada alquran dan assunnah. Rasulullah berpesan, umatnya tidak akan sesat selagi dia berpegang erat pada dua sumber ini.

            Sesungguhnya, tiada yang sempurna di dunia ini kecuali allah. Hanya Dia yang maha sempurna. Manusia dicipta sejak azali lagi sememangnya lemah. Memang lumrah manusia alpa. Maka, kiranya timbul perselisihan faham atau persengketaan, ambillah jalan musyawarah. Janganlah goyah ikatan persaudaraan dengan mana-mana persengketaan antara semua pihak. Ia akan sentiasa berlaku kerana manusia tidak sempurna. Biarlah persengketaan lalu, sekarang mahupun akan datang bertukar menjadi persahabatan dan persaudaraan.

Dengan terikatnya tali persaudaraan seagama dan sejihad, maka jalanilah hidup dengan mengambil islam sebagai agama yang selalu di amalkan 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 4 minggi sebulan, 12 bulan setahun dan bertahun-tahun seumur hidup. Beribadah dan berjihad dengan ikhlas. Dan, ajaklah orang ramai untuk turut serta. Memasuki syurga beramai-ramai. Oleh itu, carilah ilmu. Pentingnya ilmu di zaman kurangnya ilmu yang bermanfaat ini, maka timbalah ilmu hingga ke liang lahad. Dengan ilmu, barulah amar ma’ruf nahi munkar dapat di laksanakan.

Tulisan seterusnya hamba petik daripada sebuah buku, kerana ia mempunyai maksud yang sama dengan maksud hamba. Lagipun, hamba tidak pandai mengolah kata-kata.

Di petik daripada buku 1511 H ( kombat ), tulisan faisal tehrani.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...