Tuesday, June 21, 2011

Ustaz Haron Din's Interview

“Negara Berkebajikan: Pas tidak melencung dari dasar”
SIASAH: Secara umumnya macam mana Datuk melihat kepada barisan kepimpinan Pas yang baru dipilih dalam muktamar lalu. Semacam ada pemecahan tradisi di mana golongan ulama di kesampingkan?
DATUK Dr HARON DIN: Setiap kali berlakunya perubahan dalam herarki pimpinan parti maka setiap itulah ada struktur yang berbagai-bagai. Di antaran olahan terkini seolah-olah ahli-ahli Pas telah mengkesampingkan ulama. Mungkin dari segi bahasa itu bertepatan hasil pemilihan muktamar itu, daripada presiden dan timbalan presiden.. itu betul berlaku daripada bukan golongan ulama. Tetapi satu fakta yang perlu disebut bahawa faktor pecah undi itu jelas. Jika disatukan undi ulama itu menujukan majoriti masih menyokong ulama.
Sama juga dengan pertandingan naib presiden, juga pecah undi di kalangan calon ulama berdua itu berlaku. Tapi jika seorang saja calon, ulama.. masih menang. Tetapi apa pun ini boleh saya katakan faktor sementara. Setiap dua tahun sekali diadakan pemilihan. Bagi kali ini ada kewajaran kita melihatkan perkembangan politik yang telah sampai ke ambang pilihan raya ke-13.
Jadi dengan suasana politik semasa yang kita perlu undi tambah daripada undi bukan Islam, dan itulah yang menjadi satu perkara yang dirasakan boleh mengubahkan keadaan, maka dilihat itu perlu kepada barisan yang pada umumnya orang Islam boleh terima, tak ada masalah, orang bukan Islam boleh terima, berbanding kalau barisan ulama kesemuanya, kita tak ada masalah tetapi takut bukan muslim ada masalah. Sebab itu tawaran ini seperti disebut oleh Presiden kabinet pilihan raya.
Maka itu saya mengatakan soal menyisih ulama tidak berlaku, sebab di dalam Syura Ulama dipegang, dipimpin, didokong oleh 17 orang yang semuanya seratus peratus ulama. Mereka inilah yang menentukan hala tuju parti. Maka selama-lamanya tidak timbul menyampingkan ulama.

Jadi tanggapan mengatakan Pas telah meminggirkan golongan ulama dalam kepimpinan atau parti itu tidak benar?
Amat tidak betul kerana tidak ada usaha dalaman yang kita nampak, mencemuhkan atau mesej tidak mahu ulama yang dihantar. Tetapi kenapa berlaku seperti disebut tadi kerana faktor pecah undi, tidak berpakat, atau ikut nak jadi apa pun maka terjadi demikian. Tetapi kalau itu satu kebaikan kepada Pas, apa salahnya kita terima. Kalau tidak ada kebaikan, kita boleh rombak balik.

Dalam konteks ulama ini bila berlaku pecah undi, adakah Datuk melihat tidak ada konsensus atau syura di kalangan ulama?
Kita telah fikir sebelumnya, dan daripada awal berlaku, saya memantau. Walau ada pada mulanyatrend ke arah pertembungan antara ulama tetapi kita dengar dari awal ada usaha beberapa orang ulama yang dicalonkan telah menyatakan mereka hendak menarik diri. Terutamnya Datuk Seri Azizan Razak, terus tarik diri. Sama juga dengan Yang Berbahagia, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dia menyatakan dua kali akan menarik diri. Pada ketika itu semua orang melihat kalau berlaku pertandingan pun dua penjuru dan tidak sangat mengusarkan. Tetapi bila tiba saat akhir, tiga penjuru itu kita tidak sempat buat apa dan kita serahkan kepada takdir.

