Thursday, May 5, 2011

Pesanan-pesanan daripada 1511H [Kombat] (3)

“assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, anak-anak muda sekalian. Segala puji bagi allah swt dan selawat serta salam untuk rasulullah saw, ahlul bait, para sahabat, tabi’in, guru-guru dan syeikh serta seluruh mujahidin yang telah banyak berjuang dan berkorban demi memurnikan akidah kita hari ini.

Anak-anak, ana amat bangga dan bersyukur sebagai seorang islam. Ana kira, anak-anak juga perlu merasakan hal yang sama hari ini. Sekurang-kurangnya ada tiga perkara paling pokok yang ana ingin tekankan dalam ucapan pada pertemuan yang bersejarah ini.

Pertama ialah keutamaan untuk kembali ke dasar. Kedua, untuk mengenal potensi remaja atau anak muda dan ketiga, melaksanakan dasar serta potensi tersebut di terjemahkan menjadi cinta. Ia saling berkait rapat.

       Labi band o chasm band o gosh band

     Gur na bini sirri haq bar ma bi khand
Kata penyair sufi, rumi : tutuplah bibirmu, matamu, telingamu, tertawakanlah aku, jika tak nampak olehmu rahsia kebenaran.

Anak-anak sekalian, oleh kerana kalian masih dalam keaddan pucuk benar, maka sebagai seorang yang bertaraf ibu, ana akan menyebutkan hal ini sebagai seorang ibu menasihati anak-anak kandungnya.

Tasawuf telah di tindas sekian lama sepanjang sejarahnya. Ia juga telah sering di salah tafsir. Ana tidak akan menghabiskan masa yang singkat ini untuk menghuraikan sejarah bagaimana tasawuf telah di tindih oleh kuasa dan sering di salahertikan.

Tasawuf adalah jelas sekali satu jalan daripada pelbagai jalan untuk merealisasikan tasawuf. Tetapi, oleh kerana kita sekarang berhadapan dengan musuh yang sangat licik, iaitu barat yang menggunakan apa sahaja yang termampu untuk menghancurkan kita, ana akan katakan bahawa tasawuf adalah satu-satunya jalan untuk merealisasikan tauhid. Bukan menafikan jalan-jalan lain, tetapi menegaskan jalan ini sahajalah yang dapat menyampaikan kita kepada tujuan yang sedang kita redahi ini secara selamat.

Remaja muslim sekalian, makna paling mendalam pada tauhid itu terlindung dan harus di selami melalui satu disiplin kerohanian yang ketat, justeru satu penyucian diri dengan syarat-syarat tertentu, cuba memenuhinya sambil menidakkan semua yang lain daripada tuhan yang harus bersikeras untuk di capai.

Andai berjaya menimba makna paling dalam pada tauhid, kelazatan rapatnya dengan tuhan akan terjalin, terasa benar segala yang di dunia ini sementara dan tak terkecap dek rasa, tak terucap dek kata, tak tergambar dek mata akan kelazatan, keseronokan dan keindahan menyatu denganNya.

Rasulullah saw, anak-anakku, sebelum berjihad di medan tempur dan mendirikan sebuah negara telah mengalami penyucian, supaya dasarnya benar-benar kukuh dan kejap. Inilah juga yang rasulullah ajarkan kepada para pengikutnya.

Ketika rasulullah masih kanak-kanak lagi, baginda telah di bersihkan hatinya oleh malaikat jibril dengan air zam-zam. Baginda juga sebelum berjuang dengan senjata telah di bawa berjalan sangat jauh untuk menemui Dia menerusi mikraj yang agung dan luar biasa. Inilah pengalaman-pengalaman daripada sirah nabawiyyah yang tak terhitung yang perlu kita renungi bersama.

Pengalaman-pengalaman rasulullah ini di turunkan, mengalir kepada para sahabat sehingga kita membaca dan di khabarkan tentang keberanian ali yang masih remaja, sanggup menggantikan baginda di pembaringan kala rasulullah berhijrah ke madinah. Nyaris-nyaris ali yang masih belia itu di tikam dengan pedang dan lembing pahlawan-pahlawan kaum musyrikin setelah mereka di hasuti iblis.

