Kisah nabi Allah Ibrahim ‘alaihissalam ketika berdakwah kepada orang tuanya merupakan sebuah sajian yang cukup menarik dan menawan bagi tatapan kita wahai du’at di jalan Allah. Kisah ini tercantum di dalam Al-Quran yang telah menceritakan tentang uslub (cara) yang baik dan menarik di dalam surah Maryam bermula ayat 41 hingga 50.
Lapan Kaedah Dakwah Nabi Ibrahim A.S Ketika Berdakwah Kepada Orang Tuanya:
i) Melaksanakannya dengan lemah lembut dan mengelak dari diri seperti mengajar mereka.
Allah SWT berfirman : “Ingatlah ketika ia (Ibrahim) berkata kepada bapanya: “Wahai bapaku…” (Maryam:42). Kalimah “Ya abaati…” (Wahai bapaku) dalam bahasa Arab digunakan lilmulthafah (panggilan yang menunjukkan rasa sayang dan manja). InsyaAllah jika hati orang tua kita masih terbuka untuk kebenaran, panggilan yang tampak sederhana ini mampu melembutkan jiwa mereka.
ii) Memiliki hujah yang kuat dan dapat mematahkan hujahnya.
Sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S ketika melarang orang tuanya menyembah berhala dengan berkata: “Wahai ayahku mengapa engkau menyembah sesuatu yang tidak dapat mendengar dan tidak dapat melihat serta tidak dapat memberimu manfaat sedikit pun?” (Maryam:42)
iii) Sentiasa berusaha menambah dan meningkatkan ilmu pengetahuan serta mampu menonjolkan ilmiahnya dakwah yang dibawa.
Kata khalilullah kepada orang tuanya lagi : “Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu, maka ikutilah aku, nescaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus.” (Maryam : 43). Seseorang da’ie mestilah melazimkan diri dengan aktif membaca, mengikuti kelas-kelas pengajian, mengikuti kajian-kajian ilmiah, akrab dengan Al-Qur’an dan hadith agar ia menjadi bekalan yang cukup ampuh ketika mengeluarkan hujah.
iv) Mampu menjelaskan jalan-jalan kesesatan yang diwar-warkan syaitan dan para tenteranya.
Adalah penting untuk du’at memiliki kemampuan menjelaskan kepada orang tuanya tentang tokoh-tokoh syaitan yang berupa jin dan manusia, malah mampu menerangkan cara mereka menyebarkan kesesatan serta apakah sarana yang digunakan untuk menyesatkan. “Wahai ayahku, janganlah kamu menyembah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu derhaka kepada Allah Yang Maha Pemurah.” Maryam : 44)
v) Memiliki jiwa dan ruhiyah yang tinggi.
Mampu mengingatkan orang tua dengan azab Tuhan yang akan menimpa sama ada di dunia atau di akhirat bagi orang-orang yang terus menerus menjauhi agama Allah. Seperti mana kata Nabi Ibrahim “Wahai ayahku, sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan ditimpa azab dari Allah Yang Maha Pemurah maka kamu akan menjadi kawan bagi syaitan.” (Maryam : 45)
vi) Memiliki kesediaan yang tinggi menghadapi risiko dakwah.
Sentiasa bersedia untuk menanggung risiko berdakwah seperti dipulau, diusir dan mungkin diseksa dengan kekerasan “ Berkata ayahnya: “Bencikah kamu kepada tuhan-tuhanku wahai Ibrahim? Jika kamu tidak berhenti nescaya kamu akan kurejam dan tinggalkanlah aku dalam waktu yang lama.” (Maryam : 46)
vii) Menjaga hubungan baik dengan orang tua, walaupun mereka menjadi penentang dakwah.
“Ibrahim berkata: “Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu, aku akan memintakan ampunan bagimu kepada Rabbku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku.” (Maryam : 47)
viii) Mesti mempunyai keteguhan diri dalam menghadapi ujian dakwah dari orang tua.
Seseorang pendakwah mestilah mempunyai keteguhan diri ketika menghadapi ujian dakwah dari orang tuanya, jangan sekali-kali cepat mengalah dengan rayuan dan pujukan orang tua mereka sepertimana sikap Nabi Ibrahim ketika baginda bersabda: “Dan aku akan menjauhkan diri darimu dan dari apa yang kamu seru selain Allah, dan aku akan berdoa kepada Rabbku, mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdoa pada Rabbku.” (Maryam : 48)
Wallahu’alam.
Artikel dipetik dari Mihwar bil 8 tahun 2001.
No comments:
Post a Comment