Datuk ada menyatakan baru-baru ini, pemilihan ini dalam konteks apa yang Datuk Sri Presiden menyatakan bahawa kepimpinan untuk pilihan raya. Datuk ada mengatakan kombinasi ini satu percubaan yang baik, apakah signifikennya?
Saya melihat daripada realiti politik orang ramai memilih keadaan begitu, ini pada saya merupakan pilihan yang diilhamkan oleh keadaan yang Allah menentukan demikian itu mesti ada kebaikannya. Saya melihat mesti adalah ‘maslahah’. Sebab ini yang dipanggilkan, kalau dalam Islam ia ada perkataan ‘ijmak’. Ijmak itu semua maufakatnya ulama. Nabi menyebut (membaca hadith): “umatku tidak akan beramai-ramai melakukan perkara yang sesat.”
Walaupun tidak tepat sangat dengan apa yang berlaku tetapi ada imbas-imbas, kalau sudah ramai sangat mengatakan itulah pilihan mereka maka saya menambah ada hikmahnya kenapa berlaku demikian.

Berbalik kepada ucapan dasar Datuk Sri Presiden yang mengangkat satu tema baru Membangun Negara Kebajikan, nampaknya tema itu telah menimbulkan kontroversi dengan mengaitkan Pas telah meninggalkan Islam, jadi bagaimana Datuk melihat perkara ini?
Sinilah saya mengatakan apa yang berlaku pelik sedikit. Di mana orang yang sepatutnya merasa sensitif dan mudah sangat terasa ialah orang-orang yang telah mendokong perjuangan Pas ini sejak zaman berzaman. Saya sebagai seorang telah lama kekecimpung dan diamanahkan sebagai Timbalan Musydiul Am, sepanjang kita mengikuti ucapan dasar disampaikan, saya tenguk riak di bawah dan di atas, takut ada riak yang menunjukkan rasa tidak senang. Tetapi di sepanjang ucapan dasar itu disampaikan tidak ada pun mana-mana yang memberi reaksi yang tidak baik, semuanya memberi tumpuh sepenuhnya.
Kedua, bila ini tidak mengubah haluan, kita tenguk perbahasan pastilah orang pertama mengambil bahagian akan sebut yang itu, apakah ini maksudnya presiden hendak bawa Pas keluar dari landasan? Malahan kesemua yang bercakap baik dihari pertama dan hari akhir muktamar, dari semua golongan, tidak separuh suara pun yang membantah, malah menerima sebulat suara. Mana mungkin orang Pas boleh menerima sesuatu yang mereka tidak setuju, hatta dalam muktamar... saya sendiri pun bila ada orang menafsirkan apa yang saya buat tidak betul orang mengkritik saya dalam muktamar. Tok Guru presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) pun dikritik dalam muktamar, Ustaz Nasha (Nasharudin Mat Isa) pun dikritik dalam muktamar.
Contoh dalam mukatamar dulu saya dikritik kerana saya menulis satu kertas kerja untuk dibentang dalam permukiman (retreat) Pas, dalam itu saya sebut; “hendaklah kita berhati-hati dengan musuh terutama musuh yang mungkin berada dalam Pas sendiri.” Jadi dengan bahasa begitu Datuk Husam Musa bangun minta penjelasan, apakah ada musuh di dalam Pas, sila tunjukkan kalau ada. Saya jawab dengan ayat Quran dengan mengatakan, (membaca ayat Quran); “sesungguhnya kata Allah antara pasangan hidup kamu dan anak-anak kamu musuh kepada kamu maka hati-hatilah menghadapi mereka.” Kalau Allah sebut demikian boleh, apakah saya nak ingatkan begitu tidak boleh. Setelah saya jawab demikian semua selesai.
Apa yang hendak dimaksudkan kalau berlaku perubahan itu, bukan perubahan dasar parti. Itu pandangan peribadi. Kalau ini merupakan perubahan dasar parti atau Pas telah keluar daripada garis perjuangan asalnya, mungkin bukan tunjuk perasaan berlaku di muktamar tetapi mungkin akan berlaku kekecuhan yang lebih besar.
Bila semua diterima dengan baik, kita orang dalam amat faham dan amat yakin Negara Berkebajikan tidak ada beza dengan negara Islam atau dengan apa yang hendak kita perjuangkan itu. Keduanya substand, iaini apa yang hendak diisi. Negara Islam memang berkebajikan. Malahan dilihat dalam Quran juga memang disebut negara berkebajikan ini, walaupun tidak disebut negara Islam tetapi isinya negara Islam. Bila tidak disebut bukan pula bermakna tidak boleh dibuat. Bila kita sebut Negara Berkebajikan selaras dengan Quran, kita sebut Negara Berkebajikan tidak ada perubahan dasar dan tidak ada sebarang penyelewengan dan kita puas hati dengan Negara Berkabjikan itu sesuai dalam konteks kita pada hari ini. Peliknya orang dalam tak ada masalah langsung, orang luar yang nampak bergelabah (ketawa).