Hal ini anak-anak muda muslim sekalian, apabila kalian telah masuk dan berenang dalam lautan yang tak bertepi ini akan tiba ke suatu takah yang di gambarkan dengan halus lagi penting oleh penyair sufi dari alam melayu :

Bukannya ajam lagi arabi
Sentiasa wasil dengan yang baqi

Ahli sufi agung ini menafikan yang lain daripada allah taala, mengaku dirinya bukan ajam bukan pula bangsa arab, tetapi sebenar-benarnya ialah sekadar hamba allah yang telah mendapat kurnia makrifat daripadaNya. inilah asas penting yang ingin ana tekankan di tengah-tengah pertemuan remaja isalam sedunia ini. Hanya kedekatan dengan tuhan yang dapat mengaburi garis bangsa, hingga yang tinggal ialah semata-mata hmaba allah yanng bersedia berkorban demi tuhan.

Sayugia di ingatkan, rasulullah saw setelah menyatu dengan tuhanNya, tidak pula asyik dengan cintanya sendiri-sendiri, tetapi turun semula ke bumi dan memimpin umatnya, sebahagian besarnya ialah anak-anak muda, untuk membebaskan umat manusia daripada kezaliman dan penindasan serta kesesatan jahiliyah.

Ini anak-anakku, akan membawa kita kepada pokok kedua, iaitu peranan remaja yang telah bertemu dan menyatu dengan tuhanNya ini. Seperti baginda nabi muhammad saw setelah di sucika jiwanya, mengerti yang hanya allah sahaja segala-galanya, kalian akan di minta untuk bersedia berjuang bersungguh-sungguh mengangkat kalimat tauhid.

Seperti yang ana katakan tadi, orang yang mampu bermatian meninggikan tauhid ini hanyalah orang-orang yang telah pun menimba makna tauhid itu sendiri.

Anak-anak tidak ada cara lain selain menjadi seperti ashabul kahfi, menjadi seperti ibrahim alaihissalam waktu mudanya, iaitu lari ke dalam ‘gua’. Gua yang bukan mesti gua di gunung-gung, tetapi ialah gua pertapaan dan khulwah yang suci, iaitu menerusi tasawuf, kesucian dan juga jalan tarekat. Bersembunyi di dalam ‘gua’ ini sementara, dekatkan diri, bersahabat dengan Kenyataan Tertinggi sebelum tranformasikan diri menjadi seperti ibrahim alaihissalam, keluar dengan keyakinan dan keimanan yang tidak lagi boleh digugah-gugah. Waktu itu, bukan pemerintah moderate munafikin ini sahaja yang akan di kapak berhala mereka, kita malahan akan mampu menawan barat.

Pokok ketiganya ialah setelah kembali kepada dasar iaitu tauhid, setelah menyedari kemampuan anak-anak sebagai orang muda, masanya tiba untuk menterjemahkan ia dalam bentuk cinta. Cinta terhadap allah ini harus di laksanakan dengan bersungguh, iaitu menegakkan tauhid pula di tengah masyarakat, di tengah negeri, di tengah negara dan di tengah dunia.

Rasulullah saw menghantar bala tentera ke negeri-negeri timur dan barat, menawarkan mereka kehebatan tauhid ini, rasulullah saw mengutus surat kepada sekian ramai pemimpin dunia untuk menegakkan cinta tauhidnya itu. rasulullah saw lakukan semua ini dengan cinta sejati.

Ini anak-anak, dapat di lakukan dengan bergabung dalam satu jarinagn yang besar, semacam satu taifa. Taifa atau ahdas ini harus di suntik dengan satu falsafah dan prinsip bersama, futuwwah. Waktu akan tiba untuk kita keluar dari gua, beramai-ramai dengan wajah yang takkan berpaling daripada tuhan. Kita akan menterjemahkan cinta kita semua sebagai kekasih allah dan jika kita mati kerananya, kita mati kerana cintakan allah.

Selamat bersidang dan bersimposium sepanjang pertemuan ini. Harapnya anak-anak tidak akan terleka daripada berbincang soal langit kala bertengkar soal bumi. Ana tutup ucapan ana ini dengan satu lagi rangkap yang ana petik daripada hamzah fansuri.

Kenal dirimu hai anak dagang
 Nafikan dirimu jangan kau sayang

Terima kasih. Ana sudahi dengan wassalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, ana merasmikan Pertemuan Remaja Islam Sedunia ini.”


-syarifah nusaybah, salah satu watak dalam 1511 H ( kombat ).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...