Tuesday, April 26, 2011

Penantian nafas panjang

Bismillahirrahmanirraheem,

Manusia itu sediakala mempunyai fitrah yang telah ditentukan dek Allah SWT. Fitrah manusia itu banyak sekali seperti keperluan untuk makan, berkumuh, bersosial, berpasangan dan yang paling penting, BERTUHAN.


Alhamdulillah, buat masa ini, kita dikurniakan dengan dua kemuliaan iaitu IMAN dan ISLAM. Namun tiada siapa boleh menjamin kekalnya dua nikmat ini di dalam diri kita, melainkan Allah SWT. Namun, dalam tulisanku kali ini, aku mahu menyentuh sedikit berkenaan tuntutan fitrah yang kini sedang melanda diriku dan rakan-rakan sebaya dengan ku iaitu tuntutan BERPASANGAN.

Antara dalil yang biasa kita dengar berkaitan tuntutan fitrah ini termasuklah:

"Dan di antara tanda kekuasaan Allah ialah Allah menciptakan isteri-isteri bagi kamu dan dari jenis kamu sendiri, agar kamu dapat hidup tenang bersama mereka. Kemudian Allah menciptakan kasih sayang di antara kamu."

"Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kami dan mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami)."

“Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam

pemilihanmu itu) wanita yang beragama, nescaya sejahtera hidupmu”

"Seseorang lelaki itu tidak akan mendapat apa-apa kebaikan selepas bertakwa kepada Allah selain daripada isteri yang salihah; jika disuruh oleh suami ia taat, jika suami melihat kepadanya ia menyenangkan; jika dicumbuinya ia dapat membuktikan kesucian dirinya dan jika ditinggalkan pergi oleh suaminya ia akan menjaga diri dan harta suaminya."


Dalam nak mengulas perkara ini, kita semua perlu sedar bahawa sebarang tuntutan fitrah, tidak akan dapat lari daripada tuntutan fitrah paling utama iaitu tuntutan BERTUHAN. Dengan erti kata lain, sebagai seorang MUSLIM, kita semua wajib beri’tiqad bahawa ISLAM itu adalah AD DEEN yang merangkumi semua perkara termasuklah tuntutan berpasangan.

Sifirnya mudah, untuk melunaskan tuntutan berpasangan, manusia disyariatkan BERNIKAH. Tatkala sudah mampu dan mencukupi syarat, inilah penyelesaian yang TERBAIK. Tapi jika masih belum cukup syaratnya, Rasulullah SAW menganjurkan pengawalan diri dengan BERPUASA. 

Cuma seorang guruku pernah berseloroh kepada kami. Katanya," Kamu berpuasa bermula terbit fajar hingga terbenamnya matahari. Selepas itu? Kamu nak buat apa?"

Di benakku timbul rasa setuju dengan pernyataannya.... 

PERASAAN DI HATI

Hati gundah gulana. Persaan membuak-buak, mahu berumahtangga. Calonnya mungkin si dia? Lunas-lunas ketentuan nabi dijadikan ukuran.

Keturunannya baik.
Hartanya sederhana.
Kecantiknya menyejukkan mata.
Dan yang paling penting, agamanya sudah ku-redha.

Malah ditambah lagi dengan ciri-ciri lain yang menambahkan lagi keyakinan bahawa mungkinkah si dia itu, SOULMATE yang ditunggu-tunggu, yang sudah ditentukan ALLAH semenjak di alam RUH lagi. Wallahua’lam bissowaab. Hanya ALLAH-lah sebaik-baik perancang. Dia MAHA MENGETAHUI, lagi MAHA BIJAKSANA.


************
Hahaha, seronok melayan perasaan. Tapi penantiannya teramatlah menyeksakan. Ditambah dengan seorang demi seorang kenalan yang melangkah ke gerbang pernikahan. Meninggalkan kami si bujang berbual-bual soal kahwin hampir setiap kali bersua. Yang terus memarakkan rasa bergelora di dalam dada. Namun, perlulah aku berpijak di bumi nyata:

Bahawa aku seorang pelajar yang masih dalam pengajian
Dan kesediaan si dia yang masih lagi aku tunggu 
Serta diriku sendiri yang masih banyak kelemahan dan kekhilafan yang perlu diperbaiki

Maka paling kurang DUA tahun lagi sebelum aku tamat pengajian. Cuma takkan mahu begini sepanjang masa. PASTINYA harus kita sedari bahawa SYAITAN itu senantiasa mengintai peluang menyesatkan manusia. SI MUSUH opportunis yang berlegar di sebalik setiap KEJAYAAN dan KEGAGALAN kita. Ternanti-nanti untuk memasukkan jarum yang menusuk hati yang LEKA. Supaya bersamanya di dalam NERAKA. 


"A'UDZU BI KALIMATILLAHITTAAAAMMAATI MIN SYARRIMA KHALAQ"

Jalan Keluar

Dalam mencari penyelesaian kepada permasalahan ini, mahu tidak mahu perlulah kita kembali kepada ALLAH. Dialah yang menciptakan manusia mempunyai fitrah-fitrah yang aku sebutkan di atas. Dan dia juga telah menyediakan AGAMA yang sempurna, yang pastinya mempunyai JALAN KELUAR kepada setiap permasalahan manusia. 