Jasi tidak benar kalau Pas telah lari dari dasar Islamnya selamanya ini sebab tema itu sendiri menempati dasar parti?
Saya melihat begini, bila musuh politik sama macam kita juga, musuh kita Umno, dalam perjuangan politik kita senantiasa melihat di mana langkah musuh yang sumbang maka di situlah kita mengambil peluang untuk menghentamnya.
Selama ini mereka tiada peluang untuk mengatakan kepada Pas ini...pemimpin ke, perjuangan ke.. memang tidak ada isu besar. Lebih-lebih lagi dekat dengan pilihan raya, melainkan ini mereka tafsirkan sebagai salah langkah. Tetapi salah langkah apa, kami tahu apa yang kami tidak salah langkah. Sebab sebarang perubahan dasar dalam parti kita bukan semudah atau diselesaikan dengan ucapan dasar.
Sebagai contoh, dulu Pas tidak beri muslimat bertanding, bila Pas nak beri muslimat (zaman Khatijah Sidik) bertanding awal tahun 70-an Dewan Ulama bersidang kemudian dibawa dalam muktamar, baru diputuskan. Mislanya soal tahalul siayasi... tahaluls siyasi ini bukan menyentuh dasar tetapi soal strategi dan aktiviti tetapi dibawa ke syura, dibincang, bagi pandangan, buat kertas dan kertas diseminarkan pula.
Begitu juga apabila Pas hendak menerima bukan Islam sebagai ahli, ia dibincang secara menghalusi, sampai diterima atas nama kelab penyokong. Bila semakin ramai penyokong, bolehkah pula ditubuh dewan yang sama dengan taraf dengan dewan-dewan lain dalam Pas. Keputusan itu bukan diputuskan dalam satu muktamar tetapi di bawa ke dalam Majlis Syura. Syura bincangkan dulu. Jadi kalau itu kita buat, dan kalau perubahan dasar ini apakah logik kalau ia berlaku dengan hanya seorang saja yang mengemukakan dalam ucapannya.
Sebab itu perkara bini dibawa ke dalam syura dahulu barulah keluar isu Negara Berkebajikan di dalam muktamar dan selepas iu berlaku hentaman-hentaman dari para juhala-juhala ini (ketawa). Itulah prosesnya bukan sesenang dan semudah itu.

Tetapi diluar masih ada yang tidak faham dengan perjuangan Pas struktur Pas yang dikukuhkan oleh Majlis Syura Ulama dan sebagainya. Apakah Datuk rasakan Pas perlu mengadakan penerangan dalam hal ini?
Betul memang ada orang yang tidak faham. Dan dalam pepatah Arab bermaksud; “manusia ini dia bermusuh dengan apa yang dia tidak tahu. Samalah dia tidak tahu mengenai negara Islam dia jadi musuh. Keduanya, tentang penjelasan dan keterangan lanjut memang perlu. Memang telah dan sedang dibuat dan akan diperhebatkan. Semasa mesyuarat pun kita buat... dan penjelasan akan dibuat beberapa peringkat akan turun ke akar umbi memberi kefahaman kepada orang kita dan kepada masyarakat seluruhnya.
Memang perlu kerana sesuatu yang belum pernah orang berjumpa dalam hidup kita ini, sebuah negara nama Islam atau berkebajikan, atau negara yang memerintah bersendi kepada hukum-hukum Islam kita tidak pernah berjumpa. Sebab itu bila kita hendak laksanakan ini orang yang tidak tahu akan jadi musuh lebih-lebih lagi musuh yang terasa ini suatu langkah yang amat baik, sesuai dengan masa, dan pandai lontar idea pada waktunya dan mungkin mereka rasa akan kecundang.
Kebimbangan itulah maka akhirnya ... menyebabkan mereka rasa sayang dan terkilan dengan negara Islam yang kononnya hendak kita tinggalkan. Kalau sayang sangat ambilah.. (ketawa). Maknanya sama seperti kata orang, musang tidak boleh ambil buah anggur itu kerana semut banyak atau buah masam... begitulah. Akhirnya ia merupakan satu fitnah, merupakan memburukkan musuh yang sepatutnya, cara itu tidak gentlemen. Kalau kita sudah mengatakan kita tak ubah dasar kenapa nak sibuknya, dia pula mengatakan kita ubah dasar. Dasar termaktub dalam perlembagaan..