Di sini aku ingin membentangkan beberapa persoalan dan bagaimana harus kita menanganinya: 

Hati yang terus berangan-angan mahu berumah tangga: 
Hai kawan, perkahwinan itu belum pasti!! Tapi ada sesuatu yang telah DIJANJI. Itulah MATI!! Tiada diawalkan sedetik dan tiadalah dilambatkannya. Bila ketentuan ILAHI sudah sampai, akan diambllah nyawa makhluk itu sekalipun dia belum bersedia. 

Jadi insaflah. Buat apa terus menerus berfikir dan berbual mengenai benda yang kecil dan belum pasti. Sedangkan MATI dan AKHIRAT itu jauh lebih menggerunkan dan memberatkan. Sangatlah rugi dan bodoh kita ini kalau jarang memikirkan fasal MATI. Kerana sabda Rasulullah bahawa orang yang paling bijak di kalangan kita adalah seorang yang senantiasa mengingati mati. 

Bila orang berbual fasal kahwin, tak mengapa kita bersama. Cuma jangan!! Jangan sesekali lupa... bahawa MATI itu boleh terjadi BILA BILA MASA. Dan mati itu memutuskan kita dengan DUNIA. Janganlah nanti di alam barzakh, tatkala seorang diri di liang lahad, menyesal tak sudah dengan kekhilafan-kekhilafan yang pembaziran yang dilakukan dalam KEHIDUPAN. 

Bagaimana kalau aku tak dapat SI DIA?:
Mungkin mudah orang mengatakan, "Bunga bukan sekuntum". Cuma lumrah manusia pabila sudah FIXkan matlamat dan kecintaan pada sesuatu, sukar untuk merubahnya dengan kadar yang segera. Ini juga satu fitrah. SUKAR BERUBAH BILA SUDAH SELESA. 

Maka perlulah diyakini rukun iman yang KEENAM. Bahawa nasib kita di dunia sudah DIQADARKAN (ditentukan) oleh ALLAH. Tinggal QADHA-nya (pelaksanaanya) sahaja yang masih belum berlangsung. Cuma rahsia ini membuka peluang seluas-luasnya untuk manusia berusaha. Kerana kita takkan pernah tahu apa qadar ke atas diri kita. 

Penyelesaiannya dalam kata yang paling mudah - berUSAHA DAN berTAWAKKALlah. Serta hendaklah redha dengan ketentuannya, sekalipun ia tidak sehaluan dengan kehendak kita. Allahu Allah.

Bertahun lagi mahu berumah tangga?:
Jagalah amalan seharian. Anggaplah ini masa yang diberikan oleh ALLAH untuk membolehkan kamu bersedia dengan sebaiknya sebelum melangkah ke gerbang rumah tangga. Cuba fikirkan semula persoalanku:

- Cukupkah penguasaan ilmu kamu dalam urusan fiqh wanita, fiqh rumahtangga dan ilmu tarbiyyatul awlaad sebelum kamu diamanahkan dengan isteri dan anak-anak dalam kehidupanmu?

-Cukupkah penguasaan kamu terhadap Al Quran dan berapa banyak ayat yang telah kamu hafaz dan kamu amalkan dalam kehidupanmu?

-Cukupkah ilmu kamu menangani manusia sebelum perselisihan dalam rumahtangga yang pasti berlaku antara suami isteri? Sebelum kerenah anak-anak menjadikan dirimu hilang pendirian?

-Adakah kamu sudah melaksanakan tanggungjawab kamu terhadap keluarga kamu sekarang sebelum kamu mempunyai keluargamu sendiri? 

-Adakah kamu sudah menyuburkan ISLAM dalam kalangan adik beradik dan kedua orang TUAmu? 

********
Realitinya masih banyak perkara yang sepatutnya difikirkan di sebalik melayan perasaan mahu bernikah. 

- Usaha dakwahmu untuk menegakkan Islam masih banyak yang belum selesai
- Pengajianmu dalam bidang perubatan masih banyak yang belum selesai
- Amanah yang dikurniakanmu terhadap manusia masih terlalu banyak yang masih belum selesai
- Tuntutan mencari ilmu selain perubatan, khasnya ilmu berkaitan ISLAM yang masih belum selesai
-Tuntutan memperbaiki akhlaqmu selaku seorang muslim, yang masih terlalu jauh daripada yang telah diajarkan oleh Rasulullah
-Hubunganmu dengan ALLAH? Bersediakah kamu untuk menemuinya sekarang? Kerana jemputan itu akan datang entah bila.

Penantian kahwin mungkin mengisi benak jiwa. Tapi bangkitlah dari angan-anganmu kerana hidup kamu sekarang masih ada. Jangan sia-siakannya. 

Wallahua'lam bissowaab.

"Rabbana hab lana min azwajina wa dhuriyyatina qurrata A'yunin waj'alna lil-muttaqina imama."
"Our Lord! grant us in our mates and offspring the joy of our eyes and make us patterns for those who guard against evil." (25:74)


 





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...