Datuk, Perdana Menteri, Mohd Najib Razak telah menempelak Negara Berkebajikan yang Pas hendak dilaksanakan. Katanya Pas telah ciplak kebajikan yang dibuat oleh kerajaan BN. Apakah benar dakwaan Najib itu atau pun memang ada perbezaan di antara Negara Berkabjikan yang Pas hendak bangunkan dengan kebajikan yang didakwa telah dibuat oleh BN itu?
(Perlahan dan tegas) Amat amat jauh... bezanya. Apa yang kita nak buat sesuatu kita berterasakan al Quran sebagai dasar. Quran adalah kebaikan sejagat dan kebaikan mutlak. Tidak macam orang yang berpegang kepada rasional dia hanya ikut kepala dia saja. Dia bercakap mengikut hati...kita bila perkenalkan kebajikan kita ambil dari Quran...yang disebut Baldatuntayibah.... ada hujungnya itu, rabbugharafu ... negara yang berkebajikan di bawah Allah yang maha pengampun. Kalau berhenti, negara kebajikan saja,(baldatuntayibah) kita dapatlah yang Jepun dapat, Amerika dapat, Perancis dapat, di mana mereka hanya dapat dunia saja. Di mana betul mereka dapat baldatunyaibah tetapi tidak mendapatrabbugharafu, mereka kufur.
Jadi kita berjuang ini bukan untuk dunia ini saja, kita akan bawa sampai ke akhirat. Kalau maju pun yang Allah taala kutuk buat apa? Kita fokus kepada rabbugharafu, Tuhan yang maha mengampun. Bagaimana Tuhan nak mengampun kalau kita membina negara kita ke arah kemaksiatan...bermaharajala lela, nak ampun macam mana negara yang penuh dengan rasuah. Padahal di dalam hadith sahih, (sambil membaca hadith) bermaksud; yang bagi rasuah, yang menerima rasuah, yang menjadi perantaran melakukan rasuah, semuanya masuk neraka.
Jadi keliling kelalang orang tahu negara kita tenat dengan rasuah...kejujuran yang dikatakan dalam semua hal, misalnya pilihan raya orang tahu berlaku penipuan. Jadi ketidakjujuran di dalam memerintah, malah kroni dan sebagainya, bagaimana kita nak dapat rabbugharafu di dalam hal-hal seperti itu?
Bila kita balik, semua kepada apa yang Pas telah buat..di Kelantan untuk perbandingan.. adakah selama ini... Pas perintah Kelantan sejak 1990, adakah kes-kes immoral sama ada rasuah, kes skandal atau salah guna kuasa, berlaku? Saya tahu orang semua tahu boleh bandinglah dengan apa yang dibuat di Kelantan. Contoh apa disebut di dalam muktamar baru-baru ini, Tok Guru Mursyidul Am, (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dia tidak duduk rumah kerajaan dan duduk rumah sendiri... dia dapat elaun perumahan...dia tidak ambil. Dan saya berkawan dengan dia lama, dia tak sebut pada saya. Isteri MB mana-mana pun ada peruntukan make-up tetapi isterinya tidak ambil. Kita tahu isteri siapa yang paling mahal harga make-upnya.
Elaun keraian kenduri hari raya, dia buat dengan duit dia sendiri, kenduri kahwin anaknya dari duit dia sendiri. Dia tidak ambil dan dia bagi balik kepada rakyat. Saya cadangkan elok kalau interviu dia tanya kenapa dia tidak ambil semua wang itu? Maknanya kita (Pas) tidak rakus dan pemimpin kita tidak mengambil kesempatan.
Kalau itulah orangnya mengapa didedahkan dia dengan rasuah, sedangkan duit yang halal dia tak ambil. Itulah saya kata orang menilai ini semua sebab itu orang suka melabor di Kelantan.
Ini yang orang tidak tahu negara berkebajikan walaupun kita memerintah belum pegang Pusat. Kita pegang negeri saja, inilah benda yang kita sebutkan tadi, bahawa negara berkebajikan itu jauh beza dengan negara lain dan kita akan lakukan sesuatu yang orang tidak nampak itu kebaikan yang balik kepada rakyat. Jadi di sini jelas bezanya apa yang dakwan Najib dengan apa yang hendak Pas buat.
Bila dia berkata begitu, kita sedar untuk dijadikan umpan kepada rakyat, agar berpihak kepada dia. Tetapi yang saya sebutkan tadi bahawa kita ambil Islam sebagai asas perjuangan kita. Hidup kita ini bukan selesai setakat mati saja. Pemerintah adalah pemegang amanah. Ada Hadith sahih (sambil membaca hadith) bermaksud; “mana-mana pemimpin yang memerintah umat Islam dia mati dalam menipu rakyatnya, Allah haramkan dari masuk syurga.”
Menipu rakyat bukan menipu semua rakyat. Contohnya, Nabi kita sebelum dipanggil menghadap Allah, dalam keadaan keuzuran kerana nak ‘musafir’ jauh sempat panggil semua orang yang ada, dan menyebut, sesiapa yang aku aibkan di tengah ramai, datanglah kepada aku ambil hak dia balik dan aibkanlah aku. Dan dia sebutlah apa yang aku buat ini sebagai nak balas balik. Sesiapa yang telah aku pukul belakangnya, ini belakang aku, datanglah pukul balik, ambil balik hak kamu (qisas) balik aku tidak mahu berjumpa dengan Allah aku ada kezaliman yang aku tinggalkan kepada rakyatku.
Satu riwayat menyatakan seorang lelaki, tampil ke hadapan Rasululah s.a.w. berkata dulu Rasulullah tikam perut aku dengan tongkat dalam satu barisan tentera dan saya terasa sakit ketika itu...saya nak qisas, (balas). Sahabat merayu jangan dan dia kata dia nak balas juga. Rasulullah juga melarang jangan itu hak dia. Dia datang dan tongkat itu ada, dia kata tak adil dulu semasa tuan tikam aku baju aku terbuka, sekarang tuan pakai baju dia minta dibuka baju untuk menikamnya. Orang ramai dan sahabat merayu janganlah, tetapi dia kata tidak... aku nak balas juga. Nabi membuka perutnya... lelaki itu datang, bukan menikam tetapi mencampak tongkat ke bumi dan mencium perut Rasulullah sambil berkata, “saya telah memaafkan tuan sejak hari itu lagi sebab saya bersalah. Jadi hari ini adalah peluang saya untuk mengucup perut tuan.”
Jadi roh daripada hadith itu pemimpin Islam (Pas) ini dilatih dan diterbiyah dia takut melakukan kezaliman sampai ke situ sekali.
Umar al Khattab, dalam satu episod...semasa dia hendak tiba di saat akhir hayatnya, dia kata aku tidak bimbang aku bejumpa Allah tentang kezaliman aku kepada mausia kerana aku telah berbuat dan adil kepada kamu sehingga aku tidak adil kepada isteriku. Yang paling aku bimbang, takut ada seekor unta yang berjalan di Bhagdad (Iraq), tersliuh kakinya disebabkan berjalan di jalan yang aku tidak bina dengan baik. Aku bimbang unta itu komplen di depan Allah ia mati kerana kakinya terseliuh kerana berjalan di negeri yang Omar sebagai pemerintahnya.
Itulah negara berkebajikan yang dibanding dengan PM dakwa itu. Itu dia boleh buatlah, tapi adakah dia berani mengatakan yang dia buat Allah redha. Kalau redha apa jadi dengan dosa-dosa yang berlaku hari ini?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...